Mungkin ada ibu bapa yang mendapati anak remaja mereka lebih kecil atau rendah berbanding rakan sebaya. Jangan pandang remeh perkara itu kerana anak mungkin mengalami masalah pertumbuhan linear yang boleh menyebabkan isu lebih besar iaitu pembantutan.
Walaupun kadar pembantutan dalam kalangan remaja negara ini relatifnya rendah, langkah menangani harus diambil kerana hingga kini isu mengoptimumkan pertumbuhan anak masih belum diberi perhatian yang serius.
Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Kate Chan Sook Cheng berkata, hormon tumbesaran dihasilkan kelenjar pituitari dalam otak yang berperanan merangsang tumbesaran.
“Selain menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh. Oleh itu, hormon tumbesaran sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Masalah tumbesaran bermaksud bayi, kanak-kanak dan remaja membesar dengan tidak normal.
Ia menyebabkan mereka tidak dapat mencapai potensi tumbesaran sebenar.
APA ITU TUMBESARAN?
Tumbesaran adalah satu proses fisiologi kompleks pada saat kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka.
Proses ini berterusan pada kadar yang tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun hingga mereka berusia kira-kira 10 tahun.
“Ia mungkin berlaku pada bila-bila masa dan dikesan melalui penghasilan hormon tumbesaran yang rendah atau langsung tiada. Simptom kekurangan hormon tumbesaran ditunjukkan seperti jisim lemak yang meningkat, pengurangan jisim otot dan ciri-ciri muka yang tidak matang.
“Simptom lain yang mungkin menandakan kanak-kanak itu kekurangan hormon tumbesaran termasuk bentuk dahi yang menonjol, perkembangan pertengahan muka yang terbantut, pertumbuhan gigi yang lewat dan lambat mencapai akil baligh,” katanya.
Masalah tumbesaran dapat dilihat selepas kelahiran atau dikesan kemudian hari.
Sebagai contohnya berat badan yang kurang daripada umur sepatutnya.
Dalam pada itu, ia dapat dilihat melalui pembesaran minimum, contohnya ketinggian yang dicapai dalam setahun adalah kurang daripada lima sentimeter setahun (untuk kanak-kanak berumur melebihi dua tahun).
Pun begitu, terdapat tanda-tanda dan gejala lain tetapi ini bergantung kepada penyakit-penyakit tertentu.
“Kebantutan kanak-kanak merujuk kepada kegagalan untuk mencapai potensi pertumbuhan normal yang dijangka akibat taraf kesihatan atau pemakanan yang kurang baik.
“Ini menyebabkan kesan jangka panjang dan pendek yang serius kepada kanak-kanak,” katanya.
Antara gangguan tumbesaran lain adalah masalah bayi dilahirkan kecil daripada usia kandungan (SGA) atau berat lahir kurang daripada 10 peratus berbanding bayi lain selepas tempoh kehamilan yang sama.
“Tindakan susulan dan pengawasan sempurna oleh seorang doktor, penting dalam memastikan anak mendapat pemakanan sempurna yang merupakan komponen penting dalam pencegahan dan pengendalian penyakit kronik seperti kebantutan,” jelasnya.










