SELLO Abram Mapunya, iaitu perogol bersiri yang menerima satu daripada hukuman paling berat dalam sejarah perundangan Afrika Selatan disifatkan ‘sangat tenang dan selesa’ ketika ditahan polis pada awal tahun lalu.
Sarjan Catherine Tladi, pegawai polis yang bertanggungjawab mengheret Mapunya ke muka pengadilan menceritakan, lelaki itu kelihatan seperti tidak bersalah, malah ada ketikanya membuatkan polis ragu-ragu jika dia adalah suspek sebenar yang mereka buru.
“Mapunya merupakan lelaki gila, sakit dan sangat berbahaya. Itu adalah gambaran saya terhadapnya,” kata Tladi.

988 tahun.
– AGENSI
Dalam kes tersebut, Tladi bukan sahaja terlibat sebagai pegawai siasatan, malah polis wanita itu berjaya meyakinkan hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara selama 988 tahun terhadap Mapunya.
Tidak cukup dengan itu, Tladi juga dianggap sebagai ‘perisai kepada semua mangsa rogol Mapunya’ apabila mereka bergantung kepada polis wanita itu untuk memperjuangkan saat paling penting dalam hidup mereka.
Mapunya, 41, memulakan kegiatan jenayah, iaitu rogol dan rompakan bermula 2014, terutamanya di Mamelodi, Atteridgeville, Olievenhoutbosch dan Nellmapius.
Lelaki itu tinggal bersama kekasihnya dan ketika perbicaraan, teman wanitanya menceritakan, Mapunya akan keluar dari rumah antara pukul 2 dan 4 pagi untuk mencari mangsa dan merogolnya.
Jelas teman wanitanya, Mapunya melakukan jenayah terkutuk itu selama lima tahun dan lebih 50 mangsanya tidak dapat mengenal pasti identiti lelaki itu kerana mereka tidak dapat melihat wajahnya ketika kejadian berlaku.
MULA TERBONGKAR
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Peribahasa sohor itu menggambarkan keadaan Mapunya apabila dia tidak sengaja meninggalkan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) dan memberikan satu telefon bimbit yang dicurinya daripada mangsa kepada teman wanitanya.
‘Kesilapan’ itu menyaksikan Mapunya ditahan polis pada 20 Mac 2019 di sebuah kedai di Pretoria.
Tladi menceritakan, beliau tiada di lokasi kejadian ketika Mapunya ditahan dan seolah-olah tidak percaya lelaki itu sudah ditangkap pada mulanya.
“Saya agak gembira apabila Mapunya berjaya ditahan dan semangat untuk mengheret dia ke muka pengadilan semakin bertambah. Setiap saat saya bersumpah untuk pastikan mana-mana pihak yang bertanggungjawab akan terima hukuman mereka.
“Ketika ditangkap, satu lagi telefon bimbit milik mangsa turut ditemukan beserta sejumlah kad sim mereka dan itu menguatkan lagi bukti bahawa Mapunya merupakan perogol bersiri yang kami cari selama ini,” kata Tladi.
SEPERTI TIDAK BERSALAH
Tladi memberitahu, lelaki itu kelihatan sangat tenang ketika dia disoal siasat apabila Mapunya mampu bercakap dengan nada yang tenang dan selesa, selain berkali-kali menafikan jenayah yang dilakukannya.
“Ketika itu, saya mula berfikir, adakah dia lelaki yang kami cari selama ini? Adakah dia benar-benar tidak bersalah?
“Kami belum peroleh keputusan ujian DNA yang dijalankan dan hal itu amat meresahkan kami, terutamanya selepas Mapunya ditahan.
“Hal ini kerana, kami mahu pastikan dialah penjenayah yang dicari selama ini dan dialah perogol itu,” ujar Tladi.
Tegas Tladi, personaliti Mapunya tidak menggambarkan dia merupakan seorang perogol.
“Mapunya sangat ‘meyakinkan’ dengan semua keterangan yang diberi. Dia membuatkan kami beranggapan dia bukanlah penjenayah sebenar,” jelasnya.
YAKIN DENGAN KATA HATI
Tladi tidak berputus asa dengan apa yang dinafikan oleh Mapunya dan polis wanita itu terus mengasak lelaki tersebut dengan pelbagai soalan supaya dia mengakui jenayahnya.
Anggota polis wanita itu menceritakan, dia berbual dalam bahasa ibunda untuk meyakinkan Mapunya, selain membuatnya berasa lebih ‘selesa untuk mengakui kesalahannya’.
Namun, seperti yang disangka, Mapunya tidak mudah mengalah dan masih menafikan kesalahannya merogol 56 wanita.
Bagaimanapun, semua penafian Mapunya terkubur apabila keputusan ujian DNA membuktikan dialah penjenayah yang dicari selama ini dan kata hati Tladi tepat sekali.
MENGAKU BERSALAH
Tambah Tladi, Mapunya tetap tidak mengaku bersalah sehingga minggu terakhir perbicaraannya di mahkamah.
Katanya, lelaki itu didakwa dengan 101 pertuduhan dengan kebanyakannya melibatkan kes rogol.
Tladi memberitahu, keadaan berubah apabila hakim mendengar pengakuan seorang daripada mangs Mapunya dan yakin lelaki itu adalah penjenayah sebenar.
Mapunya kemudiannya mengaku bersalah atas kesemua jenayah yang dilakukannya.
“Apa yang kami boleh simpulkan adalah Mapunya merupakan seorang penjenayah yang sangat degil dan tidak mempunyai sifat perikemanusiaan.
“Dia kurang ajar dengan polis dan hakim selain hanya mahu bercakap dengan anggota polis yang tahu bertutur bahasa ibunda,” kata Tladi.
SIASATAN PANJANG DAN LAMA
Tladi mengakui bukan mudah memburu dan menahan Mapunya.
Polis wanita itu memberitahu, dia dan pasukannya berdepan dengan cabaran untuk mengesan semua mangsa Mapunya apabila ada dalam kalangan mereka sudah berpindah dan maklumat carian berubah.
Namun, hubungan ‘istimewa’ yang terjalin antara Tladi dengan sejumlah mangsa rogol Mapunya menjadi antara kejayaan dalam siasatan tersebut.
“Selepas saya berjumpa dengan mereka, saya boleh saksikan kesakitan, penghinaan yang mereka alami.
“Semua perasaan negatif itu hanya dapat dihilangkan apabila penjenayah sebenar dihukum dengan setimpal,” ujarnya.
Pada hari hakim menjatuhkan hukuman, mangsa yang hadir bersorak kegembiraan sambil mengalirkan air mata.
Mereka juga memeluk Tladi berulang kali sambil mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.
MAHU JADI INSPIRASI
Tladi menyatakan beliau mahu kisahnya menjadi inspirasi kepada semua golongan wanita supaya berani tampil mempertahankan diri sekiranya menjadi mangsa serangan seksual.
Katanya, beliau sedih apabila Afrika Selatan ‘dinobatkan sebagai antara negara paling banyak terlibat dengan jenayah seksual’.
Namun, itu tidak menghalangnya untuk menegakkan keadilan untuk golongan wanita yang menjadi mangsa.
Mengakui pernah menjadi mangsa rogol ketika kecil, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi insan berjaya.
“Jangan takut untuk selamatkan diri. Walau apa pun yang berlaku, jadi berani dan yakin bahawa anda boleh diselamatkan,” ujarnya.










