Normalkah beremosi masuk sekolah? - Utusan Malaysia

Normalkah beremosi masuk sekolah?

Uruskan anak bersekolah dengan teliti supaya mereka dapat mengadaptasi perubahan fasa dalam kehidupan dengan lebih cepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sesi persekolahan yang baru sahaja bermula awal minggu ini menyaksikan pelbagai ragam anak-anak terutamanya bagi yang baru memasuki alam persekolahan.

Ada yang menangis, gembira, malah ada juga yang baru hari pertama sudah mahu berhenti sekolah.

Pegawai Psikologi, Ruslina Razali berkata, penting bagi ibu bapa menguruskan anak yang bersekolah dengan teliti supaya mereka dapat mengadaptasi perubahan fasa dalam kehidupan lebih cepat.

Perkara pertama ialah menyediakan sarapan ringkas untuk anak meningkatkan fokus dan tumpuan terhadap pembelajaran dalam kelas.

“Rancang jadual menu sarapan untuk seminggu bagi mengelakkan kekalutan di awal pagi.

“Memang agak mencabar bagi ibu bapa bekerja, tetapi dengan kepesatan teknologi masa kini ia bukan lagi penghalang dalam menyediakan sarapan untuk anak. Terdapat banyak juga makanan sejuk beku yang siap sedia di pasaran boleh dibeli dan dimasak apabila perlu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibu bapa juga perlu melibatkan diri dalam hal pendidikan dan kerja sekolah anak untuk memperkukuh kemahiran asas.

“Covid-19 turut memberi impak kepada sistem pendidikan. Anak-anak yang memasuki tahun satu pada tahun ini adalah generasi pertama melalui pendidikan secara maya di tadika.

“Oleh itu, pengorbanan ibu bapa dari segi masa dan tenaga wajar dipertaruhkan untuk anak menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul sekurang-kurangnya 20 hingga 25 minit bagi satu-satu aspek.

“Kreativiti ibu bapa dalam merangsang minat anak terhadap pembelajaran dapat meningkatkan daya tumpuan mereka,” katanya.

Ibu bapa turut disarankan memiliki kemahiran mengurus tekanan dan memberi respon membina dalam isu dialami oleh anak.

Antara tekanan dihadapi ialah beban kerja sekolah, tidak faham subjek diajar, masalah rakan-rakan, masalah guru, isu adik-beradik mahu pun persekitaran sekolah.

Amalkan teknik mendengar secara berkesan tanpa menghukum, menilai dan tidak cepat memberi jalan keluar kepada permasalahan anak.

“Dengar luahan hati perasaan mereka. Bantu mereka kenal pasti perasaan. Beri ruang mereka melalui perasaan tersebut sama ada sedih, kecewa, marah atau takut.

“Beri pelukan erat dan usap kepala anak ketika mereka menangis bagi meredakan emosi. Buatlah seperti kita turut merasai apa dirasai oleh
anak dalam meredakan gundah hati si cilik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN