Kurlow penari balet berhijab - Utusan Malaysia

Kurlow penari balet berhijab

STEPHANIE Kurlow mula terlibat dalam tarian balet sejak berusia dua tahun. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPILAN bertudung dan gaya sederhana tidak menghalang seorang wanita untuk bergelar sebagai penari balet profesional.

Rata-rata masyarakat secara tipikalnya akan membayangkan kostum balet yang ketat dan singkat.

Namun, Stephanie Kurlow berjaya mengubah persepsi ramai mengenai aktiviti itu menerusi penampilannya sehingga mendapat julukan sebagai penari balet berhijab pertama di dunia.

Kurlow membuktikan kepada pelbagai pihak bahawa penampilan itu tidak menghalang minat dan kepakaran seseorang, terutamanya jika ia dilakukan dengan penuh kesungguhan.

Menurut gadis cantik berusia 21 tahun itu, keupayaan individu bukanlah bergantung kepada penampilan semata-mata.

MULA PADA USIA MUDA
Kurlow dilahirkan di Australia. Dia mula menceburi tarian itu sejak berusia dua tahun, namun terpaksa menghentikan minatnya apabila dia memeluk agama Islam bersama keluarganya ketika dia berusia sembilan tahun.

Selepas memeluk Islam, Kurlow memutuskan untuk berhijab sepenuhnya dua tahun kemudian ketika berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, dia berdepan kesukaran untuk diterima masuk di mana-mana pusat balet kerana berhijab.

TIDAK MAHU MENGALAH
Biarpun berdepan kesukaran untuk meneruskan minatnya dalam tarian balet, Kurlow tetap tidak berputus asa dan bersungguh-sungguh mahu membuktikan bahawa berhijab tidak menjadi penghalang untuk menjadi penari balet profesional.

Pada 2014, Kurlow bergiat aktif semula dalam tarian balet dan penampilannya mula mendapat perhatian pelbagai pihak.

Menerusi media sosial, Kurlow berjaya meyakinkan banyak pihak bahawa dia juga mampu mempersembahkan tarian balet yang memukau.

DAPAT SOKONGAN
Ibunya Alsu Kurlow merupakan antara penyokong kuat Kurlow. Dia mendapat inspirasi daripada kesungguhan anak perempuannya itu dengan membuka sebuah akademi persembahan seni yang menampilkan program balet, seni mempertahankan diri dan kesenian.

“Disebabkan tiada kelas balet mahu menerima saya kerana bertudung, ibu membuka akademi persembahan seni. Secara tidak langsung ia memberi saya peluang untuk meneruskan minat saya ini.

“Di akademi tersebut, para pelajar tidak perlu bimbang dengan penampilan mereka dan penyertaan mereka diterima dengan hati terbuka,” kata Kurlow.

TURUT DIKECAM
Kurlow memberitahu, dia juga tidak terlepas daripada kecaman pelbagai pihak yang mempertikaikan kebolehannya untuk menari balet dengan penampilan bertudung dan kostum yang tidang ketat dan singkat.

Katanya, ada juga yang mempersoalkan mengapa masih perlu menari balet jika sudah memeluk Islam? Bolehkah wanita Islam terlibat dalam tarian balet?

“Ajaran Islam itu mudah dan tidak menjadi penghalang untuk penganutnya melakukan pelbagai perkara yang mungkin dianggap mustahil oleh masyarakat.

“Ada banyak cara untuk menyampaikan tarian balet, tidak semestinya perlu berpakaian ketat dan singkat yang penting, teknik dan kesungguhan itu perlu ada,” ujarnya.

Kurlow juga secara terbuka sering berkongsi gambarnya melakukan tarian balet dalam akaun media sosial dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengikutnya.

MAHU BUKA STUDIO SENDIRI
Tidak mahu pengalamannya ditolak pelbagai studio balet kerana bertudung, Kurlow tekad untuk membuka sendiri studi miliknya suatu hari nanti.

Ketika ini, gadis cantik itu giat mengumpul dana secara dalam talian bagi membolehkan dia membuka studio tarian sendiri.

Katanya, setiap impian perlu dilakukan dengan usaha dan walau sesukar mana sekali pun, dia tetap mahu melakukannya.

“Saya tidak mahu kanak-kanak perempuan atau gadis berhijab yang juga meminati balet menerima nasib seperti saya.

“Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak, mungkin ada yang tidak faham tentang Islam dan perkara yang tidak boleh dilakukan.

“Namun, itu tidak boleh dijadikan penghalang sampai bila-bila,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN