Taman Saujana Hijau, 'ala' Eropah menggamit tumpuan - Utusan Malaysia

Taman Saujana Hijau, ‘ala’ Eropah menggamit tumpuan

Kawasan taman awam ini terbahagi kepada tiga bahagian. Saujana Utara, Saujana Tengah dan Saujana Selatan yang masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMAN Saujana Hijau terletak di Presint 11, Putrajaya antara hutan tanah tinggi atau Hutan Konifer di Selangor.

Tumbuhan pine daripada spesies gymnosperma itu, biasanya hidup di Amerika Utara, Alaska, Semenanjung Skandinavia dan Rusia.

Maka tidak hairanlah bila pengunjung merasakan, berada di Taman Saujana Hijau, umpama menikmati keindahan bumi Eropah.

Taman awam dengan keluasan 117 ekar ini menjadi pilihan individu yang gemar beriadah, santai bersama keluarga dan teman-teman atau sekadar merakam gambar kenangan tanda pernah ke situ.

Keindahan itu turut menjadikan taman berkenaan sebagai lokasi merakam foto perkahwinan dan acara peribadi seperti sambutan hari jadi.

Sewaktu kunjungan Utusan Malaysia ke sana, kerja penyelenggaraan landskap sedang dilakukan. Kalau tidak, pasti lebih banyak lagi pokok bunga berwarna warni termasuk bunga matahari ceria menyambut kehadiran kami.

Tinjauan kami mendapati beberapa pasangan pengantin di lihat teruja merakam gambar dan video perkahwinan mereka berlatar belakangkan kehijauan taman dan rumpunan gymnosperma.

Bagi peminat sukan dan riadah pula, laluan bercampur antara berbukit dan rata, memang bonus untuk mempercepatkan peluh keluar.

Tanpa perlu berlari, berjalan kaki pun sudah cukup melencunkan baju. Landskap memukau dan terjaga dengan baik itu mampu menghilangkan kepenatan walaupun sudah menjelajah beberapa kilometer kawasan taman.

TUJUAN PENYELIDIKAN
Pembinaan taman ini pada asalnya sebagai pusat penyelidikan, rujukan dan pembelajaran kumpulan tumbuhan gymnosperma, sejenis tumbuhan tanpa bunga yang menghasilkan kerucut dan biji.

Apabila ia dilengkapkan dengan kemudahan, mulalah ia menggamit kunjungan orang ramai.

Keluasan taman terbahagi kepada tiga bahagian dikenali sebagai Saujana Utara seluas 11.35 ekar, Saujana Tengah terdiri daripada Bustan Inggeris, Bustan Oriental dan Bustan Eropah seluas 87.96 ekar serta Saujana Selatan melibatkan 11.96 ekar.

Melangkah kaki ke Bustan Inggeris, pengunjung disambut dengan pelbagai hiasan tumbuhan eksotik seperti sikas paku gajah, mexican fern palm dan Zululand cycad, malah terdapat juga pokok bunga semusim berwarna-warni dan gabungan pelbagai pokok pine.

Lain pula landskapnya tatkala sampai ke Bustan Eropah, namun masih dengan kepelbagaian spesies tumbuhan sekali gus tidak rugi untuk bergambar.

Antara tumbuhan yang ada ialah pokok pine, kultivar juniper, thuja dan sikas.

Paling mengujakan dan dinanti-nantikan pengunjung adalah Bustan Oriental. Ia bukan sahaja memiliki keunikan landskap dan pokok, tetapi ia juga adalah puncak tertinggi yang menjadi kepuasan tatkala melakukan riadah terutama waktu pagi bagi yang gemar beraktiviti.

Setiap sudut boleh diabadikan kenangan dan atas faktor itu jugalah, ia sentiasa menjadi tempat kunjungan orang ramai.

Tabiat segelintir yang gemar menularkan lokasi indah ini laman sosial Facebook antara punca ia kian popular.

PEMANDANGAN PUTRAJAYA
Kalau ingin menyaksikan keindahan Putrajaya, bolehlah naik hingga ke bahagian puncaknya. Antara tumbuhan yang ada di sini ialah podo pucur atas, damar minyak dan buluh.

Kepelbagaian tanaman dan keindahan landskap membuatkan pengunjung tidak jemu ke sana.

Bagi yang pertama kali hadir pasti mahu datang berkali-kali lagi ke situ.

Biarpun saya datang berkunjung ke sini sewaktu matahari terik, saya tidak gusar panahan matahari. Pokok-pokok tinggi yang ada di situ, sudah cukup membuatkan banyak tempat redup. Saya masih boleh berehat sambil menenangkan fikiran walaupun jarum jam menunjukkan angka 12.

Sanggup datang dari jauh
Surirumah, Nor Aishah Ariffin, 50, antara pengunjung tetap Taman Saujana Hijau. Katanya dia sanggup keluar rumah di Kota Warisan, Sepang bersama suami untuk beriadah waktu pagi setiap selang sehari.

Katanya laluan beriadah yang berbukit dan tanah rata memudahkan tubuhnya membakar lemak.

“Untuk orang yang mahu melakukan aktiviti sihat dan menurunkan berat badan, datanglah ke sini. Saya rasa teruja sewaktu turun dan naik ke puncak. Saya sangat suka dengan bau-bauan pokok dan tumbuhan di taman ini,” katanya.

Kemudahan lengkap yang disediakan, sekali gus menjadikan ia lokasi pilihan Nor Aishah beriadah di situ.

“Saya tinggal di Putrajaya sebelum berpindah ke Kota Warisan. Kami tetap menjadi pengunjung setia di sini walaupun sudah berpindah ke tempat lain. Kami sanggup keluar rumah selepas subuh untuk memandu ke sini,” katanya teruja.

Pengunjung, Nur Atiqah Razali, 25, yang menetap di Bandar Saujana Putra menjelaskan taman itu lokasi wajib dikunjunginya bersama rakan untuk beriadah pada hujung minggu dan bila ada masa terluang.

Katanya, pokok-pokok dan bunga di situ bagaikan menghidupkan harinya yang suram.
“Saya gembira ke sini. Di sini tidak sama seperti taman yang lain. Berada di taman ini seolah-olah berada di Eropah,” katanya memberi reaksi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×