Gasing Pangkah Pahang masih ada pewaris - Utusan Malaysia

Gasing Pangkah Pahang masih ada pewaris

Kanak-kanak berlatih bermain gasing pangkah pada masa lapang di dewan Kampung Pamah Rawas, Raub, Pahang. -UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Permainan gasing pangkah yang amat popular semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1863-1914) sehingga beralih kepada puteranya, Sultan Mahmud Shah II (1914-1917) masih terus diminati penduduk Pahang.

Pandemik Covid-19 awal 2020 disusuli penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan semua aktiviti budaya terhenti dan ‘suram’. Malah semua peralatan tersimpan apabila penggiat dan peminat bidang berkenaan ‘berehat’ sementara waktu kerana mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setelah memasuki negara fasa pemulihan permainan gasing yang menjadi antara cabang kesenian Melayu ini mula dimeriahkan oleh penggiat di gelanggang atau di halaman rumah.

Penggiat gasing pangkah, Nur Amin Nor Azahar, 31, kini gembira apabila dapat melepaskan ‘gian’ permainan tradisional itu setelah kerajaan melonggarkan peraturan bagi membolehkan kegiatan sukan dan rekreasi ‘bernafas’ semula setelah negara dalam tempoh fasa pemulihan baru-baru ini.

NUR AMIN NOR AZAHAR

Nur Amin yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub menjelaskan, aktiviti permainan gasing pangkah belia di situ terhenti sejak tahun lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Katanya, berikutan penguatkuasaan PKP, belia di kampung tersebut yang sebelum ini aktif dengan permainan tradisional telah mengambil keputusan menyimpan gasing pangkah sebagai hiasan dalam almari sahaja dan cuma mampu melihat, tetapi tidak boleh bermain di gelanggang atau secara terbuka.

“Sejak kelonggaran PKP, saya dan rakan berasa ‘gian’ pula dan hanya bermain waktu malam, tetapi cuma melibatkan dua atau tiga orang sahaja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan keselamatan.

“Namun, saya kerap berseorangan bermain tiga kali seminggu pada waktu malam turun ke gelanggang gasing untuk melepaskan gian bermain. Maklumlah sudah hampir dua tahun terpisah dengan kegiatan seni budaya ini,” katanya di Kampung Pamah Rawas, Dong, Raub baru-baru ini.

Menurut Nur Amin, walaupun tempoh yang agak lama meninggalkan aktiviti itu, dia tidak kekok untuk memutarkan gasing pangkah malahan semakin teruja pula melihat putaran (gasing) di gelanggang.

“Dalam tempoh ini, saya kerap berseorangan bermain gasing pangkah dan kadang-kadang ada dua atau tiga rakan lain yang juga gian datang bermain dengan mematuhi SOP dan amalan norma baharu,” katanya.

Katanya, menyingkap dari segi sejarah, permainan gasing pangkah amat popular di Pahang semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1863-1914) sehingga beralih kepada puteranya, Sultan Mahmud Shah II (1914-1917).

“Ketika zaman pemerintahan kedua-dua orang Sultan ini, permainan gasing pangkah amat masyhur malahan pelbagai jenis gasing telah dibentuk sehinggalah peralatan tradisional ini mempunyai entiti tersendiri, iaitu dikenali sebagai Gasing Pangkah Pahang.

“Pada era kedua pemerintah tersebut, gasing pangkah dimainkan pada sebelah petang dan berhenti pada waktu solat Maghrib dan Isya, kemudian disambung sehingga menjelang tengah malam.

“Tetapi, selepas itu permainan gasing lazimnya di halaman rumah tanpa mengira masa dan tempat. Malahan perubahan berlaku apabila sesetengah kampung ada dibina gelanggang untuk kemudahan bermain pada hujung minggu atau ketika pertandingan,” katanya.

Aksi mengangkat gasing yang berputar ligat menggunakan tali antara kemahiran yang perlu dipelajari dalam permainan Gasing Pangkah.

SANGAT POPULAR

Menurut Nur Amin, di Pahang permainan tradisional itu popular di Kampung Cherating, Tanjung Lumpur, Penor dan Beserah di daerah Kuantan. Di Pekan pula, gasing pangkah juga terkenal di Kampung Tanjung Medang, Pulau Jawa, Pulau Rumput dan Kuala Pahang.

Tambahnya, permainan gasing pangkah juga sangat aktif dalam kalangan penduduk Kampung Labu dan Kampung Cheringging (Bentong), Kampung Sarang Tiong dan Endau (Rompin), Kampung Tanjung Lipis dan Kampung Kuala Lahar (Lipis), Ulu Dong (Raub), Kampung Sekara dan Kampung Bukit Kelulut (Temerloh).

Bercerita lanjut, rakan Nur Amin, Ridzuan Sham Zahari, 42, memberitahu, sebelum 2020, aktiviti gasing pangkah bukan sahaja mendominasi bagi mengisi masa lapang di kampung, tetapi kerap diadakan pertandingan seluruh Pahang.

Ia melibatkan orang muda yang mewakili persatuan belia masing-masing termasuk Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong yang terkenal dengan permainan ini sejak 300 tahun lalu.

RIDZUAN SHAM ZAHARI

“Tetapi, setelah penularan Covid-19 semua aktiviti permainan gasing pangkah di kampung dan pertandingan luar terhenti mengejut. Ia menyaksikan cabang kesenian ini termasuk aktiviti rekreasi semakin dilupakan berikutan peraturan keselamatan dalam tempoh PKP.

“Saya amat teruja untuk bermain secara aktif dan menyertai pertandingan gasing pangkah di luar semula sambil berharap ancaman Covid-19 sampai di penghujungnya sekali gus kegiatan seni tradisional ini subur semula,” ujarnya.

Ridzuan Sham menambah, gelanggang gasing pangkah mula meriah apabila ramai penggiat dan peminat gasing datang bermain dan menguji kemahiran individu serta semangat masing-masing ‘ligat’ seperti peralatan itu berputar di gelanggang.

Dia gembira kerana permainan itu turut diminati dan dipelajari oleh kanak-kanak Kampung Pamah Rawas yang turun ke gelanggang gigih mempelajari cara bermain gasing pangkah menerusi tunjuk ajar ahli persatuan di situ.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Anak Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha menyuburkan permainan gasing pangkah oleh ahli Persatuan Belia Kampung Pamah Rawas sewajarnya diberi penghargaan kerana gigih meneruskan aktiviti seni budaya dalam kalangan generasi belia dan remaja mahupun kanak-kanak.

“Kalau bukan mereka selaku penggiat gasing pangkah, siapa lagi yang mampu serta mahu mengembangkan aktiviti ini dalam kancah kehidupan moden hari ini yang diwarnai dengan peralatan gajet telekomunikasi yang canggih mendominasi waktu dan ruang individu khususnya orang muda.

FADZLI MOHAMAD KAMAL

“Usaha menyuburkan minat dan kemahiran seni tradisional ini cukup signifikan kerana permainan gasing pangkah bermula di istana dan dimainkan oleh pembesar Kesultanan Melayu Pahang sejak abad ke-18 dan sudah tentu ada nilai sejarah yang perlu dihayati oleh generasi hari ini dan pada masa akan datang,” katanya.

Ujarnya, semoga permainan gasing pangkah terus subur dan mendapat tempat sepenuhnya dalam kalangan orang Melayu menerusi wacana yang tersirat.

Antaranya, memupuk semangat kekeluargaan, mengeratkan silaturahim masyarakat setempat serta kesantunan budi bahasa dalam entiti warisan budaya dan kesenian Melayu diibaratkan ‘tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN