TOKOH Wanita Buta Dunia dari Amerika Syarikat (AS), Helen Keller ada menyebut: “Saya hanya satu, tetapi saya masih ada. Saya tidak dapat melakukan segala-galanya, tetapi saya masih boleh melakukan sesuatu. Dan kerana saya tidak boleh melakukan segala-galanya, saya tidak akan menolak untuk melakukan sesuatu yang boleh saya lakukan”.
Ungkapan ini memberikan kita gambaran bagaimana perspektif orang yang mengalami kecacatan bangkit untuk mengatasi ketidakupayaan yang dimiliki dirinya.
Persepsi dan perspektif adalah dua perkataan mengenai cara kita melihat, memahami dan mentafsir perkara. Walaupun kedua-dua kata ini kelihatan sama bunyinya, kedua-dua kata ini tidak boleh digunakan secara bergantian.
Persepsi pada asasnya merujuk kepada cara kita memikirkan atau memahami seseorang atau sesuatu. Perspektif adalah cara kita menganggap sesuatu atau pandangan. Ini adalah perbezaan utama antara persepsi dan perspektif.
Persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap kumpulan orang kurang upaya (OKU) ini semakin menebal apabila melihat majoriti pengemis di kaki lima, pasar malam dan tepi jalan terdiri dalam kalangan golongan itu.
Namun jauh dari sudut hati, insan istimewa ini seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang lain sebaliknya cukup sekadar diterima masyarakat dan diberi peluang untuk bercampur dengan persekitaran komuniti normal.
Sikap negatif terhadap OKU dan diskriminasi terhadap golongan itu berpunca daripada kurangnya kesedaran mengenai keupayaan mereka. Masyarakat khususnya para majikan perlu mengubah sikap dengan memberikan fokus kepada keupayaan OKU dan bukannya kekurangan atau ketidakupayaan golongan itu apabila memberikan mereka pekerjaan.
Dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU telah ditetapkan kerajaan bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam mendapatkan peluang pekerjaan.
Selain itu, cabaran yang menjadi halangan kepada OKU untuk mendapatkan pekerjaan adalah kekurangan bangunan yang mempunyai kemudahan untuk golongan itu dan pengangkutan awam yang mesra kepada mereka.
Kesedaran yang dipupuk dalam kalangan majikan dan setiap organisasi supaya memberikan fokus kepada keupayaan OKU akan dapat membantu golongan itu untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Terima kasih Radio Nasionalfm Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sentiasa di Hati yang turut mengangkat kepentingan menghargai OKU sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada setiap 8 Mac.
Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipaparkan dalam laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyatakan golongan itu merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.
WATIKAH
Bersempena Hari Wanita pada 8 Mac lalu dengan tema Saksama Bersama, mari kita bersama-sama menyemak apakah tanggungjawab kita kepada wanita OKU.
Objektif Dasar OKU menetapkan empat objektif berikut iaitu pertama, memberi pengiktirafan serta penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
Kedua memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama di bawah undang-undang negara. Ketiga, menghapuskan diskriminasi terhadap seseorang atas sebab ketidakupayaannya dan keempat, mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.
Strategi di bawah Dasar OKU terbahagi kepada 15 bidang termasuk strategi terakhir untuk mengutamakan kepentingan terbaik untuk wanita OKU dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan itu.
Sejajar dengan strategi itu, kita bangga dengan langkah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menubuhkan Pusat Kemajuan dan Kepimpinan Wanita (CWAL) baru-baru ini. Ini sejajar dengan seruan kerajaan dalam mempelbagaikan usaha dan inisiatif bagi memperkasakan wanita dalam bidang profesional berbentuk Pendidikan Teknikal Tinggi dan Latihan Vokasional (HTVET) dan bidang-bidang lain yang akan memacu wanita menjadi golongan berpendapatan tinggi di masa hadapan.
Watikah lantikan telah diserahkan CWAL kepada 23 ketua kluster yang mempunyai pelbagai latar belakang kepakaran, berpengalaman luas serta berkhidmat di sektor kerajaan, korporat, akademik dan industri.
Langkah dan gaya ketua kluster terbabit ketika naik ke pentas untuk menerima watikah mempamerkan keyakinan untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
Kami yakin pemerkasaan wanita dalam bidang masing-masing amat penting dalam mempromosikan idea baharu dan inovatif, melaksanakan inisiatif yang memberi impak dan mewujudkan jaringan di peringkat tinggi.
Kami turut menyokong kenyataan Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi iaitu beliau berharap agar sesi libat urus dengan pelbagai badan komuniti OKU bagi mengatasi segala kelemahan yang timbul sebelum ini akan dapat direalisasikan.
Menurut beliau, OKU sewajarnya dibela dan diberikan perhatian serius oleh agensi berkaitan dan juga menuntut cakna yang tinggi seluruh Keluarga Malaysia agar mereka juga menikmati kehidupan yang sejahtera walaupun dalam kekurangan.
Sayangi tanpa syarat. Saksama Bersama. Selamat Menyambut Hari Wanita.-UTUSAN
PROF. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah pakar psikologi bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dan Rabi’ ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)











