Rimba bicara Hutan Hujan-hujan, kempen pulihara alam semula jadi - Utusan Malaysia

Rimba bicara Hutan Hujan-hujan, kempen pulihara alam semula jadi

PELBAGAI aktiviti sempena program Hooligan Camp, antaranya kempen kesedaran alam semula jadi di lokasi perkhemahan hutan hujan-hujan di Gua Kelam, Padang Besar, Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. RAZYMAN RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIMBUNAN pokok hujan-hujan di awasan hutan di Gua Kelam, Padang Besar, Perlis menyaksikan pemandangan cukup mempersona dengan suasana cukup mendamaikan.

Di sebalik kesibukan seharian di bandar-bandar yang pesat membangun, kawasan tersebut menjanjikan ketenangan kepada sesiapa sahaja. Ia diibarat simbolik kepada keindahan alam semula jadi yang perlu sentiasa dipelihara.

Menyedari kepentingan menjaga alam semula jadi daripada ‘tangan-tangan jahat’ manusia, Hooligan Camp baru-baru ini mengadakan kempen kesedaran mengenainya yang disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam semula jadi, pelbagai komuniti lain dan penggiat seni tempatan.

Menggunakan tema rimba bicara, program tersebut sarat dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang semuanya menekankan mengenai aspek menjaga alam semula jadi.

Hampir 100 orang termasuk dari luar Perlis sanggup menempuh perjalanan jauh sehingga lebih 400 kilometer dari Johor bagi menyatakan sokongan terhadap kempen itu.

Kempen yang diketuai aktivis alam semula jadi dan kesenian, Amin Arawi, 40, itu sebagai sokongan akan kepentingan menjaga dan memulihara alam semula jadi selain tanda solidariti kepada mangsa-mangsa banjir sekitar Lembah Klang dan Pahang.

Antara NGO yang terlibat dalam program tersebut adalah Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW); Pahlawan Sampah Perlis (Trash Hero Perlis); Hikers Perlis: Perlis Mountaineering Savour (Pemos) dan lain-lain.

Pelbagai aktiviti menghiasi program itu antaranya deklamasi puisi, perkhemahan, persembahan kesenian yang menyampaikan mesej berkaitan alam semula jadi.

Seharian dan bermalam di situ cukup memberi 1,001 makna dan ketenangan kepada para peserta sekaligus melupakan sejenak kesibukan kerja dalam dunia yang serba mencabar ini.

Amin berkata, program itu sebagai mesej kepentingan menjaga alam semula jadi terutama memulihara hutan-hutan negara ini dan ia turut disampaikan melalui deklamasi puisi tersebut.

Katanya, bertemakan rimba bicara, semua aktiviti yang diadakan adalah berkaitan alam semula jadi dan kepentingan menjaganya.

“Kita mahu mengajak orang ramai agar kembali melestarikan alam semula jadi. Malaysia mempunyai 1,001 keunikan dan keindahan alam semula jadi dan ia perlu sentiasa dipelihara,” katanya yang turut aktif mencipta lagu.

Tambah Amin, lokasi perkhemahan yang dipilih sebagai lokasi program adalah sebagai simbolik kepada kempen berkenaan.

“Suasana rimba dengan keindahan rimbunan pokok hujan-hujan di sini menggambarkan betapa indahnya alam semula jadi. Apabila berada di sini, kita merasa cukup tenang.

“Alam semula jadi khususnya di kawasan hutan adalah antara lokasi terbaik bagi menikmati ketenangan. Disebabkan itu ia perlu sentiasa dipelihara dengan mengelak daripada sebarang aktiviti pembalakan,” katanya.

Seorang pencinta alam semula jadi, Sharifuldin Hashim,38, berkata, dia hadir bagi menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut.

Katanya, selain menikmati suasana tenang di hutan berkenaan, dia juga tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti dalam program tersebut seperti persembahan kesenian dan permainan tradisional.

“Lokasi perkhemahan di sini cukup indah. Kita berada di bawah rimbunan pokok hujan-hujan yang amat cantik. Di sini, kita berbicara pelbagai perkara mengenai alam semula jadi.

“Kempen seperti ini sangat memberi manfaat khususnya dalam kesedaran menjaga alam semula jadi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×