Penternakan udang galah jana pulangan lumayan

Penternakan udang galah jana pulangan lumayan

udang
MOHAMAD Izzudin Jizan (kiri) menunjukkan hasil ternakan udang galah yang dijaring dari kolam ternakanya di Kampung Merual, Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Segala-galanya bermula selepas bapa saudaranya mempelawa Mohamad Izzudin Jizan, menguruskan sebuah kolam ternakan udang galah sekitar 2010.

Siapa sangka dalam tempoh 12 tahun lalu, beliau kini berjaya membuka sebanyak 24 kolam ternakan, sekali gus menjadikan anak jati Seri Menanti, Kuala Pilah ini boleh dianggap sebagai antara pengusaha ternakan akuakultur berjaya di Negeri Sembilan.

Katanya, pulangan lumayan hasil ternakan udang galah telah membuka matanya bahawa bidang ternakan itu memiliki pulangan ekonomi yang baik. Tanpa banyak alasan dia juga sanggup membuka hampir setiap tahun sebuah sangkar.

“Bapa saudara mengusahakan 15 buah kolam ternakan udang galah. Dia meminta saya membuat satu kolam. Tak sangka selepas dapat hasil tuaian pertama, hasilnya amat lumayan.

Itulah yang menaikkan semangat saya untuk serius dalam bidang ternakan udang galah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Merual, Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini.

Sekitar 2010, benih udang galah hanyalah sekitar lapan sen seekor.

“Sekiranya sebuah kolam ada 10,000 ekor, kosnya hanya sekitar RM800. Jika diambil kira-kira 30 peratus benih udang galah yang hidup, sewaktu tuaian selepas tempoh empat bulan setengah, kita boleh dapat sekurang-kurangnya dalam 80 kilogram.

“Harga udang galah hidup ketika ini adalah sekitar RM60 sehingga RM66 sekilogram,” katanya yang menggunakan sepenuhnya sumber air bukit bagi kolam ternakannya itu.

PASARAN SINGAPURA

Jejaka berusia 33 ini memberitahu, selain Lembah Klang, Singapura adalah pasaran utamanya.

Katanya pelanggan tempatan biasanya dalam kalangan pengusaha kolam pancing rekreasi sekitar Selangor dan Seremban manakala pelanggan dari Singapura kebanyakannya adalah peraih yang membeli dalam kuantiti besar.

“Peraih dari Singapura, akan datang dua kali seminggu untuk mendapatkan udang galah hidup bagi memenuhi permintaan kolam pancing rekreasi dan restoran di negara itu.

“Setiap kali peraih datang, mereka memerlukan sehingga 500 kilogram. Malangnya kami hanya mampu menyediakan sekitar 120 hingga 150 kilogram sahaja.

“Selebihnya mereka akan dapatkan daripada pengusaha-pengusaha yang lain,” katanya yang memberi pemahaman ternakan udang galah tidak berdepan masalah pasaran, berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan.

TINGKAT PENGELUARAN

Menerusi penggunaan teknologi termasuk menggunakan kincir air Mohamad Izzudin, yakin mampu untuk meningkatkan pengeluaran ternakan udang galah kerana peralatan itu mempu meningkatkan peratusan undang galah untuk hidup.

“Ketika ini jumlah benih udang galah yang hidup dalam 30 peratus sahaja. Satu kolam ada kira-kira 20,000 ekor benih, apabila dituai boleh dapat sekurang-kurangnya 140 kilogram tetapi apabila ada paddle wheel untuk sumber oksigen, kita boleh dapat dua kali ganda daripada jumlah itu,” katanya penuh yakin.

‘Rugi itu adat berniaga’
Walaupun ternakan udang galah memberikan pulangan yang lumayan, Mohamad Izzudin memberitahu, seperti pengusaha dan peniaga lain, dia juga tidak terlepas daripada mengalami masalah termasuk kerugian.

Paling memberi kesan terhadap dirinya malahan kepada pengusaha-pengusaha yang lain sudah tentulah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19.

Menjelaskan situasi itu, katanya, udang galah yang diternak akan dipasarkan secara hidup-hidup kepada pelanggan namun sewaktu PKP dilaksanakan hampir semua sektor tidak beroperasi, termasuk restoran dan kolam pancing.

“Kerugian saya mencatatkan puluhan ribu ringgit kerana hasil udang galah yang sudah sedia untuk dijual tetapi tidak boleh dipasarkan kerana tiada permintaan. Bayangkan empat bulan setengah udang boleh dituai, namun kerana tiada permintaan, udang berada dalam kolam selama sembilan bulan.

“Apabila tidak dapat jual, sudah tentu saya terpaksa tampung kos-kos lain seperti makanan. Bagi mengurangkan kerugian, saya mengambil tempahan daripada orang-orang kampung dan kawan-kawan di taman perumahan, tetapi bukan selalu ada tempahan kerana udang galah ini mahal, pasar pun tidak berani ambil kerana disebabkan harganya itu,” katanya.

BANTUAN

Dalam pada itu, menurut Mohamad Izzudin, ketika pengusaha-pengusaha ternakan udang galah berdepan cabaran PKP, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan tampil banyak membantu.

“Jabatan Perikanan negeri dan daerah banyak beri sokongan dan bantuan seperti pemberian benih dan pallet serta bantuan paddle wheel, sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan kos operasi kami,” katanya.

Meskipun permintaan udang galah hari semakin pulih, kesan daripada PKP masih lagi terasa sehinggakan ramai dalam kalangan pengusaha tidak mampu lagi untuk meneruskan ternakan udang galah mereka.

“Ramai dalam kalangan rakan-rakan pengusaha sudah mengalah, tidak boleh teruskan lagi ditambah ketika ini berlaku kenaikan harga pallet sejak pelaksanaan PKP lalu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Izzudin memberitahu, bagi meningkatkan pendapatan dan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berulang lagi PKP, dia membuka sebuah kolam memancing udang galah di Jalan Seremban-Kuala Pilah sejak beberapa bulan lalu.

“Saya mahu pelbagaikan cabang perniagaan, lagipun kami ada kolam ternakan sendiri. Selain itu ia juga sebagai langkah persediaan bimbang berlaku lagi PKP, jualan udang galah hidup di pasaran pasti akan terkesan,” katanya yang turut mengusahakan ternakan ikan tilapia.

Setakat sebulan beroperasi, sambutan menggalakkan daripada kaki pancing udang sehingga boleh mencecah 30 orang pengunjung sehari. Pembukaan kolam pancing itu turut membantu rakan-rakan Mohamad Izzudin yang turut mengusahakan ternakan udang galah.

“Saya beli daripada mereka untuk dimasukkan ke dalam kolam pancing saya,” katanya.
Kolam Pancing Jidin Jenggo mengenakan bayaran RM20 bagi tempoh masa satu jam, RM50 bagi tiga jam manakala RM90 bagi lima jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×