Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun bermula Februari ini.
Keutamaan pemberian vaksin adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.
Persoalannya, ramai ibu bapa masih ragu dan takut tentang kesan sampingan dan keberkesanan vaksin memandangkan anak mereka baru berusia 12 tahun dan ke bawah.
Pakar Pediatrik Pantai Hospital Cheras (PHC), Dr Yeoh Seen Hun berkata, kesan sampingan ringan suntikan hampir sama dengan golongan dewasa iaitu gejala lokal seperti sakit, merah atau bengkak di tempat suntikan. Tanda lain seperti demam gigil, letih, loya selalunya akan sembuh dalam beberapa hari.
“Kesan sampingan yang serius jarang berlaku seperti keradangan jantung (myocarditis, pericarditis) boleh berlaku terutamanya pada kumpulan bawah 30 tahun dan kebanyakan pesakit sembuh tanpa komplikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa, sebelum anak-anak mendapatkan vaksin, adalah penting untuk mereka terangkan kepada anak-anak keperluan dan kepentingan vaksin untuk melindungi dia daripada jangkitan yang bahaya ini.
“Secara jujur, beritahulah anak-anak mengenai suntikan. Ini dapat menenangkan mereka supaya tidak terlalu risau atau takut mengenai kesakitan suntikan jarum. Sokongan dan galakan adalah sangat penting dan jangan menggunakan cara mengugut.
“Sebelum suntikan, pastikan pegawai vaksin diberitahu sekiranya ada sejarah alergi kepada ubat atau suntikan sebelum ini, bawa bersama senarai ubat yang sedang diambil sekiranya mempunyai penyakit tertentu. Sebaik-baiknya dapatkan pendapat atau surat sokongan daripada doktor yang sedang merawati sekira tidak pasti,” katanya.
ELAK PENULARAN
Tambah Dr. Seen Hun, penularan virus Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak terutama dalam kluster institut pendidikan semakin meningkat. Ini menunjukkan bukan sahaja kumpulan dewasa, kepentingan golongan kanak- kanak dilindungi daripada Covid-19 dengan cara vaksin tidak boleh diabaikan.
“Ada pendapat yang menyatakan vaksin untuk kanak-kanak tidak diperlukan memandangkan kebanyakan pesakit muda sembuh tanpa komplikasi yang serius. Tidak dinafikan bahawa kadar mortaliti lebih rendah daripada dewasa, yang lebih merisaukan ialah sekiranya mereka membawa kuman ini balik rumah dan merebak kepada keluarga seperti orang tua yang lemah di rumah.
“Pun begitu, adalah tidak mungkin untuk mencapai imuniti kelompok tanpa melibatkan kumpulan umur ini. Untuk varian yang agresif seperti varian Delta, didapati gejala virus ini lebih bahaya dan keperluan bantuan nafas telah meningkat dalam kalangan kanak-kanak,” ujarnya.
PENCEGAHAN DI SEKOLAH:
* Pemakaian pelitup muka pada setiap masa.
* Ada penjarakan sosial setiap masa sama ada dalam bilik darjah, semasa aktiviti di luar bilik darjah atau pulang dari sekolah.
* Sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer serta menjaga kebersihan persekitaran sekolah.
* Semua warga sekolah perlu memastikan bahawa mereka sihat dan tidak bergejala semasa hadir ke sekolah.
* Bagi sekolah dengan pelaporan jangkitan Covid-19, boleh mempertimbangkan penutupan sekolah, bagi tujuan sanitasi dan untuk mengelakkan jangkitan kepada warga sekolah yang lain.










