‘Tujhe dekha to yeh jaana sanam
Pyaar hota hai deewana sanam
Ab yahan se kahan jaaye hum
Teri Baahon mein mar jaaye hum’
ITU adalah bait lagu nyanyian Lata Mangeshkar yang berjudul Tujhe Dekha To dalam filem Bollywood, Dilwale Dulhania Le Jayenge lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol.
Filem itu merupakan satu daripada lebih 1,000 filem pecah panggung Bollywood yang menggunakan suara merdu Mangeshkar.
Boleh dikatakan setiap lagu nyanyian beliau dalam filem Bollywood, pasti akan menjadi hit dan siulan ramai.
Di Bollywood, sesuatu filem tidak akan ‘hidup’ tanpa lagu yang sedap dan Mangeshkar merupakan antara ‘nadi’ kepada perkara itu.
Kini, masyarakat tidak lagi berpeluang mendengar lagu baharu yang dinyanyikan oleh Mangeshkar apabila penyanyi itu meninggal dunia ketika berusia 92 tahun pada 6 Februari lalu.
Beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 11 Januari akibat jangkitan Covid-19.
Permergiannya jelas memberi kesan besar terhadap industri hiburan Bollywood kerana hampir kebanyakan filem yang dihasilkan pasti diiringi alunan suara emas Mangeshkar.
BERMULA PADA USIA 13 TAHUN
Mangeshkar dilahirkan pada 28 September 1929 di bandar Indore dan memulakan kariernya sebagai penyanyi ketika berusia 13 tahun, apabila bapanya meninggal dunia dan dia perlu mencari rezeki bagi keluarganya.
Lima tahun selepas itu, beliau mula mencipta nama menerusi nyanyian dalam filem Aapki Sewa Mein.
TIDAK LENGKAP TANPA MANGESHKAR
Alunan suara tinggi Mangeshkar berjaya menarik perhatian pelbagai penerbit filem dan boleh dikatakan, hampir semua filem pecah panggung di Bollywood menggunakan suaranya untuk menyanyikan pelbagai lagu runut bunyi.
Kebanyakan penerbit filem sendiri beranggapan karya mereka tidak akan lengkap tanpa suara Mangeshkar.
Malahan, komposer dan penerbit saling berebut untuk mendapatkan penyanyi itu bagi menjayakan filem mereka.
SIMBOL BUDAYA INDIA
Mangeshkar berjaya mendominasi muzik Bollywood selama lebih separuh abad dan dinobatkan pelbagai pihak sebagai penyanyi latar paling hebat.
Penyanyi itu juga dikatakan tidak pernah malu dalam menetapkan harga bayaran bagi setiap nyanyian atau royalti yang diperoleh daripada semua lagunya.
Pengkritik sebelum ini pernah menyuarakan kegemilangan Mangeshkar seolah-olah tidak memberi muka kepada penyanyi lain, namun peminatnya tetap setiap menyokong perjalanan seni wanita itu.
Selain itu, Mangeshkar juga terkenal dengan kebiasaannya iaitu menanggalkan kasut setiap kali menyanyi dan sering menyalin setiap lagu sebelum membuat rakaman.
Biarpun tidak menamatkan persekolahan, penyanyi itu tetap fasih dalam sejumlah bahasa termasuk Inggeris, Rusia, Belanda dan Swahili.
LEGASI MANGESHKAR
Biarpun beliau sudah tiada, nyanyiannya akan terus diingati dan legasi muziknya akan disambung oleh generasi ketiga dalam keluarganya.
Antara penyambung legasi Mangeshkar termasuk anak buahnya iaitu Radha Mangeshkar.
Radha bermula sebagai penyanyi ketika berusia tujuh tahun dan pada 2009, Mangeshkar pernah menerbitkan album solonya berjudul Naav Majhe Shami.
Gadis itu memaklumkan, muzik yang diperjuangkan mendiang ibu saudaranya akan terus kekal untuk dinikmati semua generasi.
Seorang lagi penyambung legasi Mangeshkar adalah anak kepada adiknya iaitu Rachana Khadikar Shah.
Rachana merupakan anak perempuan kepada Meena Mangeshkar.
Mungkin legasi Mangeshkar dapat diteruskan, namun keaslian seni muzik dan suaranya tidak dapat diganti sampai bila-bila.
Hanya satu Lata Mangeshkar di dunia ini.
TIDAK BERKAHWIN
Sepanjang hayatnya, Mangeshkar dilaporkan tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak dan beberapa sumber mendakwa keputusan itu dibuat bagi ‘menjaga kelunakan suaranya’.
Bintang wanita itu juga terkenal dengan disiplin yang tinggi termasuk dalam rutin penjagaan harian dan pemakanan bagi memastikan suaranya tidak terjejas.










