Insafi diri dengan bersyukur, sujud - Utusan Malaysia

Insafi diri dengan bersyukur, sujud

BERSYUKUR dan sujud dikatakan amat berkesan mengekalkan nilai-nilai positif serta sejahtera bagi dunia yang serba tidak menentu kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS World #QuranHour yang berlangsung satu jam berteraskan al-Quran diraikan sedunia secara serentak pagi kelmarin. Ia membawa impak yang amat ketara melalui surah al-Sajdah, membawa tema “Dunia bersujud” yang cukup tepat maksudnya merentasi kemanusiaan sejagat. Sekali gus menampakkan kekuasaan Ilahi yang tidak ada tolok bandingannya dengan keangkuhan manusia di dunia ini.

Secara kontemporari pelbagai contoh dapat diketengahkan walaupun sejarah telah berulang-ulang kali menunjukkan sedemikian. Tetapi manusia sering lupa dan alpa. Terkini adalah kehadiran sejenis makhluk yang tidak dapat dilihat oleh manusia apalagi menduganya. Maka berjuta-juta mati tidak kira siapa dan di mana. Malah negara terkaya dan termaju di Barat menanggung musibah lebihan daripada yang lain. Wang dan harta benda tiada berguna dalam menangani kehendak Ilahi.

Bersyukur dan Sujud
Inilah yang sedang pesat berlaku selama dua tahun dan masih belum terbayang lagi penghujungnya. Satu demi satu ancaman timbul mengganggu-gugat kehidupan seluruh ekosistem yang ada dan selesa. Ringkasnya, masih banyak yang manusia tidak tahu dan arif bukan sahaja tentang diri tetapi tentang dunianya juga, selagi mereka tidak mengenali Tuhan yang Maha Esa serta sujud bersyukur kepada-Nya. Apatah lagi bersyukur dan sujud dikatakan amat berkesan mengekalkan nilai-nilai positif serta sejahtera bagi dunia yang serba tidak menentu kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Maka pada majlis tersebut manusia serta dunia sujud sekali gus mempertaruhkan nasibnya kepada Ilahi dengan sabar dan ikhlas. Kepura-puraannya terbongkar, mindanya beku, keadaannya terbatas tanpa hidayah petunjuk dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Dengan itu, tidakkah mereka merasa insaf dan mengambil iktibar untuk memperoleh keredaan-Nya?

Inilah persoalannya sekarang dalam kemelut pandemik yang jelas menunjukkan keterbatasan manusia sejagat dari semua segi. Dalam keterbatasan ini jugalah manusia hilang pedoman dek kuasa dan nama yang membawa angkara dunia. Lagi sekali ini jelas kelihatan dalam perjalanan untuk membanteras rebakan pandemik. Namun setakat ini tidak kurang pula yang melakukan tipu helah dan tamak haloba sesama mereka. Oleh itu mana mungkin manusia sejagat akan terselamat melainkan beberapa kerat sahaja! Cogan “tiada siapa akan ketinggalan” terus tinggal cogan sahaja melainkan manusia mula bersyukur.

Hal ini berkehendakan kepada kejadian sebaik-baiknya bermula dengan ciptaan manusia dan disempurnakan dengan tiupan roh ciptaan-Nya sehingga mereka sujud bersyukur agar dapat mendengar, melihat dan berakal pintar dalam mengabdikan diri sebagai sifat manusia terpuji terhadap Penciptanya.

Malah hanya keinsafan seumpama ini sahaja manusia akan terselamat. Malangnya surah al-Sajdah mencatatkan amatlah sedikit (manusia) yang bersyukur. Lagi sekali ini terbukti apabila disedarkan dengan kemusnahan besar-besaran yang berlaku terhadap alam sekitar lebih 300 tahun yang lampau, namun telah memuncak sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Sejagat
Jika umat terdahulu tidak mengenali apa itu krisis iklim atau pemanasan global – umat kini dihantui olehnya detik demi detik dan terus mengancam keberadaan mereka buat masa dan generasi hadapan. Baik dari apa segi sekali pun sama ada ekonomi, ekologi mahupun kehidupan seharian dalam suatu era bergelar Anthropocene. Satu era yang mengakui bahawa manusia merungkai tamadunnya sendiri setelah dibina begitu lama.

Lebih daripada 10,000 tahun manusia berjaya memupuk sebuah ketamadunan tetapi kini semua telah dan akan berubah ke arah kemudaratan sejagat, mahu ataupun tidak, jika keadaan tidak berubah atas keangkuhan manusia. Mereka, haiwan dan segala tumbuh-tumbuhan akan terus musnah beransur-ansur akibat kerakusan manusia yang terus tidak pandai bersyukur. Yakni tidak menghargai ciptaan Ilahi kerana terdorong hawa nafsu yang sombong serta bongkah kepada kebesaran Ilahi.

Ekoran itu pemanasan global dan krisis ikim, dua faktor terpenting yang sering diambil enteng merupakan tamparan hebat kepada mereka yang berfikir setelah melihat dan mendengar dengan pancaindera kasar tetapi tidak menyelinap ke dalam mata serta telinga hati masing-masing, seolah-olah tidak peka lagi atau sudah pun mati. Ini menyangkut kepada naluri yang kosong dan tidak terkesan sama sekali akan kebiadaban manusia terhadap ayat-ayat Tuhan melalui perbuatannya.

Ayat 15
Dalam surah berkenaan ayat ke-15 menyebut: Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhan hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh) dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Kesimpulannya, dalam mengharungi cabaran hidup khususnya yang belum pernah dialami umat sebelum ini, manusia wajar menginsafi hakikat bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan yang mantap untuk mencari penyelesaian yang sempurna melainkan berserah kepada Tuhan yang Maha Esa serta memahami ayat-ayat yang terhampar di dunia terbentang luas sepanjang hidup kita. Yakni suatu makrokosmos sebagai lapangan hidup yang mirip dengan kehidupan manusia sejagat.

Seterusnya wajar diseimbangkan dengan fitrah manusia atau mikrokosmos dalam diri sendiri yang telah ditiupkan rohnya. Baru mereka tahu membezakan alam dan dunia untuk mencari keseimbangan. Kedua-dua makro dan mikrokosmos ini adalah cerminan satu sama lain sebagai sumber ilham dari Ilahi untuk membolehkan manusia memenuhi amanah terhadap Penciptanya.

Dengan kata lain, mereka tetap bersyukur sepanjang masa serta bersujud menyedari kekerdilannya disisi Tuhan yang satu.

Menurut ayat 16 : “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur kerana ingin beramal soleh, sentiasa berdoa kepada Tuhan dan selalu mendermakan sebahagian dari apa yang Kami (Tuhan) beri kepada mereka.”

Semoga kita semua tergolong antara mereka ini, mereka yang sentiasa bersyukur dan sujud.-UTUSAN

PENULIS ialah Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×