YB, pelajar sama-sama berjuang

YB, pelajar sama-sama berjuang

IKUT resmi padi apabila semakin berisi ia makin rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini ialah hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Setelah dua minggu berkempen, calon-calon melalui ‘ujian’ terakhir bagi menentukan sama ada terpilih mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka tandingi.

Di sekolah pula, calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang menghadapi ujian penting dalam menentukan masa depan mereka.

Begitu juga saya dan rakan-rakan sepengajian, hari ini kami menghadapi peperiksaan akhir semester.

Walaupun ketiga-tiga situasi ini dilihat berbeza, namun kami semua sedang berjuang untuk mencapai apa yang diimpikan. Hidup ini umpama perjalanan penuh perjuangan.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kejayaan tidak datang dengan sendiri tanpa usaha bersungguh-sungguh serta doa, pertolongan dan pengorbanan.

Justeru, apabila berjaya, kita mesti menunaikan tanggungjawab dengan amanah serta memanfaatkan semua peluang yang ada dengan melakukan kebaikan. Pada masa sama, kita harus terus gigih berusaha untuk melangkah lebih jauh.

Bagi kami pelajar, setelah berjaya melepasi ujian ini, kami dapat meneruskan perjalanan ke peringkat lebih tinggi dan mempelajari subjek-subjek baharu dalam jurusan yang dipilih. Jika gagal, kita harus bangkit dan terus berusaha untuk berada pada kedudukan lebih baik.

YANG BERHORMAT

Perjalanan kita sebagai pelajar masih terlalu jauh. Sebagai umat yang bertanggungjawab, kita mesti sentiasa berusaha menuntut ilmu, baik secara formal mahupun tidak formal walaupun ketika sudah berada di alam pekerjaan.

Malah setinggi mana pun status pendidikan, sentiasa ada perkara baharu harus dipelajari. Maka walaupun sudah berada di puncak kejayaan, kita mesti sentiasa berpijak di bumi nyata agar tidak lupa daratan.

Begitu juga calon-calon PRN Johor. Yang berjaya wajib menunaikan tanggungjawab, yang gagal boleh mencuba lagi.

Yang baru pertama kali bergelar, Yang Berhormat (YB), sudah tentu perlu mempelajari banyak perkara baharu agar dapat memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Kata peribahasa Melayu, baik membawa resmi padi, daripada membawa resmi lalang. Ikutlah seperti buah padi, makin berisi makin rendah, jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi.

Walau setinggi mana pun kita berada, jangan sekali-kali kita menyombong diri. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×