Memiliki tubuh badan langsing dan kurus semestinya menjadi idaman ramai individu tidak kira lelaki atau wanita. Namun, ada segelintir masyarakat mengambil langkah mudah dengan memakan ubat kurus yang didakwa mampu menurunkan berat badan dalam masa singkat.
Masalah gemuk atau peningkatan berat badan dalam negara menyebabkan wujudnya produk-produk di pasaran untuk membantu menurunkan berat badan seperti pil kurus atau minuman teh pelangsing.
Lebih malang apabila terdapat produk tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagi menangani masalah peningkatan berat badan dan obesiti penduduk Malaysia, Pegawai Penyelidik Prinsipal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Zuraida Ab. Rahman dan pasukannya, menghasilkan produk antiobesiti untuk mengurangkan dan mengawal berat badan.
Produk tersebut dicipta berasaskan terung asam atau nama saintifiknya Solanum ferox.
Katanya, terung asam adalah sayur tradisional eksotik mengandungi asid hidroksisinnamik tinggi, bahan ini bertindak sebagai antiobesiti.
“Produk yang diformulasi daripada terung asam ini telah diuji keberkesanan serta keselamatannya melalui ujian-ujian saintifik. Ia didapati mencegah dan mengurangkan kenaikan berat badan secara berlebihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TERUNG ASAM (Solanum Ferox)
Terung asam adalah sayur yang cukup popular di bumi kenyalang iaitu Sarawak. Ia juga dikenali sebagai terung Iban. Biasanya, penggunaan sayur ini lebih tertumpu kepada masakan.

Namun tidak ramai mengetahui kelebihan sayur tersebut.
Menurut Dr. Zuraida, inovasi ini akan membantu meningkatkan lagi nilai komersial terung asam.
“Sayur-sayuran atau buah adalah bahagian penting dalam pengambilan diet pemakanan sihat yang memberi manfaat kepada keperluan tubuh seperti nutrien, vitamin dan mineral.
“Terdapat banyak sayuran tempatan kurang digemari terutamanya oleh generasi muda dan hanya digunakan oleh penduduk luar bandar sebagai menu masakan.
“Solanum ferox adalah sayur tradisional yang masih digunakan oleh rakyat tempatan terutamanya di Sarawak.
“Sayur ini telah dibuktikan mempunyai kandungan bahan aktif dan aktiviti multi-tindakan dalam mengurangkan kegemukan serta keradangan,” katanya.
KELEBIHAN PRODUK
Kongsi Dr. Zuraida, produk ini dihasilkan bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap produk kesihatan berasaskan sumber semulajadi berbanding produk dihasilkan secara sintetik.
“Kelebihan minuman ini ialah membantu pengguna untuk kurus dan menurunkan berat badan secara sihat.
“Formulasi produk yang diperkaya dengan kandungan fitokimia asid hidroksisinamik telah dibuktikan melalui kajian saintifik merupakan anti-obesiti saintifik serta keselamatannya juga telah disahkan.
“Ia meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan pengambilan makanan dan juga meningkatkan kadar metabolisme seterusnya akan mendorong kepada pembakaran lemak,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Zuraida produk tersebut belum boleh dilancarkan kerana masih menunggu pihak yang berminat untuk membeli dan melabur.
“Setakat ini ia masih dalam perbincangan, apabila kita sudah mempunyai syarikat yang mahu memeterai perjanjian, baru produk ini boleh muncul dalam pasaran,” kongsinya.
PENGAMBILAN DAN SASARAN PENGGUNA
Dalam pada itu, Dr. Zuraida berkata, sasaran pengguna untuk produk minuman ini adalah golongan obesiti dan mereka yang ingin kurus.
“Disebabkan produk ini berasaskan bahan semula jadi, pengguna tidak boleh menjangka untuk terus kurus selepas dua bulan.
“Pengguna perlu disiplin dalam menjaga pemakanan serta kerap melakukan senaman agar dapat membantu proses pembakaran lemak, jangan hanya bergantung pada produk,” terangnya.

Apabila ditanyakan had umur pengguna yang dibenarkan, Zuraida berkata, kanak-kanak obesiti berusia seawal 12 tahun adalah golongan termuda yang boleh mengambil produk tersebut.
“Produk ini bukanlah herba kerana ia dikategorikan sebagai makanan spesifiknya sayur-sayuran. Oleh itu, tidak bahaya untuk diambil oleh kanak-kanak obesiti bermula darjah enam.
“Sekiranya pengguna minum pada waktu pagi sebelum atau selepas sarapan, menjelang tengah hari mereka akan kurang rasa lapar.
“Paling penting, pengguna perlu minum air mengikut keperluan badan seperti yang disarankan iaitu lapan gelas sehari,” ujarnya.
Disamping itu, Dr. Zuraida memberitahu, orang ramai tidak digalakkan mengambil produk berasaskan bahan kimia untuk kuruskan badan.
“Jangan bahayakan diri sendiri dengan mengambil produk kurus berasaskan herba yang tidak mempunyai kajian saintifik.
“Ia boleh merosakkan organ dalaman serta memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang, jangan terpedaya akan produk yang mendakwa dapat membantu kuruskan badan dalam tempoh singkat,” katanya mengakhiri bicara.










