Merdu suara Nike Ardilla terus dirindui - Utusan Malaysia

Merdu suara Nike Ardilla terus dirindui

LAGU nyanyian Nike Ardilla meledak popular hasil sentuhan komposer ternama Malaysia, Saari Amri. – SATKOBA PRESS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 19 Mac 1995, kira-kira pukul 5.30 pagi waktu Indonesia, sebutir bintang berbakat besar dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Kereta Honda Civic yang dinaiki Raden Rara Nike Ratnadilla terbabas dan melanggar pagar konkrit kerana mahu mengelak daripada bertembung kereta lain di Jalan Re Martadinata, Bandung.

Akibat kemalangan itu, penyanyi dengan nama pentas Nike Ardilla cedera parah di bahagian kepala dan dada. Doktor mengesahkan penyanyi itu tidak dapat diselamatkan.

Kematian Nike Ardilla yang baru menjengah usia 19 tahun sangat dirasakan hingga ribuan orang menghadiri pengebumiannya di Bandung.

Pemergiannya ke negeri abadi ketika kerjaya muziknya berada di puncak populariti serta dalam usia terlalu muda.

Ratu Rock Indonesia ini disemadikan di Ciamis, Jawa Barat dengan kehadiran keluarga, rakan, peminat dan petugas media.

Sebelum meninggal dunia, Nike pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan dunia seni kerana ingin mendalami ilmu agama di Pesantren Cipasung, Tasikmalaya.

SENTUHAN KOMPOSER MALAYSIA
Dilahirkan di Bandung pada 27 Disember 1975, Nike Ardilla ialah seorang penyanyi wanita Indonesia yang berketurunan Sunda dan berasal dari Bandung.

Digelar sebagai Artis Album Terlaris di Indonesia dan Malaysia, Nike Ardilla pernah membawakan lagu ciptaan komposer popular dari Malaysia, Saari Amri iaitu Duri Terlindung dan Ku Tak Akan Bersuara yang sering dimainkan radio Malaysia sehingga kini.

Lagu tersebut melonjakkan namanya sebagai artis Indonesia paling popular di Malaysia sekitar 1994.

Arwah juga pernah membawakan lagu ciptaan Joe Wings iaitu Pengembara Terasing.

Penyanyi rock ini mencatatkan kejayaan di usia muda apabila menghasilkan lebih lapan album dan mempunyai jualan album Indonesia terbaik sepanjang zaman.

ALBUM LARIS DI PASARAN
Nike Ardilla sememangnya seorang penyanyi yang berbakat sejak kecil kerana mempunyai darah seni dari datuknya yang merupakan seorang penyanyi keroncong.

Semasa berusia lima tahun, penyanyi bersuara lunak dan lantang ini pernah memenangi pertandingan nyanyian pada 1980, sehingga dia digelar sebagai ikon berpengaruh dalam genre rock remaja zaman itu.

Album pertamanya, Seberkas Sinar yang dikeluarkan pada 1989 meraih nombor satu dalam carta sehingga terjual lebih 500,000 salinan di Indonesia.
Sejak itu, namanya terus meroket dan jualan albumnya kian meledak.

Rentetan kejayaan itu album keduanya, Bintang Kehidupan yang diterbitkan tahun sama turut mencatatkan kejayaan memberangsangkan sehingga terjual enam juta salinan.

Album tersebut juga terjual lebih 500,000 salinan dalam minggu pertama sekali gus memecahkan rekod baharu jualan seminggu oleh artis wanita.

Setahun selepas album itu berada di pasaran, jualannya sudah melebihi dua juta salinan sehingga Nike dinobatkan Artis Baharu Terbaik dan Jualan Album Terbaik dalam Anugerah Muzik Indonesia, 1990.

Album ketujuh dan terakhir, Sandiwara Cinta pula terjual sebanyak lima juta salinan.

Pada tahun sama, Nike menerima Anugerah Gadis Sampul 1990 yang mengiktiraf kejayaan beliau sebagai penyanyi, pelakon serta model.

KONSERT MALAYSIA, SINGAPURA
Nama Nike Ardilla mula disebut-sebut peminat di Malaysia menerusi lagu Ku Tak Akan Bersuara.

Sejak lagu itu diterbitkan, dia mula mendapat tawaran mengadakan persembahan serta konsert di Kuala Lumpur.

Sejak 1989 hingga 1995, Nike pernah terlibat dengan 18 konsert, antaranya Konsert Battle of The Bands di Stadium Negara, Kuala Lumpur, 1989.

Selain itu, Konsert Terbuka Ella & The Boys di Panggung Anniversary, Kuala Lumpur, 1990 dan Konsert Nike Ardilla di Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak, 1991.

Selain Malaysia, Nike Ardilla turut menempa nama di Singapura dan pernah menjayakan Konsert Seni dan Suara bersama Ramli Sarip dan Lefthanded di Stadium Negara, Singapura, pada 1992.

LEGENDA ROCK SEPANJANG ZAMAN
Pada 1996, ada dua negeri di Rusia iaitu Abkhazia dan Tuva mengeluarkan setem Nike Ardilla sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan Michael Jackson, Madonna, Marilyn Monroe dan Elvis Presley yang turut mempunyai setem khas.

Walaupun sudah 27 tahun berlalu, nama Nike Ardilla masih dikenali di Indonesia, hatta lagu-lagunya juga sentiasa malar segar di Malaysia.
Popularitinya tidak pernah pudar, malah terus meningkat walaupun sudah lebih dua dekad meninggal dunia.

Benarlah kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Setiap tahun, berjuta-juta peminat memperingati pemergian dirinya dengan melawat pusaranya dan Muzium Nike Ardillla yang dibina sebagai memorial.

Media Indonesia merujuk dirinya sebagai Legenda Ratu Rock dan Legenda Muzik Slow Rock.

Semoga roh Allahyarhamah Nike Ardilla terus dicucuri rahmat. Al-Fatihah.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×