KERAJAAN mengumumkan negara bakal beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini selepas dua tahun berhadapan wabak Covid-19. Serentak dengan itu, sempadan negara juga akan kembali dibuka. Fasa ini ialah suatu permulaan sebelum memasuki endemik secara total.
Peralihan ke fasa ini bermakna rakyat akan kembali kepada kehidupan yang hampir normal. Kita akan dapat bergerak dengan lebih bebas dan premis perniagaan boleh beroperasi seperti biasa. Sungguhpun begitu, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan.
Pembukaan sempadan negara akan merancakkan ekonomi khasnya bagi sektor pelancongan yang teruk terjejas sebelum ini. Berita ini sudah tentu menggembirakan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara serta bagi mereka berhasrat berkunjung ke negara luar.
RAMADAN
Sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi, sudah pasti ramai sudah terbayang-bayang berkunjung ke gerai-gerai bubur lambuk yang dahulunya berderet di sekitar Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Begitu juga bagi para peniaga yang mengharapkan limpahan rezeki dengan kelonggaran yang diberi pada tahun ini.
Sungguhpun begitu, kita harus sedar bahawa negara masih belum dapat mengawal jangkitan Covid-19 dengan sepenuhnya. Bilangan kes aktif masih tinggi dan masyarakat mungkin akan terdedah kepada varian-varian baharu, apatah lagi setelah pintu sempadan negara dibuka semula.
Justeru, bilangan kes akan kembali melonjak dalam sekelip mata sekiranya tidak berhati-hati. Kita tidak mahu melihat hospital kembali dipenuhi pesakit Covid-19 akibat kelalaian menjaga prosedur operasi standard (SOP).
Ingat, jangan sampai keghairahan menyambut raya di kampung halaman mendedahkan insan yang disayangi kepada virus ini. Pengabaian SOP juga boleh merencatkan perjalanan negara ke fasa endemik.
Pada ketika ini, negara belum betul-betul mencapai imuniti berkelompok akibat sifat virus yang sentiasa bermutasi kepada varian baharu. Malah, jika sudah berada di fasa endemik sekali pun, kita masih lagi perlu berwaspada. Seperti kita berjaga-jaga dengan mengambil pelbagai langkah mengelak dari jangkitan denggi yang yang diklasifikasikan sebagai endemik. Ini kerana penyakit yang diklasifikasikan sebagai endemik masih lagi boleh merebak dalam kalangan masyarakat.
Sudah terlalu ramai rakyat menderita akibat pandemik Covid-19. Jadi, lebih baik mencegah daripada mengubati. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Kerajaan mungkin terpaksa mengambil langkah yang lebih drastik bagi mengawalnya semula seperti yang berlaku di beberapa buah negara sekiranya krisis kesihatan kembali.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











