Lebaran yang dinanti kian tiba. Sudah tentu orang ramai sedang rancak membuat persiapan raya.
Selain baju baru, langsir juga mestilah baru. Lagi pula tahun ini sudah boleh beraya seperti biasa tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wajib meriah!
Bagi yang masih tercari-cari idea langsir rumah untuk raya, Seri kongsikan pilihan langsir yang menjadi trend untuk raya tahun ini.
Pemilik Atikah Langsir & Deco, Atikah Mamat Ali, berkata, ketika ini langsir berkonsepkan minimalis paling laris di pasaran.
Kebanyakan pelanggannya menempah langsir tanpa corak atau hanya menggunakan kain daripada material amboss atau benang timbul.
Katanya, langsir berkenaan menjadi pilihan kerana ia mudah dipadankan dengan pelbagai tema kediaman selain membangkitkan suasana mewah dan elegan.
“Kalau dulu orang suka yang ada lace atau berbunga-bunga tetapi sekarang rekaan langsir kosong atau benang timbul lebih digemari kerana ia membuatkan kediaman nampak elegan seakan-akan hotel.
“Rekaan yang tidak terlalu sarat ini juga mudah dipadankan dengan dinding tidak kira dinding bercorak atau bertesktur,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan berkenaan hampir enam tahun.
Ditanya mengenai warna, katanya, kebanyakan pelanggan memilih warna pastel atau lembut yang juga mudah dipadankan dengan pelbagai warna dinding atau perabut.
“Warna paling ‘meletup’ tahun ini adalah beige atau nude. Warna lembut memudahkan kita mereka dan padankan dengan perabut warna terang atau gelap. Rona ini membuatkan ruang kelihatan mewah dan elegan.
“Ada yang suka gabungkan dua tona warna untuk langsir. Gabungan itu juga tidak menggunakan warna terang sebaliknya menggunakan warna selamat supaya tidak terlalu banyak permainan warna dalam dekorasi rumah,” katanya.









