Isu kenaikan harga makanan kantin memberikan satu cabaran baharu kepada ibu bapa terutamanya bagi keluarga kurang berkemampuan. Ini termasuk perlu menambah wang saku
Pakar kewangan pengguna, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, ia berlaku akibat kenaikan harga bahan mentah yang memberi kesan pada harga makanan di kantin.
Katanya pengaruh harga mengakibatkan peniaga perlu mengimbangi antara kos dan keuntungan bagi pihak mereka.
Begitupun beberapa pilihan boleh dilakukan ibu bapa bagi mengatasi permasalahan tersebut. Antaranya menaikkan jumlah wang saku atau membawa bekal ke sekolah.
“Wang saku yang relevan pada ketika ini adalah sekitar RM3 hingga RM5. Bagaimanapun, bagi yang kurang berkemampuan, boleh merancang memberi anak membawa bekal ke sekolah untuk lebih penjimatan.
“Saranan saya jika mempunyai kekangan untuk menaikkan wang saku anak, sebaiknya ibu bapa sudah boleh mula membekalkan makanan kepada anak-anak di sekolah.
“Bukan sahaja kos dapat dikurangkan dengan memasak sendiri, malah anak-anak juga akan mendapat makanan yang seimbang kerana kita sendiri boleh menentukan apa yang anak-anak makan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PERLU URUS MASA
Ditanya mengenai kekangan masa menyiapkan bekalan ke sekolah, Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata, pengurusan masa yang baik amat penting untuk melaksanakan misi itu.
“Mungkin kena berkorban lebih sedikit. Rancang lebih awal bekal yang hendak di masak untuk anak dan bangun lebih awal.
“Pada awalnya mungkin agak sukar, namun percayalah bila kita lakukan ia sebagai rutin ia akan lebih mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak,” ujarnya.
Baru-baru ini akhbar melaporkan pengusaha kantin sekolah akan menaikkan harga atau mengurangkan kuantiti makanan bagi setiap hidangan yang dijual kepada pelajar dan murid bagi menampung peningkatan kos bahan mentah yang tinggi.
Keadaan itu menyebabkan pelajar mungkin tidak lagi dapat menikmati makanan dalam kuantiti sama seperti yang mereka pernah nikmati di kantin pada tahun sebelum ini.
“Menyedia bekal anak ke sekolah boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga secara tidak langsung, memandangkan masakan boleh dimasak dalam jumlah yang banyak untuk seisi keluarga.
“Makanan bekal itu juga mungkin boleh diulang makan untuk makan tengahari dan sebagainya di rumah.
“Jadi, tidak ada ruginya masak makanan bekal,” ulasnya.
Cadangan bekal sihat:
- Ikut kemampuan keluarga
- Jika berkesempatan, sediakan hidangan makanan lengkap untuk anak
- Hidangan seperti sandwich yang mengandungi isi ayam atau tuna bersama sayuran cukup untuk memberi nutrisi.
- Lauk one-pot yang mengandungi nutrisi pelbagai dalam satu jenis makanan. Seperti tomyam atau sup yang mengandungi protein dan sayur-sayuran.
- Bekalkan susu atau air kosong sebagai minuman berbanding air manis.










