Komunikasi ibu bapa punca anak jadi biadab? - Utusan Malaysia

Komunikasi ibu bapa punca anak jadi biadab?

Dr. Noor Aishah Rosli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak kecil mungkin kelihatan seperti tidak tahu apa-apa dan hendak bermain sahaja.

Namun sebenarnya mereka sedang belajar mengenai sekeliling dan melalui perkembangan kognitif. Ia memerlukan ibu bapa lebih berhati-berhati dalam setiap tingkah laku dan pertuturan agar anak kecil tidak terpengaruh dengan anasir negatif.

Ketika ini, ramai ibu bapa yang menyuarakan keluhan mengapa anak menjadi biadab, nakal, suka melawan dan sebagainya sehingga memeningkan kepala. Pepatah pun sudah mengatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Oleh itu, setiap perbuatan atau peribadi anak itu sama ada baik atau buruk perlulah dinilai dengan sikap ibu bapa yang membawa pengaruh besar dalam kehidupan anak kecil.

Ini dipersetujui Pengasas Klinik Psikologi CPC, Dr. Noor Aishah Rosli yang bimbang dengan sikap sambil lewa ibu bapa terhadap psikologi anak-anak kecil.

Katanya, ibu bapa perlu menunjukkan tingkah laku baik serta mengawal percakapan semasa berada bersama anak kerana perkara itu akan dipelajari oleh mereka semasa proses membesar.

“Kanak-kanak belajar melalui apa yang dia lihat, dengar dan rasa. Sebab itu, kalau ibu bapa jenis yang bercakap kasar atau suka maki hamun, anak pun akan begitu juga kerana dia sangka itu adalah salah satu cara untuk melepaskan marah.

“Daripada pengalaman saya mengendalikan pelbagai kes anak dan ibu bapa, saya melihat kalau ibu bapa jenis pendiam, anaknya juga pendiam. Begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Seri.

Mengulas lanjut, Dr. Aishah berkata, perhatian lebih perlu diberikan apabila anak mulai memasuki usia dua tahun kerana pada umur berkenaan mereka sudah boleh memahami keadaan sekelilingnya.

Ibu bapa disarankan agar tidak bercakap mengenai perkataan yang kasar atau lucah di hadapan anak-anak tidak kira sama ada sedang berborak dengan rakan atau ahli keluarga lain kerana anak akan cepat mempelajari perkara berkenaan.

“Menurut psikologi, otak lebih mudah menyerap benda negatif berbanding perkara positif. Jadi, sama juga dengan anak, mereka ini lebih mudah terikut dengan perkara-perkara tidak baik.

“Sebab itu, kadang-kadang mereka akan melawan cakap ibu atau bapa menggunakan perkataan yang tidak baik juga kerana mereka berpendapat perkataan itu adalah normal dan boleh digunakan,” jelasnya yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM).

Justeru, bagi yang bakal bergelar ibu dan ayah perlulah mempelajari ilmu keibubapaan dengan lengkap sebaiknya di awal kehamilan lagi supaya anak yang bakal lahir dapat dididik dengan sempurna dan menjadi anak yang membahagiakan ibu bapa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×