KENAIKAN harga barang bukan perkara baharu di negara kita dan sejak kebelakangan ini kenaikan harga barangan keperluan harian seperti ayam terus menarik perhatian rakyat terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Hakikatnya kenaikan harga barangan kelihatan sudah menjadi pandemik yang bukan saja sukar untuk dikawal malah belum ada vaksin berkesan yang dapat mengubati atau menanganinya secara efisien.
Walaupun kerajaan melakukan pelbagai langkah merangkumi aspek penguatkuasaan seperti pemantauan yang lebih kerap serta mengenakan hukuman seperti denda kepada peniaga yang degil di samping inisiatif pengawalan harga melalui penetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), namun harga barang tetap terus naik sementara pengguna tetap terus merungut dan dianiaya.
Apabila meneliti secara terperinci antara punca utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah kurangnya elemen integriti dalam diri setiap kelompok yang terlibat iaitu pembekal, pemborong dan peniaga atau secara ringkasnya kita tetap menggelar mereka semua sebagai peniaga.
Apabila integriti tidak diutamakan serta tidak menjadi budaya dan amalan wajib dalam setiap perniagaan maka, para peniaga cenderung untuk melakukan pelbagai kesalahan termasuk yang boleh dikategorikan sebagai jenayah ekonomi. Hal ini kerana mereka kelihatan terlalu bebas tanpa kawalan sehingga sanggup melakukan apa saja muslihat dan tipu helah untuk mengaburi mata pihak berkuasa seterusnya menganiaya pengguna dengan penetapan harga yang tinggi atau menjual barangan dan perkhidmatan yang tidak berkualiti.
Justeru, integriti perlu diangkat menjadi perisai mahupun alat yang boleh mengawal nafsu ekonomi para peniaga yang sememangnya meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama. Para peniaga perlu sedar, tidak salah untuk meraih keuntungan tetapi biarlah berpaksikan kepada nilai-nilai integriti sejagat seperti jujur, amanah, bertanggungjawab dan bertimbang rasa.
Ironinya sikap peniaga yang tidak berintegriti dalam menjalankan perniagaan menyebabkan kehidupan rakyat terjejas teruk. Mengambilkira situasi semasa, jelas sekali bukan mudah untuk menjadi seorang peniaga yang amanah malah tidak keterlaluan untuk dikatakan pada ketika ini kelihatan terlalu sukar untuk mencari kelompok peniaga yang betul-betul jujur dan mempunyai integriti yang tinggi.
Secara umumnya, amalan rasuah dan defisit integriti dalam kalangan peniaga menjadi antara satu punca utama kenaikan harga barangan serta kos sara hidup rakyat. Tuntasnya, sikap peniaga yang tamak dan mahu mengaut keuntungan yang berlebihan secara mudah dan cepat bukan saja satu tindakan yang tidak beretika malah menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.
Kelompok peniaga tidak melihat integriti sebagai satu ciri yang perlu diberi perhatian sebaliknya hanya memberi keutamaan terhadap soal keuntungan. Maka dalam hal ini kita mahu kelompok peniaga sedar tentang kepentingan integriti dalam perniagaan demi kelestarian perniagaan masing-masing.
KESABARAN PENGGUNA
Secara lazimnya semua peniaga mahu memajukan perniagaan ke tahap yang paling cemerlang dan percayalah matlamat itu sukar untuk dicapai andai integriti tidak dijadikan amalan dan budaya dalam perniagaan. Kita mungkin boleh meraih keuntungan yang lumayan dalam perniagaan secara cepat dan mudah melalui pelbagai strategi yang tidak beretika seperti menipu, menjual produk tidak berkualiti serta menaikkan harga sesuka hati, namun apakah perniagaan seperti ini mampu bertahan lama dan boleh terus maju?
Sudah tentu jawapannya tidak kerana peniaga perlu sedar bahawa tahap kesabaran pengguna juga ada hadnya dan bila sampai masanya pengguna akan mula bertindak balas sekali gus menuntut hak dengan pelbagai cara seperti memboikot dan juga membuat aduan kepada pihak berkuasa. Akibatnya reputasi peniaga dan operasi perniagaan akan terjejas teruk.
Jadi peniaga perlu sedar kepentingan amalan integriti dalam perniagaan yang boleh memberi pelbagai manfaat terutamanya dalam tempoh jangka masa panjang. Misalnya pengguna sudah tentu menghargai dan terus menjadi pelanggan setia andai kita menjual produk yang berkualiti pada harga yang berpatutan tanpa mencekik darah. Malah pengguna juga akan membantu mempromosikan barangan tersebut kepada orang lain secara percuma sekali gus membantu pengembangan dan kemajuan perniagaan.
Jadi besarlah harapan agar golongan peniaga yang merangkumi rantaian kelompok pembekal, pemborong dan penjual akhir dapat menghayati dan membudayakan amalan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan mereka. Percayalah rakyat sudah bosan dengan alasan kenaikan harga barangan yang sering dilontarkan selama ini, jadi hentikan budaya monopoli dan pengawalan harga sehingga menganiaya pengguna melalui penetapan harga yang tinggi.
Secara idealnya, jika pembekal boleh berniaga secara jujur dan menjual pada harga yang berpatutan kepada peniaga maka pada akhirnya rakyat akan menikmati harga barangan yang ideal dan berpatutan.
Ironinya situasi yang sedang berlaku di negara kita pada ketika ini cukup menyedihkan apabila para peniaga secara berterusan menekan dan menganiaya pengguna atas pelbagai alasan.
Penetapan harga sesuka hati tanpa mempedulikan kemampuan pengguna menyebabkan ramai yang marah dan tidak puas hati namun tidak mampu berbuat apa-apa selain tiada pilihan lain.
Tuntasnya, amalan integriti yang tinggi dalam kalangan peniaga boleh menjadi faktor signifikan yang menstabilkan harga barangan dan kos sara hidup rakyat. Juster, kita memohon sama ada pembekal, pemborong mahupun peniaga agar berniagalah dengan jujur dan ikhlas berpaksikan nilai integriti yang tinggi.-UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.











