Rakyat jaga rakyat - Bantuan daripada individu, NGO lebih cepat sampai - Utusan Malaysia

Rakyat jaga rakyat – Bantuan daripada individu, NGO lebih cepat sampai

Mangsa-mangsa banjir meredah air untuk pulang ke rumah yang ditenggelami air untuk melihat barangan yang boleh diselamatkan di Taman Sri Muda, Shah Alam Selangor pada 20 Disember 2021. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bah besar yang melanda beberapa kawasan di Selangor terutama Klang, Shah Alam, Dengkil dan Sepang sejak Jumaat lalu tiba-tiba menjadi tumpuan seluruh negara berikutan kadar kemusnahannya yang di luar jangka dan luar biasa.

Malah, nasib yang menimpa lebih 23,000 penduduk berjaya menagih empati rakyat sehingga terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan dan individu segera tampil memberi pertolongan.

Mereka hadir lebih pantas daripada agensi-agensi kerajaan untuk menghulurkan bantuan termasuk membawa bot persendirian untuk tujuan aktiviti menyelamat, membawa barangan makanan dan keperluan asas untuk diberikan kepada mangsa-mangsa yang terkandas.

“Nampak banyak bot, tetapi tidak ada logo jabatan kerajaan pun, mereka yang tidak dikenali ini datang bantu kami.”

Demikian luahan salah seorang mangsa di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang memberitahu, hari pertama kawasan perumahan berkenaan dilanda banjir, banyak bot-bot milik persendirian tiba membantu menyelamatkan mangsa terutama warga emas, kanak-kanak dan bayi.

Menurut Kovalan Govindasamy, 44, yang tinggal di rumah pangsa Blok 3Q Jalan Iklim itu memberitahu, ketika air sudah menenggelamkan satu tingkat di bloknya, kelihatan bot-bot kecil masuk ke kawasan perumahan.

“Saya pelik, macam mana mereka boleh sampai di sini lebih pantas sedangkan rata-rata penduduk di sini tidak mengenali mereka pun dan dalam masa sama dapat tahu pembawa bot datang dari luar, ada yang datang dari Shah Alam dan juga nelayan di Klang,’’ katanya yang enggan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika ditemui di sini.

Di Mempaga, Bentong, Pahang pula, ada yang sanggup menanak nasi lemak untuk dijamu kepada pengguna-pengguna lebuh raya yang terkandas berikutan air naik di laluan mereka yang menuju ke Kuala Lumpur.

Di Teluk Intan, Perak, sembilan beradik di Kampung Bahagia mengambil inisiatif dengan mengumpul barangan keperluan asas dan pakaian untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Selangor.

Jurucakap kepada kumpulan adik-beradik itu yang hanya mahu dikenali Siti Azurian berkata, mereka sepakat mengumpul pakaian terpakai yang masih elok seperti pakaian harian untuk wanita, tudung, kain sarung dan seluar untuk dihantar kepada kawan mereka di Selangor seterusnya diberikan kepada mangsa banjir yang memerlukan.

“Pakaian yang kami kumpul ini akan dihantar kepada rakan kami di Kampung Baru Hicom, Jalan Bunga Tanjung, Seksyen 26, Shah Alam,’’ katanya.

Di Seremban, beberapa ahli Persatuan Pemandu Lori Semenanjung menyediakan 20 buah lori untuk membantu menghantar barangan keperluan kepada mangsa banjir di daerah Jelebu.

Wakilnya, Muhamad Irfan Khaidir, 32, berkata, pihaknya terpanggil membantu mangsa banjir yang terkesan dan membuat misi penghantaran menggunakan lori bagi membawa barangan keperluan kepada mangsa di daerah itu.

Pengusaha River Cruise Teluk Intan, Mohd. Sahril Mustafa, 33, berkata, mengambil inisiatif membantu dengan menggunakan tiga unit bot miliknya.

Menurutnya, rata-rata yang memohon itu adalah dalam kalangan pengikut serta pelanggan yang pernah mendapatkan perkhidmatan botnya sebelum ini.

“Saya tinggal dan bekerja berhampiran sungai jadi memang faham situasi banjir tambahan lagi jika ia berlaku dalam keadaan tidak dijangka.

“Sebab itu saya mahu bersama-sama membantu mereka (mangsa banjir). Mungkin ini hari mereka (ditimpa musibah), mana tahu esok lusa hari kita pula,” katanya ketika dihubungi.

Kepantasan penduduk dan orang ramai menghulur bantuan dilihat pantas selepas pelbagai mesej-mesej diterima saudara-mara dan juga rakan sekerja yan menjadi mangsa banjir.

Mohd. Edzwan Zainuddin, 36, yang memberitahu, dia menerima mesej rakan sekerjanya menerusi kumpulan Whatsapp yang memaklumkan mengenai keadaan kritikal di kawasan berkenaan.

Oleh demikian, mesej tersebut turut dibaca oleh majikannya, Jutasama Sdn Bhd di Pulau Carey, Klang sebelum meminta bantuan daripada pekerja yang memiliki pacuan empat roda dan bot untuk membantu rakan-rakan sekerja terkandas.

“Pukul 10 malam pada hari Sabtu lalu saya tiba dari Bukit Naga, Shah Alam. Kami ada empat pasukan yang datang dengan pacuan empat roda masing-masing serta dua buah bot kecil.

Tambahnya, mereka bersama selama tiga hari bersengkang mata tidak tidur berulang alik mengambil mangsa dan menghantar bantuan bekalan makanan dengan mendayung bot udara masing-masing sejauh lebih satu kilometer.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Gabungan Sri Muda (PGSM), Zunikifli Ramli, memberitahu, dia tidak putus-putus menerima panggilan dan mesej daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu termasuk yang tidak dikenali untuk menghulurkan bantuan.

“Bersama saya ketika ini ada NGO Nurani Relief dari Gombak serta tiga syarikat swasta dan rangkaian komuniti keluarga sekitar Shah Alam. Masing-masing mengeluarkan aset pacuan empat roda untuk menghantar bekalan makanan dan memindahkan mangsa ke PPS.

“Petang nanti pula saya diberitahu ada banyak lagi NGO akan tiba ada yang maklum kata dari Sabak Bernam serta negeri-negeri di utara Semenanjung. Terharu saya melihat mereka bersatu hati membantu komuniti kami yang sedang dalam kesusahan,” ujarnya.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia di Taman Sri Muda semalam melihat lebih 60 pacuan empat roda dan puluhan bot milik individu persendirian, NGO dan syarikat swasta dikerahkan membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Mereka dilihat mengambil inisiatif membantu mangsa banjir menerusi lokasi berbeza iaitu di Jalan Jitu, Persiaran Budiman dan Jalan Sepadu.

Selain bantuan pengangkutan, makanan turut disediakan oleh NGO lain seperti Mercy Malaysia yang mendapat kerjasama pemilik bot dan pacuan empat roda untuk mengedar bekalan kepada mangsa.

Keprihatinan rakyat dalam membantu mangsa-mangsa banjir terlihat menerusi hantaran-hantaran tular dalam media sosial, malah turut dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sikap tersebut.

Menurutnya, hantaran dalam Facebook oleh pengguna, Muhsin Zaidi menarik perhatian apabila berkongsikan situasi di Lebuhraya Utara Selatan di Ipoh, Perak apabila nampak banyak kenderaan membawa bot.

Lebih terharu apabila hantaran itu dibalas pengguna, Roy Azman yang memberitahu bantuan itu diberikan sebagai membalas jasa warga Lembah Klang pernah membantu mereka ketika ditimpa bencana banjir sebelum ini.

“Kami bantu, sebab dahulu masa kami ditimpa musibah, banyak yang dari Lembah Klang datang membantu dan memberi sumbangan. Kali ini kami hendak balas jasa anda semua, biar jasa jadi kenangan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN