KISAH percintaan antara rakyat biasa dan kerabat bukanlah kali pertama ditampilkan di layar perak mahupun skrin TV.
Cuma yang membezakan adalah bagaimana plot dan cabaran disuntikkan ke dalam naskhah itu agar ada perkembangan yang mampu meninggalkan kesan di hati penonton.
Bahkan garapan daripada pengarah turut memainkan peranan dalam menghidupkan lagi sesebuah karya tersebut.
Tidak dinafikan, meskipun sebaik mana pengarah dan bahagian teknikal berusaha menjayakannya, barisan pelakon juga memainkan peranan penting.
Secara ringkasnya filem The Royal Treatment mengisahkan seorang wanita lakonan Laura Marano (Issabelle) yang memiliki salon rambut jatuh hati terhadap seorang putera raja lakonan Mena Massoud (Putera Thomas) yang bakal bertunang.
Ceritanya bermula di mana Issabelle menerima panggilan dari rumah kerabat bagi tugasan menggayakan rambut Thomas. Tambahan pula, imbuhan yang ditawarkan kepada Issabelle membuatkan dia bersetuju kerana mahu membiayai kos kedai gunting rambut yang semakin merosot.
Entah kenapa selepas menyaksikan filem ini, saya merasakan kurang garam. Bukannya tidak terhibur dengan konsep romantik komedi. Pendek kata, naratif tidak cukup membekas di hati. Issabelle terlalu mudah untuk jatuh hati dengan Thomas.
Bagi saya, tidak salah menjadikan filem atau naskhah sedia ada dijadikan sebagai rujukan untuk menyuntik beberapa babak supaya menampakkan kesukaran dalam perkembangan cerita.
Begitu pun, janganlah cepat melatah ya. Masing-masing ada pandangan dan cita rasa sendiri bukan?
Pengisian dan visual filem
Asal naskhah romantis, kemungkinan ramai wanita yang menantikan momen-momen si lelaki pikat hati dengan perbuatan atau pun kata-kata bukan?
Tapi satu hal yang pasti, bukan menerusi filem ini. Ya, ini antara kelainan yang saya suka, malahan skrip bersahaja dan tiada konsep ayat ‘cintan’.
Pengisian yang menarik bagi saya lagi, The Royal Treatment mempamerkan sisi kehidupan sederhana masyarakat setempat.
Walaupun naskhah ini saya anggap sekadar hiburan buat si penonton berangan, tetapi diselitkan nilai murni.
Nilai murni tersebut anda akan saksikan menerusi perwatakan Issabelle. Seorang yang sentiasa berhati mulia. Dia menyantuni baik orang berusia mahu pun muda sama rata. Paling ketara sikap penyayang terhadap kanak-kanak.
Menurut Issabelle, dia mahu membawa perubahan dalam hidup jika diberikan peluang.
Justeru, saksikan bagaimana Issabelle menyantuni kanak-kanak dan warga berusia. Semoga sedikit sebanyak sikap baik itu dapat kita tanamkan bersama-sama.










