Melahirkan 31 buah karya dalam tempoh hanya lima tahun, nyata pemilik nama Thanusya Shanmuganathan, 35 ini bukan calang-calang wanita.
Daripada angka itu karyanya pelbagai. Ada novel, cerpen, sajak, esei, dan skrip telemovie. Menggunakan nama pena Meera Natasya, barangkali ramai menyangka bahawa penulisnya adalah wanita Melayu.
“Selalunya idea itu datang secara tiba-tiba. Menerusi pengalaman sendiri, atau saya saya olah daripada bahan bacaan, mengikut kreativiti dan selera sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Berpenampilan sederhana. Riak wajahnya redup namun siapa sangka bekas wartawan dari The Malaysian Reserve dan The Malaysian Insider ini memiliki pelbagai idea bila dicurahkan dalam bentuk tulisan.
“Saya suka menulis sebab saya suka berkongsi. Bila menulis, rasa seronok dan riang. Saya pencerita dalam bentuk tulisan.
“Bagi saya bila orang baca buku saya, rasa gembira sebab ada yang sudi baca dan nak tambah ilmu. Penulisan saya bukan sekadar cerita. Ada ilmu saya kongsikan juga,” katanya yang gemarkan genre thriller dan cinta komedi.
Dia juga gemar berkongsi mengenai fakta-fakta tentang adat resam dan budaya masyarakat India dalam setiap penulisannya.
Novel sulungnya berjudul Tak Sengaja Cinta terbitan Fajar Pakeer pada tahun 2014 antara titik permulaan untuk dirinya menerokai dunia penulisan secara lebih serius.
“Novel itu mengisahkan tentang seorang wanita yang diburu oleh lelaki misteri, dan pada masa sama, wanita itu jatuh cinta dengan lelaki yang diupah sebagai pengawal peribadinya. Bila ia mula berada di pasaran, saya rasa teruja dan bangga,” katanya.
Mengenai nama Meera Natasya, katanya nama itu digunakan sebab pada ketika novelnya keluar, dia seolah-olah memulakan kehidupan dengan imej baharu. Nama tersebut merupakan gabungan bahasa Sanskrit dan Greek yang bermaksud kelahiran semula dan kekayaan.
Thanusya menyifatkan novel itu bagaikan badi. Kerananya juga dia seolah-olah tidak pernah berhenti menulis, malah sentiasa rasa gian untuk terus berkarya.
“Buah tangan terbaharu saya bertajuk Savithri terbitan Agni MN Media Resources. Saya mengambil masa tujuh tahun untuk menyiapkannya. Saya mula menulis novel setebal 265 muka surat ini pada penghujung 2013 dan siap sepenuhnya pada Jun tahun ini,” katanya tersenyum sambil matanya bagaikan bercahaya bila berbicara soal kecintaannya itu. Cinta yang kekal melekat di sanubarinya.
Dalam ramai cerpanis wanita, sesuatu yang nyata mengenai lulusan Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya (UM) ini ialah dia gemar menyelitkan informasi menarik mengenai bangsa dan agamanya.
Para pembaca berpeluang mempelajari beberapa perkataan Tamil seperti Amma yang bermaksud ibu atau Pariharam yang membawa erti pampasan dan banyak lagi.
Tidak ada novel paling digemari Thanusya kerana menurutnya, setiap buku penulisannya diibaratkan seperti anak-anak. Maka, dia tak boleh memilih.
E-BOOK & CABARAN
Dalam ramai kalangan penulis bercakap mengenai e-buku dan relevan kewujudan novel, Thanusya opitimis menyatakan bahawa ia relevan pada masa kini. Beliau sendiri suka membaca e-buku, dan sedang dalam perancangan menguruskan sebuah projek e-buku bersama tiga penulis lain.
Begitupun novelis ini yakin, sehebat manapun penangan teknologi dan kelahiran buku dalam bentuk maya dan aplikasi, pada akhirnya manusia pasti akan kembali kepada buku.
“Buku ini lain. Bau dan fizikalnya sahaja sudah membuatkan saya rindu. Tidak puaslah baca e-buku. Kalau tiada elektik bagaimana,” katanya melontar pandangan.
Namun jauh di sudut hatinya, dia berharap pihak kerajaan melakukan sesuatu dalam memastikan kelangsungan industri buku di negara ini.
Mengenai persaingan penulis wanita di negara ini, katanya tiada masalah sama sekali kerana sememangnya kita punyai wanita yang telah menjadi Sasterawan Negara.
“Nak jadi penulis wanita terkenal pun tak ada halangan, kecuali diri kita yang menjadi penghalang. Bagi yang mahu menjadi novelis antara perkara perlu ada dalam diri mereka ialah keyakinan, bakat, minat, dedikasi, tanggungjawab,” katanya.
BANGKU SEKOLAH
Mula meminati novel-novel Melayu sejak berada di bangku sekolah menengah lagi. Kata Thanusya dia didedahkan dengan buku-buku Komponen Sastera (KOMSAS) seperti Anak Laut, Bukit Kepong, dan Konserto Terakhir.
Tidak keterlaluan dikatakan, pendedahan sastera dalam sistem pendidikan tempatan menjadi antara pengaruh awal untuk dirinya mencintai sastera Melayu, menjadi ulat buku, seterusnya menjadi Novelis sepenuh masa.
Membuktikan kata-katanya itu, anak bongsu daripada enam adik-beradik ini pernah beberapa tahun berkhidmat di salah sebuah toko buku terkemuka negara.
“Saya nekad menyumbang dan mencurahkan segala ilmu pengetahuannya dalam dunia penulisan kepada masyarakat dengan menubuhkan syarikat Agni MN Media Resources dan menawarkan khidmat menyunting, menerbit, menterjemah dan sebagainya,” katanya yang memegang jawatan sebagai Ketua Editor di situ.
Penulis yang masih solo ini pernah menerima anugerah Ikon Wanita Tahun 2020 yang dianugerahkan oleh Kongres India Malaysia (MIC) sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac.
Menyentuh mengenai perancangan masa depannya, Thanusya ingin terus menulis selagi kudrat masih ada. Dia turut berhasrat menerbitkan karya bermutu dari segi cerita dan penggunaan bahasa yang lebih baik juga.
Keluarga jadi pendorong
Pencapaiannya Thanusya, dalam dunia penulisan tidak mungkin tercapai tanpa sokongan seluruh ahli keluarga khususnya ibu dan ayahnya.
“Ibu dan ayah saya pernah mempromosi karya kepada saudara-mara dan kawan-kawan mereka. Pengorbanan itu menjadikan saya lebih bersemangat,” katanya mengimbau kenangan. Dalam ramai ahli keluarga, hanya dirinya bergelar penulis.
Kini kedua orang tua Thanusya tidak lagi berdaya. Thanusya dan adik beradik lain bersama-sama membantu menguruskan ibunya, Oma Devy Muthuvel, yang kini berusia 60 tahun. Ayahnya meninggal dunia awal tahun 2020.
Ibunya sekadar seorang suri rumah manakala ayahnya sewaktu hayatnya berkhidmat sebagai Jawatan Penyelenggara Istana (JPA).










