STIFIn akronim kepada S-Sensing, T-Thinking, I-Intuiting, F- Feeling dan In- Instinct. Ia merupakan kaedah psikometrik atau Kajian Personaliti Diri berdasarkan otak dan genetik manusia.
Pelatih Bertauliah, STIFIn Malaysia, Siti Zulaikha Murat, 39 berkata selepas melakukan ujian Bio Metric Finger Print, seseorang itu akan terus mendapat keputusan personaliti diri.
Katanya, sebagai contoh sekiranya individu berkarakter Introvert, individu berkenaan boleh mengenali lebih dekat karekter berkenaan dengan menghadiri program dianjurkan STIFIn Malaysia.
“Mengetahui personaliti diri membolehkan individu menggali kekuatan dan kelemahan diri. Pada masa sama memudahkan kita menangani masalah peribadi di mana kelapangan fikiran membantu kita menguruskan kehidupan dengan lebih cemerlang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Wanita kelahiran Melaka yang kini menetap di Negeri Sembilan ini, memberitahu pembabitan dalam STIFIn bermula sejak 2017 lagi dan lebih aktif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Katanya perkenalannya dengan kajian personaliti it, bermula selepas dia dan ahli keluarganya menyertai Program Intro STIFIn (PIS).
“Ujian Bio Metric Finger Print dilakukan ke atas anak-anak saya mendapati karekter anak sulung, sama dengan saya iaitu Feeling Introvert. Namun anak kedua saya memiliki karekter berlainan iaitu Thinking Introvert. Berbekalkan ilmu yang saya ada banyak perkara berkaitan anak-anak dapat diatasi walaupun berlainan karekter,” katanya mengulas mengenai manfaat ujian personaliti.
Secara dasarnya, STIFIn ditemui dan dikaji oleh pengkaji dari Indonesia, Pak Farid Poniman pada 1999. Pada mulanya Pak Farid bersama dua rakannya Indrawan Nugroho dan Jamil Azzaini menggunakan teori sarjana barat iaitu C.G.Jung, Nedd Herman dan Paul Mc Lean lalu diaplikasikan dalam syarikat latihan dan konsultasi iaitu Kubik Leadership yang berada dalam carta senarai 10 terbaik penyedia latihan di Indonesia. Difahamkan Pak Farid hanya menggunakan STIF sahaja.
Namun begitu mereka berasa tidak berpuas hati malahan semakin kerap melakukan pelbagai kajian terperinci secara menyeluruh yang akhirnya berjaya menemui hasil teori Imam Al-Ghazali seorang sarjana Islam terulung berkaitan belahan kepala dan karakter manusia. Karakter Instict yang pada mulanya tiada dalam teori barat telah melengkapi sebuah lagi karekter dan dinamakan STIFIn menyerupai kajian psikologi teori Imam Al-Ghazali. Presiden STIFIn Malaysia, Datuk Dr. Baha Nordin seterusnya mengembangkannya di negara ini sekitar 2011.
KONGSI MAKLUMAT
Kata Siti Zulaikha, objektif STIFIn ialah berkongsi manfaat dalam mengenali karakter individu seawal umur tiga tahun.
“Ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak kurang upaya seperti autism dan down sindrom, amat digalakkan mengambil ujian Bio Metric Finger Print supaya mudah berkomunikasi dengan anak-anak istimewa ini setelah mengetahui karekter anak-anak tersebut,” katanya yang menjelaskan ujian berkenaan berupaya mengesan sejumlah titik saraf dihujung jari yang bersambungan antara titik berkaitan dan telah diformulakan untuk mengetahui belahan otak dominan yang kita banyak gunakan.
Penemuan sedemikian membolehkan ibu bapa menemukan satu formula yang lebih cepat dan tepat dalam mengetahui karakter anak istimewa, sekaligus dapat menangani masalah yang sering mereka hadapi atau selalu tidak faham apa yang diperlukan anak tersebut dalam kehidupan dan persekitaran mereka.
“Manfaat yang diperolehi anak tersebut ialah mereka akan rasa lebih tenteram apabila keinginan mereka mengikut personaliti mereka dipenuhi. Sebagai contoh jika anak tersebut adalah Intuiting Introvert. Perlu di berikan kawasan yang terbuka atau luas untuk mereka bermain dan mereka lebih suka kepada lukisan-lukisan yang besar dan berwarna warni serta mereka juga sangat kreatif dan lebih menonjol bakat mereka jika diberikan alat bantu belajar seperti Lego atau kertas kosong untuk mereka melakar idea. Anak karekter ini juga tidak suka kepada keadaan yang sesak dan lebih suka menyendiri dan bermain dengan permainan mereka sahaja,” katanya.
TANGANI MASALAH KELUARGA
Kata Siti Zulaikha secara peribadi, setelah mendalami ilmu STIFIn, beliau banyak mengaplikasikan dalam kehidupan termasuk semasa menghadapi krisis rumahtangganya sendiri.
“Untuk orang yang berkarekter Feeling terutamanya, perkara paling penting adalah dapat mengawal hati mereka sendiri kemudian barulah keliling mereka akan dapat kesan yang positif. Begitu juga jika sebaliknya,” katanya.
Kongsi Zulaikha lagi, fungsi ilmu itu penting bagi memudahkan seseorang berkomunikasi bukan sahaja dalam keluarga malahan dengan orang sekeliling. Ini boleh mengelakkan berlakunya perselisihan faham dan terbukti mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.
“Untuk makluman selaku Kaunselor Berdaftar, Datuk Dr. Baha Nordin pernah menyelesaikan dan menyelamatkan lebih kurang 200 kes permasalahan rumahtangga di mana antara isu besarnya adalah perselisihan faham tidak mengenali karakter pasangan.
“Ilmu ini perlu dipelajari oleh pelbagai peringkat umur terutamanya remaja dan individu dewasa yang terbeban dan dibelenggu pelbagai masalah membabitkan diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya.
PRINSIP DAN IMPIAN HIDUP
Bergelar ibu tunggal kepada cahaya mata berusia 5 tahun dan 8 tahun, kekok dan tidak selesa pada peringkat awalnya.
Tetapi demi kelangsungan hidup Siti Zulaikha mengabaikan cakap-cakap orang yang sentiasa tidak puas hati dengan apa sahaja yang dilakukan.
“Orang hanya pandai berkata-kata kerana tidak berada dalam situasi kita. Saya banyak belajar untuk lebih berhati-hati dalam segala tindak tanduk yang hendak dilakukan dan tidak terlalu mengharap pada seseorang untuk mencapai sesuatu,” katanya yang kini mahu lebih memperuntukan banyak masa bersama anak-anak untuk beraktiviti seperti berbasikal, berkelah, mewarna atau mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan.
Dalam perkembangan terkini, Siti Zulaikha berkata, dia sedang rancak membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan.
“Disember lalu saya berpeluang menyertai misi bantuan musim sejuk ke Syria. Awal tahun ini saya menyertai beberapa misi bantuan banjir sekitar Negeri Sembilan. Aktiviti kemasyarakatan membantu saya memotivasikan diri. Memandangkan saya adalah seorang yang berkarakter Feeling yang mudah tersentuh dengan emosi, jadi aktiviti begini memang kena dengan jiwa saya,” katanya.










