Berjinak-jinak dengan kuda sejak usia belasan tahun. Namun siapa sangka minat yang mendalam itulah akhirnya mendorong Sarah membabitkan diri sebagai sukarelawan kuda di Kelab Ekuin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sarah Mohd Hilmee, 29, berkata, selaku presiden kelab, dia berperanan menyampaikan kesedaran tentang kepentingan ilmu ekuin dalam kalangan ahli kelab dan masyarakat menerusi aktiviti dijalankan.
Antara aktiviti dianjurkan ialah terapi berkuda untuk anak-anak istimewa, pendedahan tentang ilmu ekuin dalam kalangan pelajar UKM dan masyarakat serta mempromosikan kebaikan aktiviti berkuda.
“Kami ingin berkongsi dengan masyarakat keistimewaan haiwan yang menjadi kesayangan Nabi Muhammad SAW dengan menjadi jurulatih terapi sukarelawan,” katanya.
Beliau dengan yakin, optimis bahawa sebarang perkongsian bersama orang ramai dapat meningkatkan pemahaman berhubung aktiviti berkuda selain mengubah persepsi bahawa sukan itu hanya sesuai untuk golongan atasan.
“Mungkin ramai hanya tahu keseronokan menunggang kuda, namun masih ada belum tahu kebaikan dan terapinya yang boleh menyembuhkan penyakit, antaranya masalah tulang, otot, saraf dan meningkatkan kesihatan mental. Itulah antara peranan kami mainkan sebagai sukarelawan,” katanya.
Kelab ditubuhkan pada November tahun lalu itu diasaskan Pensyarah Kanan UKM, Dr. Rosmina Jaafar.
KELAB ISTIMEWA
Istimewa kelab itu kerana ia terbuka hanya kepada pelajar UKM. Mereka berpeluang terlibat secara langsung dalam aktiviti kesukarelawan dan khidmat masyarakat anjuran universiti seperti sukarelawan terlatih dalam bidang terapi tunggangan untuk kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas.
Beroperasi di Jabatan Kejuruteraan Elektrikal, Elektronik dan Sistem (JKEES), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM, hingga kini kelab itu memiliki 20 sukarelawan dan menyasarkan 100 ahli sehingga penghujung tahun ini.
Sementara itu katanya, menjadi sukarelawan bukan perbuatan sia-sia. Pembabitan dalam lapangan kesukarelawan membolehkan pelajar membina kemahiran berkomunikasi dengan baik, berorganisasi dan sebagainya.
“Antara aktiviti sukarelawan ialah mengendalikan program-program ilmiah secara percuma kepada pelajar dan juga orang ramai untuk mempelajari tentang kuda.
“Ahli kelab turut menjalankan aktiviti kesukarelawan bersama anak-anak istimewa,” jelasnya.
Ilmu ekuestrian membantu pelajar untuk berinteraksi bersama kuda.
“Pelajar juga dapat mengurangkan tekanan dengan aktiviti bersama kuda serta berbakti kepada anak-anak istimewa,” katanya.
KUDA ISTIMEWA
Sarah tertarik mendalami serba serbi mengenai mamalia itu berikutan berkuda bukan sahaja memberi kebaikan kepada kesihatan fizikal sebaliknya turut memberi kesan positif terhadap mental.
“Kuda amat istimewa. Ia pintar kerana ia boleh merasai emosi orang yang menunggangnya. Kalau orang menunggannya baik maka baiklah kelakuan haiwan, namun kalau sebaliknya, kuda boleh jadi agresif,” katanya.
Sejak terbabit dengan kerja sukarela, Sarah dapati ia banyak memberikan manfaat kepada dirinya termasuk membina keyakinan serta memupuk sifat kepimpinan.
“Saya melihat perubahan dalam diri saya. Sebelum ini, saya mudah stres dan sukar mengawal emosi. Kini selepas berjinak-jinak dengan kuda sejak berusia 20 tahun, saya menjadi individu yang lebih berkeyakinan, semangat dan fokus. Saya turut belajar untuk lebih memahami dan mengawal emosi. Sebab apabila naik kuda, kita tak boleh bagi emosi kawal kita,” katanya.
Mengakui sukan itu membabitkan kos yang tinggi, tetapi katanya ia berlaku berikutan harga haiwan itu sendiri yang mahal, hingga boleh mencecah harga ribuan ringgit.
Begitu pun katanya, manfaat tinggi sukan berkenaan menyebabkan kos boleh ‘mengaburi diri’ dalam kalangan penggemar sukan berkuda, antaranya boleh menjadi terapi penyembuhan pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti mental, emosi, fizikal, bahasa, autisme dan sindrom Down.
BABIT ANAK ISTIMEWA
Kelab Ekuin UKM turut terbabit dengan golongan orang kurang upaya menerusi aktiviti terapi berkuda OKU.
Terapi berkuda biasanya dikendalikan oleh juruterapi terlatih, menggunakan antara tiga ekor kuda dengan setiap sesi terapi memakan masa antara 15 hingga 30 minit.
“Terapi ini mengawal postur, reaksi dan koordinasi OKU. Ini seterusnya memberikan manfaat ke atas psikologi, pertuturan dan bahasa mereka. OKU yang duduk di atas pelana, secara semula jadi akan belajar dan bertindak balas terhadap setiap pergerakan kuda itu mengikut gerakan irama hasil pergerakan kuda.
“Ia juga mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama pada bahagian paling dalam seperti otot pelvik dan tulang belakang. Ini kerana semasa galloping atau bergalop, iaitu pergerakan kuda melompat dan berlari, tulang belakang kita bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni dan ini merangsang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut,” jelasnya.
CABARAN ILMU
Kurang pengalaman dalam pengendalian kuda serta ilmu interaksi secara langsung bersama kuda antara cabaran dihadapi ahli.
Walaubagaimanapun, ahli kelab yang terdiri daripada pelajar UKM, proaktif, rajin dan mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi.
“Mereka usahakan menganjurkan sendiri seminar dalam talian dengan menjemput pakar dari pelbagai latar belakang seperti ekuestrian, kesukarelawan dan juga terapi kuda untuk sesi perkongsian ilmu,” katanya.
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Sarah berkata persatuan itu akan bekerjasama dengan Riding for the Disabled Association (RDA Malaysia) bagi memberi peluang ahli kelab untuk mendapatkan sijil kesukarelawan terapi berkuda yang diiktiraf RDA.
Malah turut sedang menanti peluang kerjasama dengan Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dalam terapi berkuda.








