Menggabungkan antara syair dan cerpen dalam suatu naskhah ternyata memberi kelainan buat pembaca.
Itulah juga keistimewaan ditawarkan dalam karya sentuhan Charissa Ong Ty.
Poethree O’Clock, sebuah kompilasi buku terlaris tulisan gadis dari Subang Jaya, Selangor ini padat dengan pelbagai kisah teladan yang digarap dengan kaedah syair ringkas dan kisah pendek yang mesra pembaca.
Ada tiga naskhah bukunya berjudul Midnight Monologues, Daylight Dialogues dan What Does Your Name Mean?
Charissa Ong Ty, 29, ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, karyanya banyak diambil daripada inspirasi hidupnya.
“Kompilasi buku jenis Boxset puisi dalam bahasa Inggeris ini adalah yang pertama di Malaysia.
“Segala ilham penceritaan dan syair nukilan ini diangkat daripada pengalaman hidup saya.
“Setiap bait perkataan terdapat dalam buku ini dicatatkan dengan penuh teliti dengan menggunakan bahasa Inggeris mudah dan tidak terlalu puitis bagi memudahkan pembaca,” katanya.

Bukunya disasarkan kepada dua jenis pembaca iaitu pembenci dan pencinta buku.
“Mereka yang bergelar pembenci buku, saya tulis syair secara ringkas untuk beberapa bab dan kemudiannya dengan cerita yang lebih panjang.
“Untuk pencinta buku atau apa yang disebut sebagai bookstagram, ia boleh digunakan untuk mengambil gambar lalu dilampirkan ke dalam akaun media sosial mereka,” katanya.
Menariknya dari 2016 hingga kini hampir 30,000 naskhah bukunya dijual di dalam dan luar negara.
Sambutan menggalakkan katanya, datang daripada masyarakat antarabangsa terutamanya Singapura, Brunei dan Indonesia.
Di Filipina sahaja, sekurang-kurangnya 2,000 naskhah sudah dijual.
Barangkali gaya penulisan bersahaja berjaya menarik pembaca dalam kalangan remaja dan dewasa.
Mengulas mengenai perancangan, kata Charissa berhasrat menterjemah karyanya ke dalam bahasa Melayu, Indonesia dan Mandarin supaya dapat berhubung dengan lebih ramai pembaca.
Sekalipun kerjayanya sebagai Pereka Bentuk Media Interaktif, ia tidak menghalang dirinya untuk menerokai dunia penulisan secara serius.
Buku berjudul Midnight Monologues, merupakan buku puisi dan cerpen pertamanya yang paling laris dijual di beberapa toko buku bahkan terpilih dalam finalis Anugerah Buku Antarabangsa 2017 dalam kategori Puisi dan Reka Bentuk Muka Depan.
Buku Daylight Dialogues pula baru-baru ini turut tersenarai sebagai buku terlaris kategori Fiksyen MPH.
Mereka yang berminat mendapatkan set buku terbitan Penwings Publishing ini, boleh beli di penwings.com.











