NASI lemak kuning memang sinonim dengan orang Kedah. Kalau di gerai-gerai menjual nasi lemak, nasi lemak kuning pasti ada di samping nasi lemak biasa.
Kata Norrihan Arshad, nasi lemak Kedah berwarna kuning lauknya ringkas sahaja iaitu ikan bilis dan telur rebus.
Nasi lemak Kedah juga terkenal kerana rasa sambalnya yang sedap. Pedas-pedas manis.
Bahan-bahan nasi lemak
1 cawan beras Basmathi (rendam setengah jam)
1 sudu besar minyak sapi
3 sekawan (kayu manis, cengkih dan bunga lawang)*
1 inci halia dimayang halus*
1 ulas bawang merah dimayang halus*
1 batang serai diketuk*
1 helai daun pandan
1 cawan air
1/2 cawan santan pekat
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam
Nota: Jika guna beras biasa, tidak kisah berapa jumlah berasnya, nisbah air dan santan adalah sama banyak. Sukatan pula seperti masak nasi biasa.
Cara-cara penyediaan nasi lemak
1) Panaskan minyak sapi dan tumiskan bahan bertanda *.
2) Campur semua bahan lain dan masak dalam periuk nasi.
Resipi sambal sotong kering
1 mangkuk sotong kering bahagian sayap (rendam dan bilas beberapa kali)
1 mangkuk minyak untuk menumis
1 1/2 mangkuk cili kisar
1 biji bawang besar dimayang halus
1 sudu kecil asam jawa Adabi
1 gelas air
Sedikit gula, garam dan serbuk perasa
Cara-cara penyediaan sambal sotong kering
1) Panaskan minyak dan tumis bawang sehingga layu dan keperang-perangan.
2) Masukkan cili mesin dan asam jawa. Masak sehingga pecah minyak. Tuangkan 1/3 air dan masak sehingga sambal pecah minyak. Tuangkan lagi 1/3 air. Ulang langkah ini sehingga air habis (langkah ini untuk pastikan sambal betul-betul masak dan tahan lama).
3) Perasakan dengan gula, garam dan serbuk perasa.
4) Masukkan sotong kering. Jika sambal terlalu kering masukkan sedikit air dan kacau sehingga sotong kering masak.
Bahan hidangan lain
Ikan bilis goreng
Kacang tanah goreng
Timun
Telur rebus
Cara-cara penyediaan
1) Ikan bilis dan kacang tanah digoreng rangup.
2) Rebuskan beberapa biji telur dan belah dua bahagian.
3) Timun dipotong nipis.
4) Hiaskan kesemua bahan di atas pinggan bersama nasi lemak kuning Kedah dan sambal sotong kering.
5) Siap selamat menjamu selera!










