Hati-hati dengan populariti kerana ia mengudang penyakit ain - Utusan Malaysia

Hati-hati dengan populariti kerana ia mengudang penyakit ain

KEBAHAGIAAN yang dikongsi di media sosial menjadi punca Hafiz Mahamad dan Syafiqah Aina mengalami gangguan sihir dan penyakit ain akibat ada yang tidak senang melihatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELAKUAN berubah, mudah marah, dingin, tidak ceria dan sering gelisah merupakan antara ciri-ciri penyakit ain yang disebabkan oleh sifat hasad dengki atau iri hati seseorang kepada individu lain.

Kebelakangan ini penyakit ain banyak dikaitkan dengan influencer atau pempengaruh media sosial yang gemar menunjukkan kebahagiaan, kesenangan dan kekayaan tanpa mempedulikan pandangan orang yang mempunyai niat lain ke atas diri mereka.

Tidak terlepas kisah pasangan influencer dan usahawan, Hafiz Mahamad dan Syafiqah Aina yang kerap berkongsi momen kebahagiaan di media sosial sehingga mengalami gangguan seperti disihir namun warganet menyifatkan ia lebih kepada penyakit ain kerana wujud perasaan dengki daripada orang lain.

“Pernah terbaring tubuh ini, ingatkan diri terlalu penat mencari rezeki. Rupanya sakit dek kerana hasad dengki manusia. Saya tak faham dengan semua permainan ini. Hampir hilang perhatian dan manja daripada isteri serta anak.

“Kadang-kadang apabila kerja rasa seperti ada peneman dan angin di leher. Tapi kesannya bukan pada saya tetapi Aina. Perangai Aina berubah daripada mesra, ceria dan gembira kepada selalu marah dan panas,” kongsi Hafiz di Instagram miliknya.

Aina yang kini dalam keadaan sihat sepenuhnya selepas mendapat rawatan perubatan Islam daripada seorang seorang ustaz berkata, dia tidak pernah mempunyai niat lain selain ingin berkongsi kebaikan di media sosial yang memberi manfaat dan memohon maaf sekiranya membuatkan orang lain rasa tidak senang.

PERANAN mata adalah untuk melihat segala sesuatu. Zaman media sosial hari ini memperlihatkan ramai yang sengaja mempamerkan nikmat yang dimiliki secara terbuka tanpa memikirkan kesannya yang mengundang kepada penyakit ain.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Pengajian Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Kasim Ramli, penyakit ain atau gangguan pandangan mata boleh memudaratkan mangsa disebabkan kejahilan dan kelemahan salah satu pihak atau kedua-dua pihak iaitu pemuji dan empunya nikmat (influencer atau mangsa).

“Satu hal yang lain ialah perbezaan antara seseorang melihat sesuatu. Jika individu tidak mempunyai maksud tertentu seperti suka-suka, terikut dengan public trending, populariti, lebih-lebih lagi untuk tontonan umum, maka dia dengan sengaja dan tanpa disedari mendedahkan nikmat itu kepada bahaya ain.

“Jika ada keperluan munasabah berkongsilah dengan pihak tertentu sahaja dan manfaatkan saluran media sosial dengan sebaik mungkin. Sebaliknya, abaikan kongsi dan viral dengan pihak lain kerana ia mengundang bala dalam keadaan jahil dan bersikap penafian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

TANDA PENYAKIT AIN SECARA FIZIKAL DAN PSIKOLOGI
Bagaimanapun jelas Kasim, mangsa atau pesakit ain boleh dikenali melalui simptom fizikal dan psikologi.

“Antara tanda fizikal ialah berat kepala, insomnia, degupan jantung luar biasa, tubuh badan lebam atau kebiruan, sakit belakang, sesak nafas, menguap dan mengantuk yang keterlaluan, tidur yang melampau dan sebagainya.

“Manakala tanda psikologi pula ialah dukacita (bersedih) tanpa punca, lupa, malas, menangis tanpa sebab, mengalami masalah fokus, murung, lemah ingatan dan lain-lain.

“Semua simptom tersebut berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Terdapat pesakit yang alami salah satu tanda sahaja. Ada juga pesakit yang mempunyai beberapa tanda,” katanya.

Beliau menambah, pelbagai tanda sakit atau penyakit ini sinonim dengan pelbagai kesan sihir.

“Hanya perawat yang mahir boleh mengenal pasti perbezaan selain melakukan diagnos terhadap pesakit secara berhikmah,” katanya.

HASAD DENGKI PEMUJI
Tidak dinafikan, pujian adalah bagus kerana ia memenuhi kehendak nurani manusia.

Namun ujar Kasim, masalah yang dihadapi ialah tanpa disedari ucapan dan pujian sebegini sebenarnya lahir daripada tipu daya syaitan dan hasad dengki pemuji.

“Syaitan adalah musuh manusia manakala hasad dengki adalah racun yang boleh memudaratkan sasaran seperti sakit. Justeru itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud sesungguhnya pandangan mata itu adalah benar, ia dibawa oleh syaitan dan hasad anak Adam (Musnad Imam Ahmad) yakni memberi kesan buruk terhadap sasaran.

“Perlu kita yakini bahawa keburukan yang menimpa terjadi dengan izin Allah SWT terutamanya jika dia tidak mempunyai pendinding diri daripada kejahatan. Ada juga sasaran atau mangsa menjalani kehidupan dalam keadaan sihat walafiat walaupun dipuji melangit terutamanya jika dia mengamalkan amalan perisai diri daripada keburukan,” katanya.

Kasim berkongsi kisah pesakit yang terkena serangan ain atau pujian iaitu riwayat mengenai Amir bin Rabia’h yang melihat Sahl bin Hanif sedang mandi.

“Terpegun dengan warna kulit rakannya itu, Amir berkata, aku tidak pernah melihat kulit secantik kamu pada hari ini. Tanpa diduga, Sahl jatuh sakit. Perkara ini dimaklumkan kepada Rasulullah SAW. Setelah mendapat kepastian punca, baginda bersabda: Adakah patut seseorang kamu membunuh saudaranya sendiri? (Sunan Ibn Majah). Membunuh di sini bermaksud memudaratkan seseorang.

“Lebih dahsyat dan bahaya ialah ain boleh mengakibatkan kehilangan nyawa seseorang atau kecelakaan harta benda mangsa,” katanya.

Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ain boleh memasukkan seorang lelaki ke dalam kubur dan boleh memasukkan seekor unta ke dalam periuk (Sahih Ibn Hibban). Kedua-dua sasaran atau mangsa berakhir dengan kematian. Kematian adalah kemuncak mudarat maka tidak syak lagi musibah ini amat menyedihkan.

RAWATAN
Ujar beliau, mangsa atau pesakit perlu mendapatkan rawatan dan perlu tahu jenis rawatan yang diterima untuk elak penipuan dan salah laku perawat manakala perawat perlu mahir dan bijaksana memberi rawatan untuk hindari sebarang fitnah dan salah tafsir pihak tertentu.

Kasim menjelaskan terdapat beberapa rawatan penyakit ain yang patuh syariah seperti berikut:

Pertama: Rawatan klinik dan hospital

Berasaskan kepada simptom jasmani dan psikologi, perawat hendaklah menasihati mangsa atau pesakit supaya mendapatkan rawatan di dua institusi ini. Jika pesakit beransur pulih, ia bermakna penyakit ini tidak ada kaitan dengan serangan ain. Namun jika simptom sakit masih wujud, pesakit dinasihatkan menggunakan rawatan perubatan Islam.

Kedua: Air wuduk pemuji
Pemuji mengambil wuduk dengan sempurna sambil menadah air lebihan wuduk dalam bekas seperti baldi dan lain-lain. Air tadahan ini digunakan untuk memandikan pesakit. Ini berasaskan kisah Sahl dan Amir tadi yang mana Rasulullah SAW menyuruh pemuji iaitu Amir supaya berwuduk dengan bersabda yang bermaksud: sesungguhnya ain itu adalah benar justeru itu hendaklah engkau berwuduk untuknya (Sahl). (Sahih Ibn Hibban dan Sunan Abu Daud dan Sunan Ibn Majah).

Selain itu, Kasim menasihatkan agar pesakit mendapatkan rawatan daripada perawat yang amanah dan bijak memberi nasihat untuk tepis fitnah atau pergaduhan.

“Ketika merawat diri sendiri atau mendapatkan rawatan berdoalah kepada Allah SWT untuk menepis kejahatan dan keburukan yang munasabah untuk penyakit ain. Juga membaca beberapa surah dan ayat al-Quran pilihan terutamanya al-Fatihah, ayat al-Kursi dan al-Mauzatain,” katanya.

PERISAI DAN PENDINDING
Ditanya mengenai perbezaan antara orang Islam dan kafir mengenai penyakit ain, jelas Kasim, apa-apa penganut sama sahaja kerana ia berkaitan dengan nikmat pada seseorang.

Bezanya orang Islam berpedoman manakala non-Muslim tidak berpedoman.

Tambahnya, penyakit ain berpunca daripada kejahilan pemuji dan kelemahan pesakit namun boleh dielakkan melalui doa harian.

“Musibah buruk boleh dielakkan jika mangsa mempunyai ilmu perisai dan pendinding untuk melindungi diri dan nikmat yang dimiliki dengan wirid dan doa harian. Manakala ilmu pemuji ialah mengetahui cara dan kaedah apabila memuji seseorang tanpa berniat hasad dengki,” katanya.

Kasim menegaskan, serangan ain perlu diawasi supaya ia tidak menjadi pemusnah disebabkan oleh musuh senyap.

“Nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita tidak terhitung banyaknya. Bergembira dengan nikmat serta memuji adalah fitrah naluri manusia.

“Awasi serangan ain kerana ia merupakan perosak dan pemusnah pelbagai nikmat kelak hidup menjadi sengsara angkara musuh senyap. Dapatkanlah rawatan sekiranya mempunyai tanda atau simptom penyakit ain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN