Separuh usia bersama kuda - Utusan Malaysia

Separuh usia bersama kuda

Nur Qasrina Amani Zakaria (depan) antara salah seorang daripada lima wakil Malaysia yang memenangi pingat perak dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia FEI kategori junior. -UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali bertemu dengan anak gadis ini, dia sibuk membelai dan membersihkan salah seekor kuda miliknya.

Melihat situasi ini juga seakan-akan mereka sedang komunikasi antara satu sama lain dan jelas hubungan serta jalinan antara kedua-duanya sudah lama wujud.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan perasaan kasih dan sayang gadis ini kepada kuda telah diserahkan sepenuh jiwa.

Bagi Nur Qasrina Amani Zakaria, 20, minatnya terhadap kuda sudah dipupuk sejak berusia 12 tahun lagi.

NUR QASRINA AMANI ZAKARIA

Malah, boleh dikatakan hampir separuh hidup anak gadis yang pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan kuda lasak sudah dihabiskan bersama haiwan kesayangan Rasulullah SAW ini.

Menceritakan kembali bagaimana detik awalnya jatuh cinta terhadap sukan tersebut, Nur Qasrina Amani berkata, minat sudah dipupuk dan berputik sejak dia masih kecil.

“Saya masih ingat lagi, kami adik beradik berpeluang belajar menunggang kuda selepas kakak berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Tapi sebelum kami diberi peluang, ibu bapa saya tetapkan beberapa syarat dan salah satunya kalau nak naik kuda mesti keputusan peperiksaan lulus dengan cemerlang terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selepas diberi pendedahan dan mula menguasai asas teknik menunggang kuda, Nur Qasrina Amani yang jatuh cinta pada sukan ini terus bertekad untuk fokus kepada bidang yang diminatinya.

Secara perlahan-lahan, beliau kemudian mencuba ketiga-tiga disiplin sukan ekuestrian iaitu dressage, show jumping dan kuda lasak atau dikenali sebagai endurance.

Bagaimanapun, dia mendapati jiwanya lebih dekat kepada sukan kuda lasak kerana lebih mencabar dan menuntut ketahanan fizikal serta mental yang tinggi.

“Selain itu, hubungan kita dengan kuda juga perlu serasi kerana prestasi dalam satu pertandingan bukan bergantung kepada kita semata-mata, sebaliknya bersama-sama kuda,” jelasnya.

Nur Qasrina Amani dalam masa sama turut mengakui dia lebih gemarkan acara yang diadakan di tempat terbuka. Lebih-lebih lagi apabila dapat menelusuri denai serta trek yang sering kali menjanjikan pemandangan cantik.

“Salah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan ketika dalam menyertai satu pertandingan di Itali dan menelusuri kawasan di Torgnon.

“Pemandangan sangat cantik dengan suasana sekeliling yang penuh dengan alam semula jadi dan gunung dilitupi salji. Betul-betul mempersona dan rasa hilang penat bila dapat melihat suasana di sekeliling pada masa itu,” katanya.

PINGAT PERAK

Nur Qasrina Amani antara seorang daripada lima wakil Malaysia yang memenangi pingat perak dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia FEI kategori junior dan penunggang muda di Ermelo, Belanda baru-baru ini.

Turut serta dalam pertandingan tersebut adalah adiknya, Muhammad Yusuf Luqman Zakaria dan tiga lagi penunggang iaitu Muhammad Faris Haikal Sa’ari; An-Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar dan Anfal Insyirah Abu Talib.

Dalam pada itu, Nur Qasrina Amani berkata, ketika menyertai kejohanan di luar negara, banyak pendedahan dan perkara baharu dipelajarinya daripada peserta luar negara.

Antaranya cara latihan peserta negara luar yang berbeza berbanding Malaysia dengan melibatkan sesi yang panjang dan bukannya berlatih setiap hari.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan sudah semestinya terselit cabaran dan pahit getir yang perlu dilalui gadis ini.

“Antara cabaran saya tempuhi ketika menyertai acara di Belanda apabila tulang belakang sakit yang agak teruk sehingga terpaksa suntik ubat penahan sakit.

“Akan tetapi, saya tetap teruskan juga walaupun perlu menahan kesakitan, lebih-lebih lagi ketika menunggang kuda baka Arab yang ada perangainya tersendiri dan sering terkejut serta tersentak-sentak sehingga menyebabkan rasa sakit yang amat sangat pada belakang saya,” katanya yang masih mengingati kejadian tersebut sehingga kini.

Qasrina bersama keluarga yang juga meminati sukan berkuda.

Selain itu, Nur Qasrina Amani berkata, pengalaman lain seperti digigit dan jatuh ketika menunggang kuda disifatkannya sudah lali serta sebahagian asam garam sepanjang menceburi bidang ini.

Dia yang kini penuntut tahun pertama jurusan Pengurusan Perniagaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, walaupun berkuda sudah menjadi sebahagian rutin hariannya, dia perlu bijak mengimbangi antara tanggungjawab sebagai pelajar dan atlet.

“Dulu sewaktu sekolah pun saya dididik agar pandai membahagikan masa. Sebagai contoh, jika petang saya berlatih, malam saya akan pastikan mengulang kaji semula pelajaran yang tertinggal atau perlu rujukan semula,” ujarnya.

Dalam masa yang sama dia turut memasang cita-cita untuk menyertai kejohanan kuda lasak dunia pada yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) satu hari nanti.

Bagi mereka yang mahu menceburkan diri dalam sukan ini, Nur Qasrina Amani turut berpesan agar tidak terlalu gopoh terus menyertai mana-mana pertandingan.

“Berlatih dan terus berlatih walaupun memakan masa yang agak lama. Jangan terlalu gopoh dan pastikan diri kita sentiasa bersedia sebelum menyertai satu-satu pertandingan,” jelasnya.

 

Biodata:
Nama: Nur Qasrina Amani Zakaria
Umur: 20 Tahun
Asal: Kuala Lumpur
Pendidikan: Penuntut Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN