Tular dalam media sosial beberapa hari lalu mengenai keadaan anak pelakon, Amyra Rosli dan Amar Baharin, Ayra Aryssa, 2, dijangkiti virus Kawasaki.
Berkongsi dalam platform Instagram, Amyra tidak sangka yang anaknya sakit sehingga terpaksa ditahan di wad kerana sehari sebelum itu, anaknya sihat dan ceria seperti biasa.
Hanya pada keesokan pagi anaknya tiba-tiba sakit. Anaknya didapati demam panas serta badan dipenuhi ruam. Biarpun kini sudah bebas virus, jantung Ayra dilaporkan bermasalah. Jantungnya terkesan dan mula berair kerana saluran darah mengembang.
Kenapa virus ini bahaya?
Menurut Pakar Perunding Pediatrik Hospital Gleneagles Penang, Dr. Khamini Ramanujam, penyakit Kawasaki juga dikenali sebagai sindrom nod mucocutaneous. Suatu keadaan yang menjejaskan salur darah.
Bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif Covid-19.
“Laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik,” katanya kepada Seri.
Pun begitu, punca Kawasaki masih tidak diketahui. Kajian menunjukkan pendedahan kepada virus (tidak semestinya SARS-CoV-2) boleh mencetuskan penyakit ini tetapi ia belum disahkan. Namun orang ramai tidak perlu bimbang kerana penyakit ini tidak berjangkit.
“Ibu bapa perlu lebih berhati-hati kerana penyakit ini berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan Covid-19,” katanya.
Kawasaki merupakan penyakit nadir berlaku pada usia kanak-kanak yang menjejaskan salur darah. Ia boleh memberi kesan kepada kulit dan lapisan selaput di dalam mulut, hidung dan tekak. Keadaan itu adalah gejala radang saluran darah. Ia bermula dengan tanda demam dan ruam.
Kawasaki menyebabkan tahap keradangan tinggi dalam saluran darah yang boleh mengakibatkan aneurisma (pelebaran) dalam saluran darah di sekeliling jantung dan keadaan jantung seterusnya pada sesetengah kanak-kanak.
“Penyakit ini biasanya memberi kesan kepada kanak-kanak berumur kurang lima tahun. Pesakit biasanya akan mengalami demam lebih daripada lima hari. Gejala lain adalah konjunktivitis, ruam, bibir merah, kering, retak, sakit tekak, tapak tangan dan kaki bengkak dan kulit tangan dan kaki mengelupas,” katanya.
Rawatan segera diperlukan
Penyakit berkenaan perlu dirawat awal untuk mencegah komplikasi jantung seperti aneurisma dan keradangan otot jantung.
“Oleh kerana risiko komplikasi tinggi, kanak-kanak tersebut mungkin perlu ditahan di hospital sambil menerima rawatan awal seperti infusi IV (intravena imunoglobulin serta ubatan lain. Pesakit memerlukan cecair yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi. Pesakit mungkin akan diberikan aspirin untuk tempoh beberapa minggu,” katanya.
Simptom:
Simptom-simptom Kawasaki dilihat secara berperingkat. Simptom-simptom dan tanda-tanda yang dapat dilihat pada:
Peringkat 1:
Demam suhu di atas 39 darjah celsius dan melebihi lima hari.
Mata yang sangat merah (jangkitan konjunktiva) tanpa lelehan yang pekat.
Ruam di bahagian badan yang utama (tubuh badan) dan di bahagian kemaluan.
Bibir kemerahan, kering, merekah dan lidah yang sangat merah dan bengkak (lidah strawberi).
Tapak tangan dan kaki yang kemerahan dan bengkak.
Nodul limfa di leher dan mungkin di tempat lain bengkak.
Peringkat 2:
Anak mungkin mempunyai:
Kulit tangan dan kaki mengelupas, terutama hujung jari tangan dan kaki dalam keadaan makin lebar.
Sakit-sakit sendi
Cirit-birit
Muntah-muntah
Sakit perut
Peringkat 3:
Tanda-tanda beransur hilang melainkan berlakunya komplikasi yang mungkin berlaku selama lapan minggu sebelum tahap tenaga kembali normal.










