Orang Malaysia dijangkakan akan terus menjadi paling gemuk atau obes di Asia apabila kadar kegemukan dan obesiti meningkat kepada 23 peratus menjelang tahun 2023.
Tinjauan Kebangsaan dan Mobiditi Malaysia atau National Health Morbidity Survey (NHMS) pada 2019 mendapati kadar kegemukan dan obesiti adalah 30.4 peratus dan 19.7 peratus berbanding 30 peratus dan 17.7 peratus pada 2015.
Jika digabungkan kedua-duanya, hampir separuh (50.1 peratus ) atau satu dalam dua rakyat mengalami kegemukan.
Seperti sedia maklum, punca pandemik kegemukan atau obesiti, disebabkan pengambilan kalori berlebihan.
Corak pemakanan seperti gemar minuman manis, makanan berlemak, makanan bergoreng dan saiz hidangan yang besar serta tidak bersenam. Gaya hidup tidak aktif turut menjadi faktor dorongan penyebab kegemukan.
Wanita lebih cepat gemuk
Pakar Pemakanan Klinikal, Diabetes, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Barakatun Nisak Mohd. Yusof berkata, berbanding lelaki wanita lebih cenderung mengalami obesiti dengan kadar 54.7 peratus.
Ia berikutan fisiologi, wanita dengan lemak tubuh lebih banyak iaitu antara enam hingga hingga 11 peratus lebih tinggi berbanding lelaki walaupun mengambil kalori lebih sedikit berbanding lelaki.
“Fisiologi tubuh sedemikian, adalah sebagai persediaan menghadapi kehamilan.
“Kajian saya jalankan turut mendapati berat wanita bertambah tiga hingga lima kilogram (kg) bagi setiap kelahiran. Cuba bayangkan jika wanita tersebut hamil lima kali, tanpa intervesi yang sesuai, mereka boleh mengumpulkan berat badan sehingga 15 kg,” katanya.
Lelaki mempunyai tisu otot lebih banyak berbanding wanita. Situasi ini, membolehkan mereka membakar kalori walaupun ketika berehat.
Oleh sebab itu, bila lelaki cuba menurunkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori, berat badan mereka lebih cepat turun berbanding wanita.
Kurangkan lemak dalam badan
Dr. Barakatun Nisak menjelaskan, secara umum, senaman dan pemakanan sihat serta berstruktur adalah penting dalam mencegah obesiti.
Bagi yang ingin menurunkan berat badan, ada yang menyatakan 80 peratus adalah diet dan 20 peratus lagi adalah senaman.
“Konsep 80:20 ini tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh. Mereka yang ingin menurunkan berat badan, perlu komited kepada pelan pemakanan dan turut memasukkan komponen senaman dengan perlahan-lahan.
“Ini penting bagi memastikan lemak yang hilang digantikan dengan otot dan ini dapat membantu mencapai penurunan berat badan secara signifikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan rawatan,” katanya.
Obesiti itu satu penyakit
Obesiti memang satu penyakit yang perlu didiagnos dan dirawat secara sistematik. Tanpa diagnosis yang sesuai, rakyat akan menganggap obesiti hanyalah sekadar isu kecantikan.
Dr. Barakatun Nisak berkata, obesiti adalah punca kepada penyakit kronik seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi dan tinggi aras lipid atau kolesterol darah yang kesemuanya adalah punca kepada serangan jantung.
“Sebagai contoh satu dalam lima rakyat Malaysia mengidap diabetes dan hampir 50 peratus daripada mereka tidak pernah tahu mereka mengidap penyakit kronik,” katanya.
My Open perangi obesiti
Bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan masyarakat, satu badan dikenali sebagai My Open ditubuhkan oleh kumpulan ahli kesihatan tempatan.
Ia dianggotai doktor dalam pebagai disiplin obesiti seperti endokrinologi, pembedahan bariatrik, kesihatan awam, perubatan keluarga dan endokrinologi kanak-kanak.
Ahli sokongan klinikal seperti dietitian, ahli pemakanan, ahli psikologi klinikal dan senaman perubatan turut menjadi antara ahlinya.
“Kumpulan ini menumpukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan juga ahli kesihatan bahawa obesiti ini adalah penyakit dan ia perlu diurus secara klinikal dengan baik.
“Buat masa ini kempen yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat memberangsangkan.
“Malah, kombinasi kedua-duanya iaitu piramid makanan dan suku-suku separuh jika diamalkan dapat membantu rakyat Malaysia mengawal berat badan seterusnya mencegah kegemukan dan obesiti,” katanya.
Berdasarkan NHMS 2019, tinjauan berkaitan kadar kesedaran berkaitan konsep suku-suku separuh mendapati 20.4 peratus atau satu dalam lima responden tahu tentang Pinggan Sihat Malaysia.
Sebanyak 80.5 peratus atau empat daripada lima responden mempunyai pengetahuan baik dalam menerangkan konsep suku-suku separuh, bagaimanapun, hanya 14 peratus mengamalkan konsep suku suku separuh ini dalam kehidupan seharian mereka.
“Kita faham, pengurusan berat badan memerlukan komitmen tinggi dari semua pihak. Walaupun ada kesedaran, tingkah laku positif dan mengambil tindakan kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat adalah kunci utama kepada pencegahan dan pengawalan obesiti,” katanya.
Kenaikan harga barang: Lebih ramai B40 jadi gemuk
Kenaikan harga makanan mentah berkhasiat seperti sayur dan buah-buahan, akan meningkatkan kadar obesiti di Malaysia.
Presiden Pertubuhan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Prof. Madya Dr. Geeta Appannah berkata, apabila harga makanan mentah berkhasiat meningkat, orang ramai akan memilih makanan lebih murah.
Kebanyakan makanan murah pula adalah lebih tinggi kandungan lemak dan gula yang boleh menyebabkan meningkatkan kalori dalam sehari. Peningkatan kalori ini boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti.
“Peningkatan harga menyebabkan pengambilan makanan ini berkurangan atau langsung tidak dimakan. Seterusnya ini akan menyebabkan saranan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan tidak akan tercapai.
“Sedangkan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah pembekal khasiat, vitamin, mineral, antioksidan dan serat yang penting dalam menghindari penyakit seperti obesiti,” katanya.
Malangnya ia adalah fenomena yang sangat umum dalam kalangan masyarakat yang tidak berkemampuan atau dalam kalangan B40.
Masalah obesiti di negara-negara maju, cenderung dialami dalam kalangan masyarakat tidak berkemampuan.
Namun di negara ini, masalah obesiti adalah tinggi dalam kalangan B40 dan T20.
“Ini adalah kerana mereka yang tidak berkemampuan (B40) akan membeli makanan yang murah dan kurang sihat.
“Manakala bagi yang berkemampuan (T20), mereka lebih cenderung memilih makanan mahal tetapi tidak semestinya berkualiti atau tinggi khasiat,” katanya.
Jejas bajet untuk kemudahan lain
Ramai mengeluh dengan kemudahan disediakan oleh kerajaan kurang sempurna tetapi ramai tidak sedar obesiti adalah antara puncanya.
Obesiti bukan saja meninggalkan kesan ke atas individu, tetapi turut menjejaskan ekonomi dan pengurusan negara yang lain.
Peningkatan masalah obesiti yang tidak terkawal akan menyebabkan rakyat berdepan risiko kesihatan seperti diabetes, darah tinggi, penyakit jantung, strok dan kanser.
Mereka yang obes juga berisiko mengalami komplikasi yang teruk disebabkan oleh jangkitan Covid-19. Kanak-kanak yang obes pula akan mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit ini pada usia yang awal.
“Peningkatan obesiti dan penyakit-penyakit ini akan meningkatkan kos rawatan di hospital. Oleh kerana kerajaan memberi subsidi yang tinggi untuk kos rawatan di hospital, ini akan menyebabkan kerajaan mengagihkan bajet yang tinggi untuk menampung kos rawatan ini.
“Sekiranya kita dapat mengurangkan kos rawatan ini, bajet ini boleh disalurkan kepada inisiatif-inisiatif lain seperti menambah baik kemudahan di sekolah dan universiti, memastikan kemudahan lebih baik untuk rakyat dan sebagainya,” katanya.
Tegasnya, mereka yang obes dan menghidap penyakit kronik juga mungkin kurang produktif dan akan mengambil cuti yang panjang disebabkan masalah kesihatan.
Ini akan menjejaskan pendapatan dan kemampuan mereka untuk menyediakan makanan yang sihat untuk diri sendiri mahu pun keluarga.
“Adakalanya situasi sebegini dilihat pada usia yang sangat muda. Ia adalah amat merugikan negara kerana mereka akan bergantung kepada kebajikan. Masalah obesiti juga boleh menyebabkan masalah mental di mana ia akan mempengaruhi kualiti hidup mereka,” katanya.










