Pak Mokhtar, OKU yang tak reti duduk diam

Pak Mokhtar, OKU yang tak reti duduk diam

oku
Selain menyemai benih pokok untuk dijual, Pak Mokhtar turut menjadi peraih buah-buahan dalam menyara kehidupannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pak Mokhtar atau nama sebenarnya Abdul Mutalib Mamat, bukan nama asing dalam kalangan penduduk Kampung Damak, Jerantut, Pahang.

Pelbagai kisah hidup dilalui oleh Pak Mokhtar, 66, dalam menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai seorang peraih buah-buahan.

Pak Mokhtar menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) lebih enam dekad lalu apabila sebelah kakinya lumpuh akibat demam panas sejak dirinya berusia empat tahun lagi.

Jika terlihat kelibat seorang lelaki menaiki motosikal roda tiga, itulah Pak Mokhtar.

Pak Mokhtar yang murah dengan senyuman ini tidak pernah meminta belas ihsan orang ramai untuk meneruskan kehidupan harian, sebaliknya dia akan sedaya upaya mencari rezeki sebagai peraih buah-buahan.

Walaupun bergelar OKU, dia juga tidak tahu duduk diam. Jika tiada musim buah-buahan, bujang ini akan menggunakan kemahirannya menghasilkan anak-anak pokok buah-buahan seperti durian, manggis dan sebagainya.

“Saya anak ketiga dari empat beradik. Dua sudah meninggal, tinggal saya dan adik lelaki saya yang sudah berkeluarga. Pernah juga masa saya berusia 25 tahun, ibu bapanya cuba mencarikan jodoh untuk saya, namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya yang sentiasa pasrah dengan laluan hidupnya.

Ayahnya meninggal dunia ketika usianya 35 tahun, manakala emak meninggal enam tahun lalu.

TIADA PENDIDIKAN

Pak Mokhtar tidak pernah mendapat pendidikan formal seperti orang lain, sebaliknya hanya bersekolah pondok sejak usia lapan tahun.

Namun itu bukanlah alasan untuknya berpeluk tubuh.

Dia belajar menghasilkan anak-anak pokok buah-buahan daripada arwah bapa sejak saya kecil lagi. Hari ini kemahiran itu turut di jana untuk memperoleh sumber pendapatan.

“Kalau tiba musim buah-buahan, saya akan membeli buah-buahan daripada penduduk kampung dan menjualnya semula. Kalau tidak, saya tumpukan menjual anak-anak pokok durian, manggis dan lain-lain pokok buah-buahan,” katanya yang turut memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan.

Pak Mokhtar memberitahu, dia pernah dua kali ditipu ketika menjadi peraih buah-buahan.

“Pertama pada tahun 2000, saya rugi RM2,000. Buah-buahan diambil tapi tidak dibayar.

“Tiga tahun lalu, sekali lagi ditipu sebanyak RM13,000. Orang itu ambil buah-buahan dan janji hendak bayar tapi janji tinggal janji.

“Tapi saya tidak berputus asas kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya yakin Allah SWT ada bersama saya,” katanya mengakhiri pertemuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×