Pusing Johor jamu mata dan selera - Utusan Malaysia

Pusing Johor jamu mata dan selera

Laman Mahkota Istana Bukit Serene, ikon Diraja Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPESATAN pembangunan dan tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa di Johor menjadikan ia sebagai destinasi wajib dikunjungi. Bak kata orang, rugilah jika tidak melawat dalam negeri sedangkan banyak tempat menarik boleh diterokai. Jom, kita pusing-pusing Johor.

1. Laman Mahkota Istana Bukit Serene
Laman Mahkota Istana Bukit Serene ini menjadi ikon Diraja Johor dan mercu tanda Mahkota Johor yang dibina di gerbang pintu kediaman rasmi Sultan Johor. Replika mahkota seberat 2,800 kilogram diletakkan pada ketinggian 20.9 meter.
Ia turut dihiasi dan disaluti kira-kira 3,063 biji kristal berwarna biru, putih, merah, hijau, merah jambu dan ungu dengan 17 jenis saiz yang berbeza. Laman Mahkota ini sering dikunjungi oleh pelancong dan menjadi pilihan ‘raja sehari’ untuk mengabdi kenangan di sini.
Pengunjung boleh melakukan aktiviti santai dan menikmati keindahan pancuran air. Pada malamnya, laman ini dipenuhi dan dihiasi dengan lampu berwarna-warni.

2. Puteri Harbour
Destinasi elit di Puteri Harbour atau Tanjung Puteri di Iskandar Puteri ini sesuai untuk mereka yang cintakan pemandangan kebiruan, menanti matahari terbenam dan bergambar kenangan bersama rekaan arca yang dibina menggunakan buluh.
Menariknya, pengunjung dapat menyaksikan bot dan kapal mewah berlabuh di sini dan bersiar-siar sekitar marina. Pemandangan malam juga lebih memukau dengan cahaya lampu.
Di sini juga terdapat pusat beli-belah, restoran dan hotel. Ada taman tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town yang menjadi idaman kanak-kanak.

3. Legoland
LEGOLAND terletak di Iskandar Puteri, Johor merupakan destinasi wajib yang popular. Peruntukan masa sekurang-kurangnya dua hari satu malam di sini untuk mencuba aktiviti disediakan terutama berimaginasi dengan rekaan lego.
Ada lebih daripada 40 permainan interaktif dan pelbagai aktiviti yang memberi kepuasan kepada anak-anak untuk menerokai dan mengembara sepuasnya di sini.

4. Bazar Karat
Seperti Bazar Karat yang terdapat di setiap negeri, bazar atau pasar malam di tengah bandar raya Johor Bahru iaitu di Jalan Segget ini menjual pelbagai barangan antik, pakaian, kasut dan sebagainya.
Seronok melihat gelagat dan celoteh antara penjual dan pembeli ketika tawar-menawar.

5. Tanjung Piai
Destinasi unik di Tanjung Piai, Pontian merupakan penghujung Benua Asia. Terletak di lokasi paling selatan negeri, ia bersempadanan dengan Singapura.
Pengunjung boleh mengelilingi hutan paya bakau dan melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti berkhemah, memancing dan jungle trekking. Suasana tenang dan damai di sini menjadikan ia lokasi serasi buat anda yang mahu melupakan sementara kesibukan kota raya.

6. Pulau Kukup
PULAU Kukup dikenali sebagai salah satu taman negara di Johor yang merupakan pulau paya bakau tanpa penduduk kedua terbesar di dunia. Ada dua mitos mengenai Pulau Kukup iaitu kisah legenda puteri kayangan lima beradik yang kehilangan adik bongsu mereka selepas jatuh cinta dengan seorang pelayar.
Adik bongsu tidak ditemui selepas mereka menyumpah pulau itu tenggelam sehingga pulau bertukar dipenuhi lumpur dan pokok bakau. Dikatakan juga Pulau Kukup dijaga oleh seekor ular gergasi. Pengunjung boleh mengelilingi Pulau Kukup dengan bot disediakan.

7) Kacang Pool Haji
Selepas penat meronda tempat menarik di Johor, pastilah perut yang lapar perlu diisi. Salah satu makanan yang menjadi kebanggaan orang Johor sudah tentu Kacang Pool yang paling sedap di restoran Kacang Pool Haji di Larkin.
Semangkuk kuah pekat kacang gabungan daging cincang ini dimakan bersama roti bakar, telur mata, hirisan bawang, cili dan perahan air limau. Sedap tak terkata!

8. Mi Rebus Haji Wahid
ADA yang sanggup memandu dari Kuala Lumpur ke Johor semata-mata untuk merasai kesedapan Mi Rebus Haji Wahid di Zainal Place.
Keistimewaan mi rebus ini adalah cara penyediaan yang ringkas tetapi memikat selera. Selain sedap dan mengekal keaslian rasa, resipi mi rebus ini telah menjadi resipi turun-temurun sejak 100 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×