Garam sudah lama digunakan sebagai perasa dan dalam makanan.Begitupun jangan berlebihan kerana ia boleh mengundang padah. Namun garam mempunyai manfaat cukup besar pada kecantikan tubuh dan wajah.
Mineral kristal ini terhasil daripada dua unsur iaitu natrium (Na) dan klorida (Cl). Kebanyakan garam dunia dituai dari lombong garam atau dengan penyejatan air laut dan perairan lain yang kaya dengan mineral.
Ada pelbagai jenis garam digunakan untuk tujuan penjagaan tubuh dan kecantikan.
Antaranya garam laut, garam laut mati, garam merah jambu Himalaya, garam epsom, garam geoterma Iceland dan beberapa jenis lagi.
Garam dalam penjagaan tubuh & kecantikan
1. Pembersih wajah
Garam membantu membersihkan pori-pori secara mendalam, menyeimbangkan pengeluaran minyak dan menghalang bakteria yang boleh mencetuskan jerawat.
Hanya campurkan satu sudu teh garam laut dengan empat auns air suam dalam botol semburan kecil. Biarkan garam ini larut dalam air sebelum digunakan.
Sembur air garam ini pada wajah dan biarkan seketika. Kemudian bilas menggunakan air bersih. Elakkan menyembur pada bahagian mata.
Amalkan dua kali sehari untuk mendapatkan hasil yang sempurna.
2. Rendaman mandian
Garam berupaya menyerap kotoran dan toksin serta membersihkan pori secara mendalam. Kandungan mineral garam membantu mengembalikan semula penghalang pelindung yang terdapat dalam kulit, sekaligus membantu ia mengekalkan penghidratan.
Anda mungkin menyedari bahawa kulit tidak akan kecut selepas berendam lama dalam air garam.
Ini membuktikan garam berupaya membantu kulit mengekalkan kelembapannya. Magnesium dalam garam dikatakan mampu membantu mengurangkan pengekalan air dalam tubuh.
Jika mahu menggunakan garam sebagai air mandian bolehlah mencuba cara ini. Bubuh satu pertiga cawan garam ke dalam tab mandi atau kolam mandi berisi air panas.
Biarkan garam melarut selepas itu bolehlah berendam dalam air garam itu selama 15 hingga 30 minit.
Bagi anda yang tiada tab mandi, boleh simpan sebekas garam di bilik air. Gunakan garam ini sebagai scrub leher, bahu, tangan dan kaki semasa mandi. Bilas hingga bersih selepas menggunakannya.
3. Kurangkan kelemumur
Garam dikatakan mampu membuang dan mengurangkan kelemumur. Bahan-bahan yang terdapat dalam garam dikatakan mampu menyerap lebihan minyak.
Taburkan satu hingga dua sudu teh garam pada kulit kepala. Gunakan jari yang telah dibasahkan untuk mengurut kulit kepala dengan lembut selama lebih kurang 10 hingga 15 minit.
Setelah selesai urut kulit kepala dengan garam, kemudian bilas dengan air bersih.
Selepas itu bolehlah cuci dan lembapkan rambut dengan syampu.Kesannya boleh dilihat serta-merta.
GARAM sesuai untuK mandi
1. Garam epsom
Dikenali juga sebagai magnesium sulfat. Terkenal dengan keupayaannya meredakan kesakitan dan ketegangan otot. Ia mampu membantu mengurangkan bengkak, melegakan sistem saraf dan menghilangkan toksin badan.
2. Garam merah jambu Himalaya
Garam ini dituai dari kaki pergunungan Himalaya. Garam Himalaya merah jambu secara kimia sama dengan garam meja atau garam biasa yang digunakan untuk memasak.
Ia mengandungi sehingga 98 peratus natrium klorida. Selebihnya ia terdiri daripada mineral surih seperti kalium, magnesium dan kalsium.
3. Garam laut mati
Garam ini memiliki kandungan masin enam hingga lapan kali lebih tinggi daripada lautan biasa.
Garam laut mati kaya dengan mineral berharga. Penggunaannya dikatakan mampu memberi khasiat dan mengekalkan kesejahteraan tubuh.










