Atasi derita pundi kencing neurogenik kanak-kanak - Utusan Malaysia

Atasi derita pundi kencing neurogenik kanak-kanak

Pundi kencing neurogenik adalah berkaitan dengan kehilangan kawalan normal pada pundi kencing disebabkan saraf yang rosak. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang tidak menyedari pengambilan pil asid folik ketika hamil mampu mencegah gejala pundi kencing neurogenik dalam kalangan bayi.

Malah, amalan itu sebenarnya mampu menghindari bayi berkenaan daripada menderita penyakit terbabit seumur hidup.

Pakar Pediatrik Urologi Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Nadesh Sithasanan berkata, pundi kencing neurogenik adalah berkaitan kehilangan kawalan normal pada pundi kencing disebabkan saraf yang rosak.

“Ia bermaksud pesakit pundi kencing neurogenik tidak mempunyai keupayaan membuang air kencing dengan sendiri.

“Bagi pesakit ini, saraf tidak ‘membawa’ mesej daripada otak ke otot pundi kencing lalu dia berasa mahu kencing dengan kerap atau mengeluarkan hanya sedikit air kencing ketika ke tandas.

“Pesakit juga tiba-tiba berasa ‘bocor’ air kencing tanpa disedari dan tidak berupaya menghentikannya malah mendorong mereka bagi membuang air kecil dengan sedikit atau tanpa amaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DR. NADESH SITHASANAN

Keadaan itu menyebabkan pesakit tidak dapat melakukan tugas harian termasuk bersekolah atau bekerja. Malah mereka akan mengalami keadaan malu, tekanan atau tidak yakin.

Tambah Dr. Nadesh, berbeza dengan pesakit gejala pundi kencing terlalu aktif, mereka tidak dapat mengawal bila atau berapa banyak kencing yang dikeluarkan.

“Walaupun sehingga kini tidak dapat dipastikan dengan tepat penyebab penyakit berkenaan, pengambilan pil asid folik semasa hamil amat membantu mengatasinya.

“Malah individu yang mengalami kecederaan akibat kemalangan hingga menjejaskan saraf tulang belakang juga boleh menghidap penyakit ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pesakit akan mengalami ketidakselesaan fizikal, kesakitan atau tekanan abdomen dan jangkitan saluran kencing.

“Jangkitan itu disebabkan air kencing yang tinggal di pundi kencing terlalu lama, menyebabkan perkembangan bakteria dan ia perlu dirawat menggunakan ubat,” katanya.

Mengenai rawatan lanjut, Dr. Nadesh berkata, pesakit akan diperiksa dan menjalani beberapa ujian.

Keadaan bayi dalam kandungan yang menghidap penyakit itu juga boleh dikesan menerusi ujian darah dan ultrasound.

“Meskipun ia tidak boleh dirawat, ada kaedah mengatasinya bagi jangka masa panjang iaitu pesakit boleh mengosongkan sendiri pundi kencing dengan menggunakan katerer.

“Katerer atau tiub fleksibel itu akan dimasukkan melalui uretra ke pundi kencing bagi mengalirkan air kencing menerusi tiub itu.

“Sebelum itu, pembedahan akan dilakukan bagi membentuk ruang supaya memudahkan pesakit memasukkan sendiri katerer dan membuang air kencing,” katanya lagi.

Selain itu, ada beberapa kaedah lain seperti mengamalkan ubat dan antibiotik atau pilihan akhir iaitu menjalani pembedahan.

Dr. Nadesh berkata, pihaknya juga sudah lama menggunakan kaedah memasukkan katerer dan ia boleh dilakukan sendiri pesakit seawal usia sekolah rendah.

“Dengan kaedah itu, mereka akan ke tandas tiga atau empat jam sekali bagi membuang air kencing dan tiub itu hanya perlu dicuci semula, disimpan bagi kegunaan seterusnya.

“Ramai pesakit kami khususnya kanak-kanak sudah dapat bersekolah dan melakukan aktiviti harian seperti kanak-kanak lain selepas menjalani kaedah ini,” ujarnya.

Pundi kencing terlalu aktif

Berasa terdesak untuk membuang air kencing sehingga kadang-kala mengakibatkan air kencing terkeluar tanpa sengaja sebelum sampai ke tandas

‘Nocturia’ atau keperluan untuk membuang air kencing sekurang-kurangnya dua kali atau lebih semasa tidur waktu malam.

Kekerapan kencing atau perlu membuang air kencing sekurang-kurangnya lapan kali sehari.

Punca pundi kencing terlalu aktif

Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan pundi kencing menjadi terlalu aktif. Antaranya termasuklah:

Kecederaan
Keadaan yang menjejaskan otot, saraf, dan tisu, seperti strok atau multiple sclerosis (MS).
Berat badan berlebihan yang memberikan tekanan tambahan kepada pundi kencing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.