LAZIMNYA apabila sebut mengenai batik, pasti ramai yang mengaitkan seni kraf itu dengan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu yang cukup terkenal dengan hasil seni tersebut.
Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa batik juga sebenarnya sudah lama bertapak di negeri Perlis khususnya penghasilan batik lukisan tangan. Ia diusahakan oleh Batik Inderawasih di Jalan Datuk Kayaman, Kampung Ngulang, Kangar sejak 1993.
Justeru, bagi rakyat negeri atau berhampiran tidak perlu menempuh perjalanan jauh sehingga 400 kilometer ke Pantai Timur memandangkan Perlis juga mempunyai pelbagai jenis pilihan batik yang cukup unik.
Pelukis dan Pemilik Batik Inderawasih, Zarina Salleh, 52, berkata, dia mempunyai pengalaman dalam industri penghasilan batik itu sejak 30 tahun lalu.
Katanya, minat mendalam dalam bidang tersebut sejak dari zaman sekolah mendorong dia dan suami mengusahakan perniagaan berkenaan.

Ujarnya yang lebih mesra disapa Kak Ina, batik lukisan tangan yang dihasilkan syarikatnya itu menampilkan motif flora dan abstrak.
Kata ibu kepada tiga orang anak berumur antara 25 hingga 13 tahun itu, pelbagai teknik dalam pembuatan batik tersebut termasuk teknik overlap mencanting dan mewarna, renjis, cracking bagi mendapatkan motif renyuk pada kain dan juga lukisan menggunakan berus.
“Teknik overlap biasanya memakan masa yang lebih lama berbanding pembuatan batik lain iaitu antara satu ke dua minggu.
“Malah ada yang boleh mencapai sehingga sebulan jika proses overlap itu dilakukan berulang kali.
“Melalui teknik ini, motif akan dicanting atas kain putih mengikut cita rasa pelanggan. Apabila ia sudah kering, proses mencanting diulang semula.
“Bagi pelanggan yang mahu mendapatkan motif cracking atau renyuk pada kain, kita akan meletakkan lilin pada kain yang telah dicanting dan diwarnakan sebelum direnyukkan dan direbus sekali lagi bagi menimbulkan motif tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambahnya, Batik Inderawasih menonjolkan identiti tersendiri rekaan corak batik dengan menampilkan batik lukisan berus melalui corak abstrak dan seni moden.
Katanya, keunikan batik berbentuk lukisan itu adalah setiap satu batik yang dihasilkan itu adalah berbeza. Ia juga tidak akan sama dengan corak batik lain seperti batik terap atau cop yang menggunakan blok pengecop daripada segi penghasilannya.
Dalami ilmu batik
Zarina mendalami ilmu penghasilan batik dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Perak pada 1990 hingga 1991 itu berkata, batik jenis lukisan juga menggunakan berus dalam penghasilan corak pada kain yang menampilkan rekaan lebih moden sekali gus turut menarik minat golongan muda.
“Kebiasaannya lukisan biasa adalah dengan motif yang lebih lembut tetapi kami menampilkan kelainan menerusi batik lukisan menggunakan berus dengan corak moden.
“Ia sekali gus menjadi identiti batik yang dikeluarkan oleh Batik Inderawasih. Malah, bukan sahaja penduduk tempatan, pelancong juga sering datang bagi melihat penghasilan batik di bengkel kami,” katanya.

Katanya lagi, Batik Inderawasih juga banyak mengikuti program dan festival di dalam dan luar negara melalui Kraftangan Malaysia bagi mempromosikan batik Perlis ini.
Sementara itu, kongsi Zarina, mereka juga pernah melalui detik sukar dalam perniagaan khususnya dalam tempoh kemelesetan ekonomi pada 1997.
“Pada masa itu, perniagaan terjejas agak teruk sehingga wang simpanan perniagaan habis digunakan untuk perbelanjaan.
“Ketika itu, suami saya mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dan menjadi guru seni.
“Saya pula meneruskan Batik Inderawasih supaya perniagaan batik yang kami usahakan selama ini tidak terhenti begitu sahaja,” katanya.
‘Kit batik’ dapat sambutan
Sementara itu, katanya, dalam usaha memperkenalkan batik kepada orang ramai, dia juga menawarkan ‘kit batik’ iaitu bingkai dengan kain yang dicanting dengan lukisan batik dan disertakan dengan warna supaya orang ramai dapat mewarna lukisan batik sendiri di rumah.
“Kit tersebut dijual pada harga RM40 di platform Shoppe dan Instagram kami. Ia mendapat sambutan yang sangat baik terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Zarina.

Menurutnya, dia dalam proses untuk membuka bilik pameran sendiri bersebelahan dengan bengkel tersebut.
“Bengkel itu sudah 70 peratus dan dijangka siap pada hujung tahun ini. Selain mendapat sokongan daripada Kraftangan Malaysia, kerajaan negeri juga komited untuk menjadikan Batik Inderawasih sebagai salah satu daripada produk pelancongan di negeri ini.
“Apabila bilik pameran itu siap nanti, kami akan menampilkan produk-produk batik, hasil lukisan seni dan melakukan aktiviti mencanting serta mewarnakan batik kepada pengunjung yang datang ke sini,” katanya.
Dalam pada itu, Zarina juga memberitahu, minat terhadap bidang seni ini turut diikuti anak sulung dan kedua yang masing-masing melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Anak sulung saya sudah pun menamatkan sarjana dalam bidang tersebut dan kini turut membantu mengetengahkan idea seni moden dalam rekaan batik kami,” katanya.











