Malam ‘bernafas’ di Putrajaya - Utusan Malaysia

Malam ‘bernafas’ di Putrajaya

Pengunjung menyewa kemudahan beca di Ayer 8, Putrajaya mengelilingi tasik Putrajaya bersama keluarga dan rakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELUANGKAN malam minggu bersama keluarga atau teman dengan bersiar-siar di sekitar Putrajaya, tidak sama suasananya jika dibandingkan kira-kira lebih 15 tahun lalu.

Dulu, lokasi yang menempatkan bangunan pentadbiran kerajaan ini hanya ‘hidup’ pada waktu bekerja iaitu dari pukul 7 pagi hingga 6 petang. Selebihnya ia ‘mati’.

Sebaliknya, hari ini suasana malam di Putrajaya cukup meriah dan happening. Perancangan dan pembangunan pesat ditambah pelbagai fasiliti, kemudahan selain elemen tarikan pengunjung dibangunkan di Putrajaya mengubah landskap Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.

Boleh dikatakan hampir setiap hari selepas waktu bekerja hingga malam, pelbagai aktiviti riadah menyihatkan badan seperti berjalan, berlari dan berbasikal dapat dilihat di Putrajaya terutama di sekitar Dataran Putra sehingga ke Presint 4.

Bulatan luas di kawasan tersebut meriah di malam hari menjadi tempat bersantai keluarga membawa anak-anak sambil bergambar kenangan berlatar belakang Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra di samping terdapat arca ‘PUTRAJAYA’ menjadikan lokasi wajib untuk dikunjungi.

Keindahan pemandangan tasik juga tidak asing di sini. Antara jambatan menjadi tarikan untuk bergambar di malam hari seperti Jambatan Seri Gemilang di selatan Persiaran Perdana iaitu penghubung utama antara Presint 4 dan Presint 5 serta Jambatan Seri Wawasan, merupakan laluan menghubungkan antara Presint 2 dan kawasan kediaman Presint 8.

JAMU SELERA
Sudah penat berjalan-jalan di Putrajaya, pastinya tercari-cari lokasi untuk mengisi perut yang kosong dan anda tidak perlu bimbang kerana banyak tempat dan premis menawarkan makanan dengan pelbagai menu dan pilihan.

Mahu menikmati makanan sambil telinga dihidangkan persembahan busking beserta suasana meriah, bolehlah singgah makan di Food Truck Presint 2 dan Food Truck Presint 14 tetapi, pastikan juga prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengelak jangkitan Covid-19 yang tidak diingini.

Jika inginkan suasana tenang bersama keluarga dan teman secara berkelah, jangan lupa untuk membawa tikar dan menikmati suasana malam di kawasan lapang berhadapan Dataran Putrajaya, Presint 3 sambil anak-anak kecil berlari dan bermain.

Lokasi tersebut antara kegemaran pengunjung untuk berkelah dan meluangkan masa bersama keluarga kerana keluasan tempat ditambah lagi cahaya lampu menerangi bangunan Perbadanan Putrajaya (PPj) mengindahkan lagi kawasan itu.

Belum puas berjalan-jalan di Putrajaya dan mahukan aktiviti lain di malam hari, pengunjung disyorkan untuk singgah di Ayer8, Putrajaya kerana lokasi ini bukan setakat menawarkan restoran makanan semata-mata.

Anda boleh singgah ke premis Bubbles & Beans dan menyewa kemudahan seperti beca, e-bike, motorised kids dan scooter tuk-tuk serta bersiar-siar di sekeliling tasik dengan tawaran harga berpatutan.

Suka dan seronok
Rata-rata yang berkunjung ke Putrajaya inginkan lagi suasana damai di tempat tersebut dan itu diakui oleh seorang pengunjung tetap, Masitah Mohamud, 33, dari Keramat, Kuala Lumpur kerana hampir setiap minggu dia ke situ bersama keluarga.

“Di sini banyak tempat menarik dan sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak kecil. Saya paling suka berjalan di Ayer 8 pada waktu malam kerana di sini meriah dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan,” katanya.

Pengunjung, Siti Zainab Mustari, 30, dari Ampang, Selangor berkata, ini kali pertama dia bersama suami serta dua anak berusia empat dan dua tahun berkunjung ke Putrajaya di malam minggu.
“Kami datang ke Putrajaya dan solat maghrib di Masjid Putrajaya seterusnya menikmati suasana malam di Dataran Putra.

“Memang sangat meriah kerana orang ramai bersantai di sini malah anak-anak saya juga nampak gembira,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×