Che Nom sohor, miliki 1.4 juta pengikut di YouTube - Utusan Malaysia

Che Nom sohor, miliki 1.4 juta pengikut di YouTube

Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar miliki ramai pengikut yang suka cara beliau berkongsi resipi dan masakan di YouTube.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beliau bukan cef terkenal. Namun resipi dan video masakan yang dikongsi di media sosial pasti jadi pilihan mereka yang baharu hendak belajar memasak.

Begtulah hebatnya penangan Youtuber dan personaliti media sosial dikenali sebagai Che Nom dalam khalayak warga Malaysia yang suka memasak.

Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar, 40, mula berkongsi resipi masakan secara dalam talian pada 2013.

Perkongsian video di saluran YouTube pula bermula pada 2016. Perkongsian secara serius hanya bermula sejak 2019.

Pembuka kata ‘Hai Semua’ seakan menjadi identiti beliau apabila setiap kali memulakan video masakan di YouTube. Video yang berkualiti pula menjadi tarikan pengikut dan penonton untuk meniru setiap resipi masakan yang dikongsi.

Boleh dikatakan bagi generasi muda yang baharu mahu belajar memasak, mereka pasti akan rasa seperti belajar dengan emak-emak apabila menonton video dan mendengar suara Che Nom mengajar masak secara dalam talian.

Dari Jurutera ke Youtuber

Katanya, semasa memulakan laman sesawang resipi masakan itu beliau masih bekerja sebagai jurutera telekomunikasi di sebuah syarikat telekomunikasi.

Permulaan beliau dalam bidang masakan bermula apabila Che Nom dan suami, Syed Ridzuan Syed Nopal menghasilkan laman sesawang yang dikenali sebagai iresipi.com.

“Pada waktu itu saya masih bekerja dan cuma memberi komitmen secara separuh masa. Suami sayalah yang membangunkan dan menguruskan laman sesawang tersebut. Beliau juga yang menjadi jurugambar.

“Tugas saya hanya fokus kepada kandungan masakan. Saya akan cuba dan uji sendiri resipi sebelum berkongsi. Pada 2016 kami cuba menghasilkan beberapa video di YouTube tetapi kami berhenti di situ sahaja kerana kesibukan kerja masing-masing,” jelasnya.

Laman sesawangnya itu kini dikenali sebagai resepichenom.com. Che Nom mengambil keputusan berhenti kerja pada 2019 setelah 13 tahun bekerja untuk kembali bergiat secara serius di saluran YouTube.

Lebih sejuta pengikut

Setelah berhenti kerja, pembikin kandungan yang pernah digelar ‘Mak Online’ ini mula memberi komitmen tinggi dalam penghasilan bahan masakan yang menarik. Beliau bertuah kerana suami sentiasa memberi sokongan dan bantuan yang tidak berbelah-bahagi.

Suami beliau bertindak sebagai mastermind, jurugambar dan juruvideo. Selain itu, suami beliau turut melakukan proses suntingan terakhir setiap video yang keluar di saluran YouTube Che Nom.

Che Nom pula setelah selesai memasak turut terlibat dalam proses suntingan. Pasangan suami-isteri ini juga turut dibantu oleh dua editor lain dalam penyuntingan video yang telah dikongsikan di YouTube.

Antara video resipi Che Nom yang mendapat tontonan tertinggi.

Hasil kerjasama dan komitmen suami-isteri ini membuahkan hasil yang memberangsangkan. Setiap hari pengikut bertambah. Penonton yang melihat juga semakin ramai.

“Alhamdulillah saluran YouTube kami dianugerahkan silver button sempena 100,000 langganan tak sampai setahun pun sejak bergiat aktif pada 2019. Diikuti dengan gold play button awal tahun ini bersempena satu juta pengikut di YouTube.

“Tak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini. Semuanya atas jasa pengikut dan doa dari mereka yang tak pernah jemu menyokong saluran Che Nom,” luah Che Nom penuh kesyukuran.

Akan terus berkarya

Setiap perkara yang dilakukan itu perlulah ada minat yang mendalam. Bagi Che Nom minatnya dalam dunia masakan membawanya menceburi bidang yang jauh sekali daripada kelulusan yang dimiliki.

“Che Nom memang suka masak. Saya juga suka tonton video masakan yang berkualiti serta menarik dari luar negara. Suami pula minat pada bidang videografi. Gabungan inilah yang menjadi pencetus.

“Bila sudah berkongsi, tak sangka dapat sambutan positif daripada audien. Sokongan pengikutlah yang membakar semangat kami untuk terus berkarya di YouTube.

“Motivasi utama ialah membantu sesiapa yang mahu belajar masak dan menjana pendapatan melalui perniagaan makanan,” katanya.

Cerita Che Nom, beliau belajar memasak daripada ibunya, buku dan dalam talian. Apabila ada masa terluang, beliau akan mencuba resipi dan mengubah cita rasa sendiri sehinggalah mendapat hasil yang disukai.

“Walaupun selalu berkongsi resipi dan selalu memasak, kadang-kala ada juga resipi yang dimasak tidak menjadi.

“Saya cuma menganggap itu adalah lumrah bagi setiap tukang masak. Yang penting kita belajar daripada setiap kesilapan, sentiasa memperbaiki dan berkongsi pengalaman dengan orang lain supaya mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama,” jelasnya.

Puas bila resipi menjadi

Berkongsi resipi dan ia menjadi apabila dicuba oleh penonton adalah suatu kepuasan buat Che Nom. Beliau tidak pernah terbayang akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

“Apabila ramai yang cuba dan bagi feedback menjadi dan sedap, saya seronok dan bersemangat. Tambah terharu, ramai juga golongan suami yang cuba belajar masak untuk keluarga.

Menariknya, kebanyakan mereka ini tak pernah masak langsung,” tambahnya.

Ujar Che Nom, ada juga yang menggunakan resipinya untuk berniaga. Tambahan pula di masa pandemik Covid 19 yang melanda yang mana ramai hilang pekerjaan dan juga kekurangan hasil pendapatan.

“Ada pengikut dari negara jiran yang berniaga menggunakan resipi Che Nom untuk tambah pendapatan. Saya rasa amat terharu.

“Memang itulah niat saya untuk membantu sesiapa sahaja yang mahu belajar memasak dan juga membantu yang ingin mencari pendapatan tambahan melalui program Edisi Niaga di YouTube Che Nom.

“Pesan saya kepada Youtuber lain, setiap kali menghasilkan konten, kita perlu ingat ia adalah satu perkongsian kepada masyarakat. Ketahuilah setiap perkongsian itu akan pastinya mendapat balasan yang setimpal jika kita ikhlas melakukannya,” katanya.

Pengikut merasakan seperti belajar masak dengan ibu-ibu apabila apabila tengok video dan dengar suara Che Nom.

Betulkah tanggapan orang ramai, jadi Youtuber boleh dapat hasil lumayan? Mengulas hal ini, Che Nom berkata, menjadi Youtuber sama seperti menceburi bidang perniagaan.

“Jika kita bekerja keras dan sentiasa mencari strategi serta mahukan yang terbaik, pasti akan ada hasilnya. Untuk menjadi Youtuber seseorang itu perlu ada nilai terhadap video yang dihasilkan agar boleh memberi impak kepada penonton.

“Selain itu personaliti yang tersendiri juga memainkan peranan penting untuk memberi keunikan pada setiap video yang dihasilkan. Yang penting juga adalah minat kita yang boleh jadi pendorong untuk hasilkan konten yang lebih menarik mengikut genre atau konsep masing-masing,” jelas beliau.

Berkaitan dengan konten Che Nom berpendapat untuk menghasilkan konten yang terbaik perlulah juga mengambil kira aspek kualiti video dan juga kualiti resipi yang dikongsikan.

“Tips hendak menghasilkan konten menarik adalah memastikan value atau nilai sesuatu konten tersebut. Kita perlu sentiasa perlu tanamkan dalam fikiran apakah nilai yang kita boleh beri kepada penonton,” katanya.

Berkaitan dengan penghasilan konten yang sama daripada pembikin konten lain, Che Nom menjelaskan, apa yang boleh dikatakan adalah beliau sangat terharu.

“Ada pepatah dalam bahasa Inggeris menyebut- Imitation is a form of flattery. Che Nom rasa sangat terharu kerana cara Che Nom diterima dan disukai ramai,” ujarnya mengakhiri perbualan.

MEMPUNYAI kira-kira 1.4 subscriber YouTube.

Biodata:
Nama: Normah Bakar atau Che Nom
Usia: 40 tahun
Asal: Kedah

Pendidikan:

Diploma Sains Komputer, UiTM
Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Matematik, UiTM
Nama suami: Syed Ridzuan Syed Nopal
Anak: 3 orang Hobi: Memasak, menonton filem dan drama
Falsafah hidup: Hidup ini adalah perjalanan. Setiap apa yang berlaku kita harus sentiasa bersyukur dan muhasabah diri ke arah yang lebih baik
Instagram: @che_nom
YouTube: Che Nom
Laman sesawang: resepichenom.com

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN