Mukadimah
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dilihat menjadi pentas terakhir eksperimen parti-parti politik, sebelum menyusulnya Pilihan Raya Umum ke-15. Masing-masing menggunakan pentas ini untuk menilai keupayaan sebelum masuk ke gelanggang nasional.
Dalam keributan inilah, muncul pula Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Memilih bertanding secara solo dan menolak pelawaan menyertai ‘khemah besar’ pembangkang, tambah pula mereka mahu ‘langgar’ semua kerusi ditandingi UMNO. Ini menimbulkan tanda tanya, adakah mereka benar-benar blok ketiga yang berkecuali, atau ada strategi mahu pecahkan undi pembangkang?
Lebih pelik, baru-baru ini tular pula gambar pertemuan ‘orang kuat’ Pejuang bertemu pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), maka lagi susah mahu membaca strategi mereka.
Berusaha mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ, AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurugambar FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR menemu bual Presiden Pejuang, DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana perkembangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) tempoh hari? Bagaimana rutin dan aktiviti beliau?
MUKHRIZ: Alhamdulillah keadaan beliau semakin hari semakin pulih, dia dibenarkan untuk balik ke rumah, maksudnya bermalam di rumah. Tapi sekali sekala masih dipanggil untuk menerima rawatan di IJN. Sekarang beliau sudah mula ke pejabat, walaupun setengah hari sahaja supaya dapat kembali ke rutin lamanya. Pagi tadi pun (16 Februari), beliau dan Tun Siti Hasmah datang bersarapan di rumah saya, jadi nampak selera makan pun boleh tahan, dengan nasi lemak, apam balik dan sebagainya. Memang seronok dapat tengok beliau makan, kemudian beliau pergi kerja semula. Dan macam biasa, beliau kuat membaca surat khabar untuk dapat maklumat. Kebiasaan juga, maklumat beliau turut datang dari sumber yang pelbagai.
Sumber yang macam mana, dan maklumat apa yang dimaksudkan?
Biasanya maklumat yang sampai kepada beliau, kadang-kadang beliau pula yang beritahu perkara yang kita tak tahu. Walaupun kita di lapangan, tapi ada maklumat yang sampai ke telinga beliau, yang kita pun tak tahu. Jadi beliau masih ada akses sebegitu. Tapi kalau tanya sumber yang macam mana, yang itu kadang-kadang saya sendiri pun tak tahu. Saya pun segan nak tanya, tapi rasanya maklumat itu betul. Apa bentuk maklumat, yang itu saya tak tahu.
PH TIADA PIMPINAN TERAJUI ‘KHEMAH BESAR’
Perkembangan Pejuang sekarang? Berapa bahagian atau cawangan seluruh negara?
Seluruh negara, kita ada 165 di semenanjung dan Sabah iaitu semua kawasan Parlimen di semenanjung dan Sabah. Di Sarawak kita belum aktif lagi. Sebenarnya kita ada cawangan di peringkat Parlimen, tapi kita tak namakan ia sebagai bahagian. Kita tak tubuhkan bahagian seperti yang dilakukan UMNO atau Bersatu, sebaliknya kita ada kepimpinan peringkat negeri yang dipilih oleh keahlian di satu-satu negeri. Kemudian kita buang satu peringkat iaitu bahagian, sebaliknya kita terus ke cawangan iaitu Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Kenapa sasarkan PDM, dan tak wujudkan jentera peringkat lokaliti atau sub-lokaliti supaya gerak kerja lebih merakyat?
Yang itu mungkin kemudian, tapi yang berbeza dengan UMNO dan Bersatu adalah bahagian. Antara sebab untuk elak masalah warlord. Seperti semua maklum, warlord bahagian ini satu masalah yang payah sikit untuk diatasi sewaktu dalam UMNO, malah budaya warlord ini juga dah mula menular dalam Bersatu. Jadi untuk elak keadaan itu, maka kita buat terus ke cawangan.
Bagaimana persiapan PRN Johor?
Kita secara umum sudah melatih ahli kita untuk menjadi jentera pilihan raya, bukan setakat ejen tempat mengundi dan mengira undi (PACA) semata-mata, tapi juga untuk membuat kerja-kerja meraih dan merayu undi serta sebagainya. Kami juga melatih jentera dalam kalangan sukarelawan, dan ada juga NGO yang tak berparti, menawarkan diri untuk membantu. Ini pendekatan baru, iaitu kumpulan sukarelawan yang tak semestinya anggota parti.
Apa dorong Pejuang bergerak solo di Johor, sedangkan sudah dijemput sertai ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH)?
Apabila kita lihat bahawa PH pun bertanding gunakan dua lambang, dan kalau ada pun kita nampak macam MUDA saja yang ada kesepakatan, khususnya bersama DAP dan Amanah dari segi pengagihan kerusi. Jadi, saya tak nampak siapa lagi yang akan menyertai apa yang diistilahkan sebagai ‘khemah besar’. Yang saya faham, ‘khemah besar’ ini maksudnya semua yang dalam pembangkang duduk dalam satu blok. Tapi kita tak nampak ada satu kepimpinan dalam PH untuk terajui khemah besar. Jadi sebab itu kita lihat adalah lebih elok bagi Pejuang kalau kita bertanding secara sendirian.
Kenapa mahu tanding sampai 42 kerusi di Johor?
Itu satu jumlah agak besar, namun kita mahu tunjukkan bahawa apa juga yang kita mahu janjikan, mampu kita lakukan jika kita memenangi jumlah kerusi yang cukup atau majoriti. Jadi kalau bertanding sikit saja, tapi janji sampai ke langit, macam mana mahu tunaikan?
Daripada 42 kerusi, berapa sasaran menang?
Kita tiada sasaran, kalau boleh mahu menang semua. Tapi dari segi realitinya kita tahu, mungkin ada yang menang dan ada kalah.
MAT SABU
Komen terhadap gambar tular pertemuan dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu?
Apa masalahnya (tertawa). Ini satu perjumpaan antara dua presiden parti, jadi kita bincang isu semasa dalam politik, itu saja. Saya menghormati beliau sebagai rakan seperjuangan masa PH, jadi saya tak rasa perjumpaan itu akan menimbulkan apa-apa masalah. Sebab itu dalam gambar itu, saya duduk tepi tingkap saja, sebab tak kisah kalau orang nampak sekalipun. Kita tiada mahu sembunyi-sembunyi.
Apakah pertemuan itu ada kaitan dengan usul ‘khemah besar’ pembangkang?
Ada juga, tapi saya ingat pendirian kami sudah diterangkan banyak kali, dan perkara ini juga saya beritahu kepada beliau.
Maksudnya, kemungkinan Pejuang bekerjasama dengan Amanah dan DAP memang tiada?
Saya tak kata macam itu. Sebaliknya yang saya kata adalah, kita bertanding lebih kurang 42 kerusi secara solo, dan kita masih berpegang kepada pendirian.
KUDA TROJAN?
Ada desas-desus, Pejuang jadi trojan horse dalam PRN Johor untuk pecahkan undi pembangkang?
Itulah, kalau boleh kami ini tidak dianggap sebagai sebahagian daripada pembangkang, maksudnya macam di Parlimen sekalipun, kita ini blok ketiga. Kita tak bersama dengan Perikatan Nasional (PN), jauh sekali dengan BN. Tapi tidak juga sebahagian PH, dan kita tak tandatangani MoU kerajaan dengan PH. Jadi sampai macam itu sekali kita mahu pertahan kedudukan sebagai blok ketiga yang bukanlah kata neutral, kita kekal pembangkang, tapi bukan hasrat kita pecahkan undi sesiapa.
Komen terhadap ulasan Khalid Samad dari Amanah, yang minta PN tak bertanding untuk beri laluan UMNO lawan PH? Bagaimana kedudukan Pejuang dalam percaturan sebegitu?
Ya saya tahu ada pihak bercakap, kalau pembangkang boleh duduk semeja menyatukan kekuatan, kita akan jadi pencabar yang serius kepada UMNO dan BN khususnya kalau kita tolak tepi PN. Tapi saya rasa, politik negara kita ini sudah kena keluar daripada percaturan macam itu. Sebab sudah banyak formula dilaksanakan, Melaka, Sarawak, semuanya tak menjadi pun. Kalau keadaan macam itu, saya rasa tak salah jika Pejuang menawarkan kepada rakyat satu alternatif yang serius, dan itu sebab kita bertanding banyak kerusi dan di belakangnya, kita ada Dr. Mahathir yang diiktiraf mempunyai rekod yang cemerlang, selain juga nasionalis.
EMPAT KALI PAS BAI’AH
Reaksi berhubung krisis UMNO-Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sekarang?
Saya sudah banyak komen pasal UMNO, jadi saya fikir perlu juga beri perhatian kepada Pas. Pas pada pandangan kami, siapa juga yang berkuasa, ke situlah Pas akan cuba cari jalan untuk kekalkan kuasa yang mereka tumpang. Sekarang ini, mereka tak bersama UMNO tapi masih dalam kerajaan BN-PN, malah wakil-wakil rakyat dari Pas pegang jawatan menteri dan sebagainya. Jadi itu satu situasi yang sangat selesa bagi mereka.
Maksudnya?
Lainlah kalau tiba-tiba mereka dibuang daripada kerajaan dan jadi pembangkang semula, tapi sekarang mereka dah merasa sikit, dan mereka tak akan lepas semudah itu. Jadi saya rasa dalam keadaan politik yang tidak menentu sekarang ini, pendirian Pas pun tak menentu juga. Sekarang ini dia bersama Bersatu, tapi kalau keadaan berubah, silap-silap mereka boleh patah semula, atau tak tahulah ke mana mereka mahu pergi. Kalau kita ingat, dulu sewaktu zaman PH, empat kali pimpinan Pas bertemu Tun Dr. Mahathir, dan empat kali mereka bagi seumpama bai’ah, “kami 18 ahli Parlimen dari Pas ini, akan menyokong sepenuhnya kepimpinan Tun Dr. Mahathir”. Tapi kemudian, mereka boleh sertai Langkah Sheraton. Jadi, susahlah mahu percaya kalau macam itu.
Adakah sengketa UMNO-Pas turut didorong sikap dominan UMNO dalam soal pembahagian kerusi?
Kalau semasa PRU15 nanti, tentunya Bersatu yang mungkin akan jadi parti campuran, boleh menumpukan kerusi-kerusi bandar atau pinggir bandar, jadi Pas boleh diserahkan semua kerusi luar bandar. Ini akan elak pertembungan, dan di sini boleh nampak formula itu. Tapi, Pas dengan UMNO macam mana? Dari mula sampai sekarang, memang berlaga semua kerusi. Jadi macam mana mahu agih kerusi? Di Kedah, 15 kerusi itu seperti di Jerai, Sik dan Baling, ini memang medan perang antara UMNO-Pas. Jadi, siapa mahu dapatkan kerusi yang mana?
BERSATU DIJANGKITI PENYAKIT
Komen terhadap Bersatu?
Masa kami mula-mula tubuhkan Bersatu sebelum PRU14, semangat juang Bersatu sangat tinggi, sebab kita pembangkang waktu itu dan tiada apa yang boleh dijanjikan. Namun bila dah jadi kerajaan, ia berubah. Lepas PRU14, lembaga disiplin Bersatu memang sangat sibuk, sebab banyak kes. Ada kes sabotaj masa pilihan raya, ada kes ahli-ahli UMNO yang masuk Bersatu, kemudian ada masalah tipu tarikh keahlian semata-mata mahu bertanding.
Macam mana itu berlaku?
Ini berlaku apabila kita tetapkan seseorang itu tidak boleh bertanding dalam pemilihan Bersatu jika tidak jadi ahli lebih setahun. Maka, ada isu orang Bersatu yang tukar tarikh keahlian. Sebab mereka anjak tarikh mula-mula jadi ahli supaya mereka boleh cakap, “aku dah jadi ahli lebih setahun, maka layak bertanding dalam pemilihan parti”. Sementara orang yang layak ini pula, yang mana memang datang dari UMNO, yang arif soal mengadakan pemilihan di peringkat cawangan atau bahagian, mereka ini pula memang cekap bab ini. Jadi kalau kita lihat, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu atau MPT, ia lantikan saja sebelum ini. Mereka ini banyak yang tiada pengalaman dalam parti pun sebelum ini. Tapi kemudian masa masuk pemilihan, berapa ramai yang tersungkur? Sebab mereka tak reti, tak biasa dengan suasana pemilihan parti. Jadi soal Bersatu ini, sekejap saja ia sudah dijangkiti budaya UMNO.
BOLA SEPAK KEDAH
Komen selaku bekas pemimpin Kedah, apabila Menteri Besar (MB) Muhammad Sanusi Md Nor mengumum pembinaan stadium baru dalam pada rakyat sedang susah?
Zaman saya jadi MB dulu, kita pun pernah cadangkan untuk bina satu stadium negeri baru. Tapi waktu itu, pembinaannya bukan di bawah pembiayaan kerajaan negeri, kita masa itu harapkan tajaan daripada pihak swasta. Tapi akhirnya cadangan itu tak ke mana, dan saya tak pasti mungkin dihidupkan proposal yang sama. Tapi dalam soal sekarang, tangguh dulu lah projek-projek mega ini, sebab rakyat sedang susah. Orang tengah susah, jangan lah cerita pasal stadium, atau cerita pasal pembinaan lapangan terbang atau projek mega y lain, sedangkan sekarang harga ayam tengah naik, harga daging sampai RM48 sekilo, jadi mahu cerita pasal stadium untuk apa? Stadium sedia ada pun okay saja.
Apa reaksi berhubung dakwaan, pentadbiran Datuk Seri sewaktu jadi MB Kedah mengakibatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dibelenggu hutang yang tinggi?
Kita mewarisi hutang dari pentadbiran ke pentadbiran, malah pentadbiran yang dulu-dulu pun ada. Contohnya zaman Pas sebelum saya, pada 2008 sehingga 2013, bila mahu dapatkan sumbangan daripada pihak swasta, ada syarikat yang dijanjikan konsesi balak. Jadi mereka dapat konsesi balak, dan mereka menyumbang kepada KFA waktu itu. Kemudian, sumbangan kepada KFA itu sudah masuk, tapi konsesi balak itu tak lepas.
Kemudian kerajaan mereka (Pas) tumbang, jadi kami ambil alih, saya ingat sampai sekarang masih lagi tak selesai, malah tuntutan daripada syarikat swasta itu masih ada. Kalau mahu ikutkan, memang mereka berhak untuk dapatkan konsesi itu sebab sudah dijanjikan dulu. Ya lah, ini bukan kerajaan yang saya wakili, tapi itu adalah komitmen kerajaan negeri, jadi kena buat lah. Jadi dari satu kerajaan kepada kerajaan yang lain, kita mewarisi masalah legasi yang lama-lama ini.
Masalah hutang sebegini, tidakkah akan menjejaskan prestasi pemain dan kelab?
Ya. Contohnya kalau mahu bertanding peringkat antarabangsa seperti di Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau FIFA, mereka mahu lihat akaun, mahu tengok jika ada masalah hutang, tak bayar gaji pemain dan sebagainya yang lama-lama, jadi kalau ada masalah sebegini ia akan menyekat peluang pasukan itu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi. – Mingguan Malaysia










