Menyelami sejarah dan peradaban Uzbekistan - Utusan Malaysia

Menyelami sejarah dan peradaban Uzbekistan

Kumpulan pengembara dari Malaysia bergambar di depan Muzium dan masjid di Tashkent yang menyimpan al-Quran mushaf Uthman asal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Uzbekistan, sebuah negara majoriti umat Islam di Asia Tengah ini ternyata menyimpan pelbagai khazanah dunia. Peradaban negara dan bangsanya, telah wujud sejak lebih 1,000 tahun lampau dari zaman Farsi lagi, namun ia masih terpelihara sehingga kini. Bahkan banyak bangunan purba lama mereka yang indah dan berseni masih berdiri teguh di situ.

Ahli perniagaan yang sudah beberapa kali berkunjung ke Uzbekistan, Zikri Fuad Abdul Salam, 47, berkata, salah satu sebab utama dia melawat Uzbekistan adalah untuk melihat peninggalan sejarah Empayar Amer Temur (Turkistan) yang bermula sebelum era Uthmaniyah, serta selepas kerajaan Mamluk yang membuatkan kita seolah-olah kembali ke zaman silam.

“Terdapat persamaan dari segi kebudayaan dan makanan mereka dengan Turki memandangkan rakyat mereka turut terdiri dari kalangan bangsa asal Turkistan dan Barbar yang sekarang bertebaran di pelbagai negara seperti di Turki, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Tajikistan, Azerbaijan dan juga Kazakhstan.

“Menariknya, di sini kita masih boleh lihat sejarah peradaban yang masih wujud dan terpelihara sejak tamadun Farsi, Mamluk, Temur bahkan era Kesatuan Soviet,” tambahnya.

Anak kelahiran Pontian, Johor ini menjejakkan kakinya buat kali pertama ke bumi Uzbekistan pada 2012 selepas dijemput rakannya yang sudah berkelana di sana sejak 1992.

Dia yang sudah mengembara ke lebih lebih 55 negara juga mampu bertutur dalam lapan bahasa secara asas iaitu, bahasa Inggeris, Arab, Khmer, Perancis, Itali, Bosnia/Croatia, Turki dan Rusia.

“Sejak 2019, pemegang pasport Malaysia tidak lagi dikenakan syarat keperluan visa untuk masuk ke Uzbekistan. Oleh itu, anda boleh mengunjungi negara ini dengan mudah, tetapi syaratnya bacaan PCR anda perlulah negatif dan lengkap dua dos vaksin tanpa perlu kuarantin,” katanya.

Menurut Zikri warga Malaysia boleh ke sana sama ada dengan menaiki syarikat penerbangan Turkish Airline atau Qatar Airways kerana syarikat penerbangan lain termasuk Uzbek Air masih belum beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pandemik melanda dunia. Dan semua penerbangan hanya menuju ke ibu negara Tashkent.

Zikri melihat kos kehidupan di Uzbekistan sedikit lebih mahal berbanding Malaysia, cuma menurutnya, kebanyakan warga Uzbekistan mengutamakan makanan asli dan organik.

“Mereka selalunya akan menanam buah-buahan sendiri, bela ayam untuk mendapatkan telurnya, kambing untuk mengambil susu serta dagingnya. Senang cerita, makanan mereka sangat ringkas dan mudah.

“Namun disebabkan Uzbekistan merupakan salah sebuah negara bekas jajahan Kesatuan Soviet, oleh itu cara kehidupan, budaya serta undang-undang negara mereka masih seperti di zaman Soviet.

“Antaranya hanya terdapat satu jenama kenderaan (chevrolet) sahaja di atas jalan dan semuanya berwarna putih. Setiap jenis kenderaan hanya menggunakan gas petroleum cecair (LPG), memandangkan Uzbekistan merupakan antara pengeluar gas asli terbesar dunia. Jualan diesel sama sekali tidak ada di sini,” katanya.

Bagaimanapun kawalan polis, tentera dan perisik masih ketat di tambah pula dengan perbezaan undang-undang, budaya dan bahasa. Malah setiap daerah ada pusat pemeriksaan polis dan tentera.

“Drone sama sekali tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara dan jangan terkejut sekiranya berada di sempadan nanti, pihak berkuasa akan membuka telefon bimbit, laptop serta bagasi anda untuk melihat isi kandungannya,” katanya.

Disebabkan penduduk hanya bercakap dalam bahasa Uzbek dan Rusia, Zikri turut menyarankan pelancong mendapatkan khidmat pemandu pelancong tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×