Pokok Kaktus antara tanaman yang mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan terlalu rapi berbanding tanaman hiasan lain.
Selain mudah dijaga, tanaman daripada keluarga sukulen itu juga mempunyai nilai estetik yang tersendiri dalam menyerikan satu-satu ruangan tidak kira di dalam mahupun luar rumah.
Namun, antara masalah sering dihadapi penggemar pokok yang berasal daripada Benua Amerika itu adalah apabila mahu memindahkan pokok yang baharu dibeli ke dalam pasu hiasan yang lain.
Ciri tumbuhan berkenaan yang berbatang hijau dan berduri tajam menyukarkan kerja-kerja mengubah dijalankan sekaligus membuatkan ramai yang sanggup membiarkan pokok kaktus terbiar dalam pasu sedia ada sahaja.
Sedangkan, perubahan media tanaman perlu dilakukan agar pokok dapat membesar dengan baik dan terus hidup.
Pakar tanaman kaktus Shikin Hambali berkata, dalam proses pemindahan, kubus boleh digunakan untuk memindahkan tumbuhan berduri itu.
Pemilik Potsu By SH turut menghasilkan media campuran khusus untuk tanaman sukulen, The Good Grit yang diinovasikan sendiri olehnya.
“Media campuran ini khusus untuk tanaman sukulen sedia guna dari Potsu By SH. Nisbah campurannya difokuskan agar poros dan sesuai untuk 3 jenis situasi berlainan iaitu dibawah langit tanpa bumbung. Apabila cukup sinaran matahari, ada spesies yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan ini seperti beberapa jenis Euphorbia & dari keluarga Cactacea (kaktus)
“Kedua, berbumbung keadaan sesuai bagi sukulen seperti genus Haworthia dan tanpa berbumbung serta controlled watering seperti kaktus Astrophytum yang duri bulu lembutnya mahu dipelihara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara kandungan The Good Grit adalah lava rock, pumice, perlite sekam padi yang digoreng kering dan sabut kelapa diproses halus.
Shikin berkata, bukan nisbah campuran sahaja yang diambil kira. Sebaliknya kandungan bebatu juga perlu dibilas dengan air agar debu-debu tidak mengisi ruang poros yang diperlukan untuk aliran oksigen bagi proses fotosintesis.
“Campuran ini dibungkus menggunakan kantung kapas sebagai langkah untuk tidak menggunakan plastik,” katanya.
Ia ditawarkan pada harga RM18 untuk setiap beg (sekilo).
Cara-cara
• Lekatkan gabus pada duri pokok sukulen dengan lembut agar tidak berlaku kecederaan
• Angkat dan cabut pokok daripada pasu lama
• Bersihkan lebihan tanah pada akar, buang pepijat sekiranya ada.
• Masukkan pokok ke dalam pasu baharu.
• Masukkan tanah.
• Hentak perlahan untuk meratakan tanah pada keseluruhan pasu. Boleh juga ratakan menggunakan penyodok kecil.
• Letakkan di kawasan berbumbung.
• Selepas seminggu letakkan ia kawasan yang mempunyai cahaya matahari secara terus.










