Shafli hasilkan kek secantik cef ternama - Utusan Malaysia

Shafli hasilkan kek secantik cef ternama

ANTARA sentuhan Mohd. Shafli Jaafar Sidek yang membuatkan keknya sentiasa mendapat tempahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali meraikan majlis istimewa seperti hari lahir dan perkahwinan pasti acara memotong kek jadi kemuncak acara.

Oleh itu tidak hairanlah apabila ada yang sanggup mengeluarkan belanja besar hanya kerana mahu membeli sebiji kek. Kek yang dihias cantik pasti jadi bualan ramai walaupun setelah majlis selamat dilangsungkan.

Membuat dan menghasilkan kek yang direka cantik itu adalah kerja seorang pembuat dan pereka kek. Di sinilah peranan pembuat dan pereka kek seperti Mohd. Shafli Jaafar Sidek.

Letaklah sebiji kek kosong di hadapan matanya, pasti kek itu akan siap dihias cantik seperti apa yang anda inginkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, lelaki berusia 30 tahun ini mengambil masa kira-kira tiga ke empat jam untuk menyiapkan sebiji kek yang cantik.

“Saya ada contoh tema dan hiasan yang boleh dipilih oleh pembeli yang menempah kek. Tetapi saya juga lebih suka jika pembeli sendiri memberitahu apa idea dan hiasan yang mereka mahu letak pada kek tersebut.

“Sebenarnya saya lebih suka cara begitu kerana ia membolehkan saya mencuba untuk menghasilkan rekaan dan hiasan baharu. Kadang-kadang saya juga terlepas juga apa trend terkini. Sebab itu saya menghargai sebarang idea baharu daripada pembeli yang menempah,” katanya.

Kek khas sempena hari persaraan.

Mesra disapa Shafli, katanya, setiap hari pasti akan ada idea baharu dalam menghias dan mereka kek.

“Buat masa sekarang ini ramai menempah painting cake daripada saya. Kawan-kawan pembuat kek yang memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan trademark melukis atas kek ini.

“Biasanya saya akan mengambil masa melukis atas kek lebih kurang 30 hingga 45 minit. Proses melukis itu akan dimulakan sebaik sahaja kek itu telah siap bersalut dengan krim.

“Lukisan pilihan setakat ini biasanya bertemakan flora,” katanya yang banyak menerima tempahan kek untuk majlis perkahwinan, hari lahir, persaraan dan lain-lain lagi.

Sentiasa tekun dan teliti dalam menghias kek.

Buktikan boleh berjaya tanpa sijil pastri, kek

Mahir membuat, mereka dan menghias kek, namun Shafli sebenarnya tidak memiliki kelulusan profesional dalam bidang berkenaan.

Lulusan ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, minat mengatasi segala-galanya.

“Saya dahulu kerja di bank. Dalam masa yang sama ketika bekerja saya ada hobi memasak terutamanya membuat brownies. Saya masak brownies pada waktu malam menggunakan ketuhar bersaiz 30 liter yang dihadiahkan emak.

“Brownies itu saya jual kepada saudara mara dan rakan apabila mereka ada majlis istimewa. Ramai puji sedap. Sejak itu saya mula dapat banyak tempahan. Tidak menang tangan saya melayaninya.

“Terdetik di dalam hati jika beginilah sambutannya mungkin saya boleh menceburi bidang baharu sebagai pembuat brownies kerana saya tidak mendapat kepuasan bekerja di bank.

“Setelah fikir semasak-masaknya saya berhenti kerja dan membuka kedai menjual brownies dengan rakan kongsi, Abd. Malik Daud pada 2018,” katanya.

Kedai yang diberi nama Bronice Enterprise beroperasi di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan.

Pada mulanya Shafli hanya menjual brownies dengan pelbagai topping dan creampuff. Hanya dua tahun kebelakangan ini beliau menjual dan membuat kek.

Pada permulaannya Shafli tidak pandai membuat dan hias kek. Beliau hanya belajar melalui video di YouTube dan media sosial.

Banyak kek yang dibuat tidak jadi. Akhirnya Shafli putus asa dan ambil keputusan berhenti buat kek selama lapan bulan. Namun pembuatan kek itu disambung semula hanya setelah beliau memiliki kedai sendiri.

Saya tak lembut

Tidak dinafikan ramai juga lelaki yang memilih kerjaya sebagai pembuat dan pereka kek. Namun mungkin disebabkan kurang pendedahan atau promosi di platform media sosial terhadap kemahiran yang dimiliki membuatkan diri mereka kurang dikenali.

Shafli bertuah kerana sentiasa peka terhadap perkembangan trend di media sosial. Pada mulanya beliau hanya menggunakan platform media sosial seperti Bronice di Facebook dan @Cake_Bronice di Instagram sebagai ruang mempamerkan hasil air tangannya.

Kek hari perkahwinan yang dihasilkan oleh Mohd. Shafli Jaafar Sidek.

Namun apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, beliau mula menghasilkan video-video berkaitan tip masakan dan resipi di TikTok @shaflikyle sejak lebih kurang lima bulan lalu.

“Saya hanya buat video simple berkaitan tips masakan dan resipi berkaitan pembuatan dan menghias kek yang boleh memberi inspirasi pada orang lain untuk mencubanya.

“Ada antara video yang dikongsikan itu mendapat view yang tinggi sampai boleh mencecah lebih sejuta tontonan. Dalam masa tiga bulan berkongsi video di TikTok saya mendapati followers saya telah mencecah 200,000,” katanya.

Video tular turut membuatkan Shafli mula mendapat banyak tempahan daripada pelanggan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.