Udang kara atau lobster sajian istimewa. Biasanya ia dimasak ringkas sahaja, bagi memastikan isinya tidak dimasak terlalu lama.
Ia juga bertujuan mengekalkan kemanisan rasanya, sesuai dengan harganya yang mewah.
Minggu ini Seri membawakan resipi Lobster thermidor buat pencinta sajian makanan laut. Terima kasih Ketua Cef Ombak Kitchen, Abdul Karim Mohamed kerana berkongsi resipi.

Mudah tetapi amat menyelerakan.
Bahan-bahan:
Sos
1 biji bawang besar dipotong dadu
2 sudu atau 30 mililiter (ml) mentega
1 sudu tepung serba guna
1/2 cawan atau 125 mililiter (ml) krim
1/2 cawan atau 125 ml susu
1/4 cawan atau 60 ml keju Gruyere
1 sudu atau 5 ml mustard dijon
Garam dan lada hitam secukup rasa
Cara penyediaan:
Sos
Tumis bawang bersama mentega dalam kuali kecil.
Masukkan tepung dan masak dalam tempoh kira-kira seminit. Biarkan.
Masukkan krim dan susu.
Masak hingga mendidih. Kacau dengan kerap menggunakan whisk. Biarkan merenih selama 2 minit.
Tutup api. Masukkan keju dan mustard, kemudian kacau sehingga keju cair sepenuhnya.
Perasakan dengan garam dan lada hitam.
Udang kara
Bersihkan udang kara dan potong bahagian yang tidak perlu.
Belah udang kara kepada dua bahagian.
Ambil isi dan potong dadu. Ketepikan cengkerangnya.
Sementara itu di dalam mangkuk lain, masukkan isi udang kara dan sos tadi.
Perasakan ikut cita rasa.
Masukkan semua bahan ini ke dalam cengkerang tadi.
Bakar dalam ketuhar untuk tempoh masa kira-kira 3 minit atau sehingga sosnya bertukar kepada warna perang.
Sedia untuk dihidangkan.










