“DEWASA nanti jaga ibu dengan ayah pula”.Kalimat itu sering kita dengari. Setelah dewasa, merekalah yang seharusnya menjaga dan menguruskan orang tua pula.
Tapi, sanggupkah anak-anak mengorbankan kebahagiaan diri sendiri demi ibu bapa?
Persoalan dan situasi itulah yang diangkat kemudian dikembangkan menerusi filem Cinta Pertama, Kedua dan Ketiga.
Berdurasi hampir dua jam, saya kagum dengan pengisian naratif naskhah ini. Diperhalusi sehabis baik dan mudah untuk difahami.
Melihat pada poster tanpa menyaksikan terlebih dahulu video promosi.
Telahan saya silap, bukan 100% mengisahkan tentang cinta remaja. Sebaliknya meletakkan percintaan terhadap keluarga terlebih dahulu.
Secara ringkasnya, filem ini berkisarkan seorang anak bongsu lakonan Angga Yunanda sebagai Raja yang baru sahaja dibuang kerja dan pada masa sama, ayahnya menghidap penyakit Alzheimer atau kondisi otak sudah tidak lagi mampu berfungsi dengan baik.
Konflik bermula saat Raja dan Asia (lakonan Putri Marino) sama-sama jatuh hati.
Sedangkan waktu itu ibu dan ayah mereka berdua turut sama sedang bermain cinta.
Satu hal yang mencuri perhatian saya ketika menonton, filem ini menyampaikan mesej bahawa ibu bapa kita sebenarnya mahu melihat anak-anak bahagia dengan menggapai kerjaya dan cinta dalam kehidupan mereka.
Karya dan arahan sutradara Gina S. Noer ini sangat dekat dengan kita hari ini.
Menghidupkan cerita mengikut peredaran masa, ketika ini, pandemik Covid-19.
Transisi
Keunikan yang dapat dilihat menerusi naskhah ini lagi ialah seni tari.
Walaupun motif utama mengenai cinta terhadap keluarga dan bagaimana untuk berusaha saling melengkapi, seni itu disuntik sebagai medium penghidup cerita.
Aktres Putri, suka melihat bagaimana dia mampu menggalas peranan sebagai bukan sahaja watak Asia, tetapi juga kakak tiri kepada adik tiri yang sama-sama ada hati.
Bahkan, transisi perwatakan Asia ketika menjadi guru di kelas tariannya. Cukup berbeza dan hampir saja saya tidak dapat mengecam.
Tidak kurang juga si Angga. Watak yang digalas bukan ringan.
Sebagai anak bongsu, dia adakalanya tertekan dengan kemelut hidup.
Adik-beradik lain seakan-akan tidak mahu menjaga ayah dan nenek mereka.
Kehadiran adik-beradik, kakak-kakak Raja, sering berbicara tentang kemanjaannya. Hal itu, sebenarnya memusingkan kepala Raja.
Dia sudah berusaha sedaya upaya, namun kakak-kakaknya menganggap dia sekadar mahu kebebasan semata-mata.
Justeru, jika kita semua terpikul dengan komitmen kerja dan hal-hal lain, dapatkah kita tangani kemelut seperti mana yang dipaparkan menerusi filem Cinta Pertama, Kedua dan Ketiga ini?











