Dunia menangisi pemergian seorang kanak-kanak lelaki comel dari Maghribi yang bernama Rayan Oram setelah lima hari terkurung di dalam perigi buta. Sepanjang lima hari anak lelaki berusia lima tahun ini terjatuh dan terkurung dalam perigi tersebut, manusia dari seluruh dunia berdoa agar Allah menyelamatkan kanak-kanak malang ini.
Namun takdir mendahului segala-galanya apabila tarikh 5 Februari menjadi detik dukacita buat seluruh dunia apabila pihak penyelamat yang berusaha gigih menggali tanah untuk menyelamatkan Rayan akhirnya dapat menemuinya namun sang kanak-kanak telah kembali kepada Allah SWT.
Anak Adalah Pinjaman
Seorang ayah jua ibu perlu menginsafi bahawa sebesar manapun kasih sayang mereka kepada anak-anak mereka, namun hakikat anugerah memiliki anak-anak, keluarga dan harta benda hanyalah satu pinjaman daripada Allah SWT.
Maka jika Allah menginginkan kembali anak-anak, Allah berhak mengambil semula milik-Nya daripada sang ayah dan ibu.
Kerana itulah apabila seseorang diuji oleh Allah dengan apa sahaja kehilangan dan sebarang musibah, dia dituntut untuk mengucapkan:
Inna lillah wainna ilaihi roji’un yang bermaksud: Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita kepada-Nya adalah mereka yang kembali (pada satu hari nanti).
Ini adalah satu zikir yang mengingatkan kita, segala nikmat kurniaan Allah hanyalah pinjaman oleh Allah yang akan diminta semula oleh-Nya pada satu waktu kelak.
Ajal Maut Ketentuan Allah
Tidak akan ada seorang manusia pun melainkan dia pasti akan menempuh kematian. Kematian adalah bukti jelas kita hanyalah makhluk yang tidak memiliki kekuasaan.
Bahkan sebelum sang bayi keluar dari perut ibunya, Allah sudah memaklumkan kepada malaikat khusus akan takdir, ajal dan rezeki sang bayi. Daripada Saidina Abdullah bin Mas‘ud, beliau berkata: Rasulullah SAW telah berbicara dengan kami dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan:
Sesungguhnya seseorang (daripada kalangan) kalian akan dihimpunkan penciptaannya di dalam perut ibunya (selama) 40 siang: Kemudian dia akan menjadi segumpal darah seperti itu. Kemudian dia akan menjadi seketul daging seperti itu.
Kemudian satu malaikat akan diutuskan lalu malaikat tersebut akan meniupkan ruh kepadanya dan malaikat tersebut akan diperintahkan dengan empat kalimat: (iaitu) dengan (perintah untuk) menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan (adakah si janin akan menjadi) seorang yang derita atau seorang yang bahagia (di akhirat kelak). Maka demi (Allah) yang tiada tuhan selain-Nya.
Sesungguhnya seseorang (dalam kalangan) kalian benar-benar akan beramal dengan amalan ahli syurga (pada pandangan mata kalian) sehingga tidaklah (jarak) antaranya dengan syurga melainkan (hanya) satu hasta.
Lalu dia akan didahului oleh (ketentuan) suratan (takdir yang telah ditulis oleh malaikat tersebut) lantas dia akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu dia akan memasukinya.
Sesungguhnya seseorang (daripada kalangan) kalian benar-benar akan beramal dengan amalan ahli neraka (pada pandangan mata kalian] sehingga tidaklah (jarak) antaranya dengan neraka melainkan (hanya) satu hasta lalu dia akan didahului oleh [ketentuan] suratan [takdir] lantas dia akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu dia akan memasukinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kematian Hanyalah Permusafiran
Al-Imam al-Ghazali dalam kitab beliau, Ihya’ Ulum al-Din menjelaskan, kematian seseorang sebelum seseorang yang lain hanyalah permusafiran lebih awal sebelum permusafiran yang berikutnya.
Beliau berkata: Menjadi satu hak (yang dipertanggungjawabkan) ke atas sesiapa sahaja yang anaknya atau seorang kerabat daripada ahli keluarganya telah meninggal dunia untuk dia mengganggap bahawa kematian insan yang lebih awal daripada kematiannya sendiri adalah seumpama mereka berdua telah bermusafir lalu sang anak lebih dahulu sampai ke negeri yang merupakan tempat tinggal sang ayah dan watannya.
Maka sesungguhnya sang ayah tidak akan terlalu besar kesedihannya kerana dia sedar bahawa dia akan bertemu semula anaknya dalam tempoh masa yang dekat.
Begitulah (hakikat) kematian kerana sesungguhnya makna kematian adalah lebih awal tiba di tanah air sehingga akan diikuti pula oleh yang terlewat (tiba).
Semestinya kematian seorang anak di hadapan mata ayah dan ibunya adalah satu ujian yang sangat getir.
Manakan tidak sedangkan sang ayah dan ibu mengharapkan agar sang anak yang akan memandikan jenazah mereka berdua dan bukannya mereka berdua yang akan memandikan jenazahnya.
Maka kerana itulah ganjaran kesabaran atas ujian yang sangat berat ini adalah sangat agung. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW. Daripada Abu Musa al-Ash’ariyy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila anak seorang hamba (Allah) telah meninggal dunia, Allah telah berfirman kepada para malaikat-Nya: Kamu semua telah menggenggam (nyawa) anak hamba-Ku? Lalu mereka berkata: Ya. Lalu Dia berfirman: Kamu semua telah menggenggam buah jantung hatinya?
Lalu mereka berkata: Ya. Lalu Dia berfirman: Apakah yang telah diucapkan oleh hamba-Ku? Mereka berkata: Dia telah memuji-Mu dan dia telah berkata: Inna lillah wainna ilaihi roji’un.
Lalu Allah berfirman: Kamu semua binalah untuk hamba-Ku sebuah rumah di dalam syurga dan kamu semua namakanlah rumah tersebut dengan [nama]: Rumah Pujian. (Riwayat at-Tirmidzi)
Ke manakah Anak Kecil Selepas Meninggal Dunia
Anak kecil yang meninggal dunia sebelum mencapai umur dewasa telah meninggalkan dunia ini tanpa membawa walau secebis dosa. Namun adakah mereka akan ke syurga?
Al-Imam al-Nawawi menjelaskan persoalan ini menerusi kalamnya di dalam Sharh al-Nawawiyy ‘Ala Sohih Muslim: Mereka yang telah diiktibar daripada kalangan para ulama bagi kaum muslimin telah bersepakat bahawa sesungguhnya sesiapa sahaja daripada kalangan anak-anak orang Islam yang telah meninggal dunia, maka dia adalah daripada ahli syurga kerana dia bukan seorang mukallaf (sewaktu meninggal dunia).
Walau bagaimanapun sekiranya kanak-kanak yang meninggal dunia tersebut adalah anak kepada ibu bapa yang bukan beragama Islam, al-Imam al-Nawawi menjelaskan, para ulama berselisih pandangan dalam persoalan di atas kepada tiga pandangan.
Pandangan yang paling kuat menyatakan kanak-kanak tersebut adalah penduduk syurga. Pandangan kedua, (pandangan majoriti para ulama) menyatakan kanak-kanak itu adalah penduduk neraka manakala pandangan yang ketiga menyatakan ketidakpastian adakah kanak-kanak itu menjadi penduduk syurga atau neraka.
Antara hujah menunjukkan kanak-kanak yang ibu bapanya bukan beragama Islam akan berada di dalam syurga adalah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menceritakan tentang mimpi Rasulullah SAW.
Baginda menyatakan kepada para sahabat pada satu subuh bahawa baginda pada malam tersebut bermimpi melihat anak-anak kecil yang begitu ramai berada bersama dengan Nabi Ibrahim di dalam syurga.
Lalu para sahabat bertanya kepada baginda adakah termasuk juga kanak-kanak orang-orang musyrik? Lalu baginda menyatakan bahawa termasuk antara kanak-kanak tersebut adalah anak-anak orang musyrik.
—–
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










