Balu, janda dan perkahwinan - Utusan Malaysia

Balu, janda dan perkahwinan

KEPUTUSAN si balu atau si janda untuk berkahwin semula diterima dan hak itu diperakui serta tidak melanggar undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM realiti kehidupan masyarakat majmuk di negara ini, langkah proaktif amat perlu untuk kita cuba mengenali budaya dan amalan rakan-rakan pelbagai kaum. Tidak ada gunanya kita melaungkan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang sekiranya kita sendiri tidak cuba meraikan dan menghargai kepelbagaian itu.

Cara paling mudah untuk mengenali dan memahami budaya rakan-rakan pelbagai kaum adalah dengan meluaskan pergaulan. Pada masa sama, kita perlu sedia untuk bertanya kerana malu bertanya, sesat jalan dan tak kenal maka tak cinta.

Dalam konteks ini, saya selalu berasa gembira apabila rakan-rakan bertanya soalan mengenai amalan dan budaya kaum India beragama Hindu. Pertanyaan mereka menunjukkan niat untuk mengenali dan memahami kaum lain.

Saya amat percaya, hanya melalui pemahaman seperti ini maka kita dapat saling menghormati, bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian dalam erti kata sebenar.

“Bolehkah wanita kaum India berkahwin dengan pak cik mereka sendiri, iaitu adik lelaki kepada si ibu? Bagaimana pula jika adik lelaki dari sebelah si bapa?” Demikian pertanyaan ikhlas yang dikemukakan Rushida Abdul Wahid dari Klang, Selangor. Dia tentu pernah menyaksikan hal seperti ini dalam filem Tamil lama serta amalan dalam masyarakat sekeliling.

Pertanyaan seperti ini amat wajar kerana boleh membantu memahami budaya India Hindu. Pada masa sekarang, insiden seorang gadis kaum India berkahwin dengan adik lelaki kepada ibunya sendiri sudah jarang kedengaran. Akan tetapi, amalan itu memang menjadi budaya dan dibenarkan dalam komuniti India beragama Hindu sejak dahulu.

Senario seperti ini ada saya ketengahkan menerusi cerpen Nayagi yang menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992). Pembaca bukan kaum India memang menghadapi sedikit kesukaran untuk memahami amalan dan budaya kaum itu yang disajikan dalam cerpen ini, termasuk babak di mana watak Madhavi diminta bersetuju untuk berkahwin dengan Ravi Kumar, adik lelaki kandung kepada ibunya.

Dalam tradisi lama, beza umur antara pasangan pengantin mungkin sekitar 10 tahun. Jarak umur antara si kakak dan si adik lelaki juga agak jauh. Maka, si adik lelaki itu akan dijodohkan dengan anak perempuan kepada si kakak terbabit.

Amalan ini tidak bertentangan dengan budaya kaum India. Cuma, kurang diamalkan pada masa kini kerana masing-masing memilih pasangan hampir sebaya. Malah, beza umur antara si kakak dan si adik lelaki tidak jauh. Sekali gus, beza umur antara anak kepada si kakak dan adik lelakinya amat jauh dan dirasakan kurang sesuai untuk dijodohkan.

SUMBANG MAHRAM
Kita boleh bertanya kepada warga emas kaum India dan tentu sahaja mereka akan berasa amat gembira untuk bercerita lebih lanjut tentang amalan berkahwin dengan anak gadis kepada kakak kandung.

Dalam hal ini, sebagaimana saya huraikan dalam buku Kavya Sastra (2021), kita perlu bersedia untuk memahami amalan dan budaya itu dalam konteks India Hindu.
Jika dilihat dalam konteks Melayu Islam, mungkin persepsi dan hukum-hakam adalah berbeza. Rushida turut bertanya sama ada seorang gadis kaum India boleh berkahwin dengan adik lelaki kepada bapanya.

Harus ditegaskan bahawa budaya India Hindu melarang dan mengharamkan perkahwinan seperti itu. Perbuatan itu dianggap sama seperti sumbang mahram dalam konteks Islam. Hal demikian kerana dalam budaya India, adik lelaki kandung kepada si bapa sama taraf dengan bapa kandung. Maka diharamkan untuk berkahwin dengan pak cik sebelah bapa.

PERKAHWINAN BALU
“Adakah wanita kaum India berstatus balu boleh berkahwin semula?” Demikian satu lagi soalan dikemukakan Rushida dengan penuh rasa ingin tahu. Pertanyaan ini juga amat wajar kerana kisah balu selalu dipaparkan dalam filem Tamil dan Hindi dari India.

Malah, menerusi kajian sarjana sastera di Universiti Malaya, saya mendapati watak balu sering disajikan secara stereotaip dalam cerpen yang dihasilkan penulis kaum India.

Untuk rekod, balu merujuk kepada wanita yang kematian suami, manakala janda merujuk kepada wanita yang sudah bercerai. Dalam amalan tradisi India, balu dan janda tidak berkahwin semula. Hal ini berbeza dengan duda (lelaki kematian isteri) yang biasanya digalakkan berkahwin dengan alasan anak-anak perlukan seorang ibu. Si janda dan si balu pula menjadi ibu tunggal yang meneruskan hidup demi anak-anak.

Namun begitu, tradisi dan amalan seperti itu sudah lama berubah. Kaum kerabat dan masyarakat tidak lagi berpegang kepada stereotaip si balu perlu memakai sari putih dan si janda kekal sebagai ibu tunggal. Sebaliknya, keputusan si balu atau si janda untuk berkahwin semula diterima dan hak itu diperakui. Malah, perbuatan seorang balu atau janda berkahwin semula tidak melanggar undang-undang.

Saya ada menghuraikan tentang balu dan janda dalam konteks ajaran Islam menerusi esei Balu dan janda di mata Muhammad dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Tentu sahaja ada perbezaan pandangan dan amalan dalam budaya Hindu dan Islam. Akan tetapi, apa yang lebih penting adalah pertanyaan Rushida membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk membincangkan topik-topik ini secara terbuka.

Sebagaimana saya nyatakan, hanya menerusi perbincangan secara ikhlas dan terbuka, maka kita akan berpeluang untuk saling mengenali dan memahami persamaan dan perbezaan yang wujud antara budaya, amalan, agama dan tradisi berbeza.

Perbezaan yang wujud itu tidak pula perlu dijadikan isu atau topik perbalahan. Sebaliknya, kita perlu bersikap matang dengan meraikan kepelbagaian dan menghormati perbezaan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×