Tya elak junk food untuk kesihatan & kecantikan - Utusan Malaysia

Tya elak junk food untuk kesihatan & kecantikan

Tya Arifin hanya mengamalkan pengambilan makanan segar dan tidak diproses.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya mula menjadi tumpuan ramai sebaik sahaja menyertai keluarga paling terkenal di dalam industri hiburan di Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, selaku menantu.

Begitupun, Tya Arifin, 27, isteri Asyraf Khalid ini sebenarnya tidak asing kepada peminat seni di Indonesia.

Ini kerana sebelum mendirikan rumah tangga, beliau adalah seorang pelakon dan penyanyi yang memulakan kerjaya seni di Indonesia sejak 2011.

Berada dalam keluarga yang sentiasa jadi tumpuan ramai, pasti Tya memastikan dirinya sentiasa menjaga kecantikan dan penampilannya. Apakah rahsia beliau?

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wanita berasal dari Palembang, Indonesia ini sebenarnya mengamalkan penjagaan kecantikan diri sejak usia remaja lagi.

Keberkesanan amalan penjagaan kesihatan dan kecantikan itu terbukti apabila wajah dan tubuhnya sentiasa sihat dan cergas walau telah memiliki dua cahaya mata.

Tya amat dititikberatkan aspek pemakanan di mana beliau hanya mengamalkan pengambilan makanan segar dan tidak diproses.

“Seboleh-bolehnya saya elak mengambil junk food (makanan ringan) dan makanan diproses. Saya lebih suka mengambil makanan segar kerana ia lebih baik untuk tubuh,” katanya.

Selain itu, beliau turut rajin minum air kosong dan elak minuman berkarbonat.

AMALKAN MAKAN JAMU

Tidak dinafikan setelah melahirkan anak pasti ada sesetengah wanita yang sukar kembali langsing. Rahsia Tya kekal langsing setelah melahirkan anak adalah amalan minum jamu.

“Cara saya adalah dengan mengamalkan pengambilan jamu yang saya hasilkan kerana itu rahsia dan resipi turun-temurun keluarga saya dari Indonesia. Lagipun saya dibesarkan dalam keluarga yang menyukai jamu,” katanya.

Tya turut berkongsi rahsianya dalam menjaga kecantikan dan kesihatan tubuh badan dengan menjadi usahawan menjual jus Mutyara sejak 2018.

Pengasas Mutyara Beauty ini turut berhasrat membantu wanita tempatan memulakan perniagaan sendiri.

“Saya menceburi bidang kecantikan dan kesihatan kerana dari kecil saya suka merawat kesihatan dan kecantikan badan.

“Apa yang saya buat sekarang ini memang apa yang saya telah buat sejak dahulu lagi,” katanya.

Setakat ini syarikatnya telah membantu 25,000 wanita. Kini beliau mensasarkan 100,000 wanita yang akan dibantu berniaga dengan peluang berniaga tanpa perlu modal.

“Saya akan bimbing mereka. Dalam usaha tersebut saya telah melakukan road tour di setiap negeri di Malaysia,” kata pemilik nama sebenar Nurtria Wulandari Tya Arifin ini lagi.

KECANTIKAN DARIPADA DALAMAN

Cantik dan pada masa yang sama sihat. Pasti itu adalah harapan setiap orang. Namun sejauh mana pemahaman kita terhadap maksud cantik dan sihat itu?

Bagi Tya, setiap insan ada pandangan berkaitan cantik dan sihat.

Katanya, setiap wanita itu mempunyai takrifan tersendiri mengenai kecantikan. Tidak bermakna kalau orang putih sahaja cantik atau orang hitam tidak cantik.

“Kecantikan itu dilahirkan daripada dalaman dan cantik itu berasal daripada hati kita. Kalau hati kita cantik dan baik, terpancarlah kecantikan yang sebenar.

“Sihat pula bermaksud badan atau dalaman adalah sihat dan tidak ada masalah kesihatan dalaman.

“Kebanyakan orang kalau hendak cantik sahaja ada yang berpendapat perlu mengenakan solekan sedangkan kesihatan dalaman tidak terjaga.

“Tidak dinafikan dalaman adalah paling penting dan apabila dalaman sihat pasti luaran juga akan terjaga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN