Melawan gayat di Jejantas Rimba, FRIM Kepong - Utusan Malaysia

Melawan gayat di Jejantas Rimba, FRIM Kepong

Panjang keseluruhan jejantas yang terletak dalam Taman Botani Kepong ini adalah 250 meter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDIRI pada ketinggian 50 meter (m) sambil menikmati panorama indah di pinggir kota raya Kuala Lumpur, sememangnya suatu pengalaman menakjubkan.

Namun, tidak semua orang boleh melakukannya. Lebih-lebih lagi jika anda memiliki fobia atau rasa takut pada ketinggian yang turut dikenali sebagai acrophobia.

Bagaimanapun, sekiranya mahu mencabar diri, apa kata anda berjalan sejauh 250m di Forest Skywalk milik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Kuala Lumpur.

BUKA OGOS
Selepas hampir lapan bulan pembukaannya ditangguhkan, tarikan terbaharu di Lembah Klang itu akhirnya dibuka kepada orang ramai Ogos lalu.

Forest Skywalk atau juga dikenali sebagai Jejantas Rimba itu terdiri daripada beberapa pelantar dengan ketinggian antara 18m hingga 50m. Panjang keseluruhan jejantas mencakupi sepanjang 250m.

Proses pembinaan jejantas yang terletak dalam Taman Botani Kepong itu bermula 15 Disember 2018 dan siap sepenuhnya pada 16 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dibuka lebih awal kerana pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun Jejantas Rimba itu baharu sahaja dibuka, sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

Pegawai Media FRIM, Lim Chung Lu berkata, Jejantas Rimba menawarkan tarikan terbaharu kepada orang ramai ke FRIM khususnya buat penduduk di sekitar kawasan Lembah Klang.

Ia menawarkan pemandangan indah hutan matang (arah utara) dan pemandangan sekitar Taman Botani Kepong (arah selatan).

“Di atas menara peninjauan 50m, pengunjung dapat melihat pemandangan sejauh lebih kurang 30 kilometer (km) serta bangunan-bangunan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Menara Tun Razak Exchange dan Menara Telekom Malaysia ke arah timur.

“Jika memandang ke arah barat, pengunjung akan disajikan pemandangan hutan ladang,” ujarnya.

Jejantas berkenaan didirikan di atas tanah seluas 0.83 hektar di Taman Botani Kepong.

Tambahnya, jejantas itu disiapkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.2 juta menerusi peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

BINAAN MESRA ALAM
Binaan itu diperbuat daripada aluminium dan rekaannya sesuai untuk pemuliharaan alam sekitar.

“Rekaan jejantas itu diinspirasikan daripada jejantas di Ireland Utara selain turut diguna pakai di beberapa negara termasuk Brunei.

“Konsep jejantas itu juga disesuaikan dengan fokus utama FRIM iaitu mengutamakan pemuliharaan hutan, keselamatan dan keselesaan pengguna untuk bersantai termasuk golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Chung Lu, atas faktor keselamatan, hanya 150 pengunjung dibenarkan berada di jejantas itu dalam setiap sesi iaitu 125 orang di Skydeck manakala 25 lagi menara setinggi 50m dengan pengawasan empat petugas.

“Hanya lima pengunjung dibenarkan berada di atas sesuatu pelantar kerana ia laluan sehala dan pengunjung dilepaskan secara berperingkat,” ujarnya.

Bagi kumpulan yang melebihi 10 peserta, tempahan awal perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh lawatan dan perkhidmatan juru pandu alam (nature guide) diwajibkan.

Waktu operasi Jejantas Rimba bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari pada Isnin hingga Ahad manakala pada Jumaat ia ditutup kepada orang ramai.

Harga tiket pula ialah RM8 bagi pelajar (berusia 7 hingga 17 tahun) dan kakitangan FRIM manakala warga emas (RM10) dan dewasa (RM15).

Kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini.

Chung Lu menambah, Denai Razak yang terletak berdekatan dengan Taman Botani Kepong adalah satu-satunya denai yang boleh dikunjungi tanpa memerlukan khidmat juru pandu.

“Keseluruhan laluan Denai Razak telah disimen bagi memudahkan pengunjung termasuk yang berkerusi roda. Laluan denai ini adalah dalam satu pusingan besar.

“Laluan masuk dan keluar berdekatan antara satu sama lain. Oleh itu para pengunjung tidak perlu risau dalam memilih laluan mana yang ingin diikuti,” katanya.

Pengalaman menakjubkan
Pengalaman memanjat tangga untuk sampai ke bahagian atas jejantas memberikan sedikit cabaran namun berbaloi apabila dapat melihat pemandangan indah dari lokasi paling tinggi di situ.

Pengunjung, Mohd. Najib Asri, 40, berkata pengalaman berada di Forest Skywalk FRIM Kepong itu cukup seronok dirasakan walaupun peringkat awal timbul rasa gusar dan gayat dek ketinggian.

Para peserta bergambar kenangan sewaktu mengikuti ekspedisi rakan media anjuran Kelab Kembara Kosmopolitan ke Taman Botani, Kepong baru-baru ini.

“Walaupun ia sedikit mencabar kerana perlu memanjat tangga untuk sampai ke atas jejantas, namun ia bukanlah halangan untuk saya, demi mendapatkan pemandangan indah di sekitar Taman Botani Kepong yang menghijau.

“Jika suka bergambar pula, ini adalah lokasi terbaik dan unik untuk merakam kenangan. Walaupun saya agak gayat, tetapi ia tidak membantutkan hasrat saya untuk menikmati pengalaman menarik berada di Titian Silara ini,” katanya.

Mohd. Najib ditemui sewaktu mengikuti ekspedisi rakan media ke Taman Botani, Kepong, anjuran Kelab Kembara Kosmopolitan, 27 November. Ekspedisi berkenaan disertai kira-kira 12 peserta Kelab Kembara Kosmopolitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×