Prinsip Islam dan kontroversi jenama arak - Utusan Malaysia

Prinsip Islam dan kontroversi jenama arak

Isu arak harus diberi perhatian serius dan diselesaikan dengan bijaksana oleh pihak berwajib kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat Islam, keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengeluaran arak berjenama tempatan mengejutkan dan membimbangkan seluruh masyarakat Islam di Malaysia yang telah dikeluarkan dan dilancarkan pada 7 Oktober 2021 oleh syarikat Winepak Corporation.

Pihak pengeluar membuat kenyataan pada 15 Oktober 2021 menafikan segala dakwaan dan pentafsiran salah dengan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ merujuk kepada bijih timah, komoditi utama negara di era pentadbiran British di Tanah Melayu, manakala gambar lelaki pula adalah Kapten Speedy sebagai pegawai British yang pernah berkhidmat ketika itu dan memperkenalkan budaya minuman tersebut.

Kontroversi timbul seolah-olah perlakuan tidak bermoral dan tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam kerana arak tersebut berjenama ‘Timah’ yang sinonim dengan nama masyarakat Melayu selain menggunakan label seorang lelaki berjanggut serta memakai penutup kepala persis gambaran Muslim.

Kekeliruan juga boleh timbul seolah-olah bahawa produk ini adalah keluaran Melayu Muslim.

Perkara ini menimbulkan persepsi dan agenda tersirat seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu secara halus dan berstrategi.

Islam mempunyai prinsip dan justifikasi jelas dalam soal pengharaman dan penolakan arak supaya seluruh masyarakat prihatin dan mengambil berat dalam kehidupan.

Pertama, arak dan segala minuman yang memabukkan adalah najis dan hukumnya adalah haram. Kaedah fiqh telah menjelaskan bahawa “Setiap minuman yang memabukkan adalah haram”.

Firman Allah SWT bermaksud:

Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Ma’idah: 90)
Berdasarkan ayat tersebut, terdapat perkataan ‘rijsun’ bermaksud ‘najis dan kotor’ dinisbahkan pada arak.

Allah SWT turut mencela semua perkara buruk disenaraikan dalam ayat tersebut dengan menegaskan ia termasuk dalam amalan syaitan dan merupakan perbuatan yang keji.

Terdapat penggunaan lafaz ‘al-ijtinab’ bermaksud ‘menjauhi arak’ menggambarkan bahawa tegahan dan pengharaman adalah lebih kuat dan menyeluruh iaitu bukan sekadar tegahan minum tetapi termasuk tegahan berkaitan dengannya seperti mempromosi, menjual, membeli arak dan sebagainya.

Kedua, larangan menyeluruh terhadap segala aktiviti berhubung dan berkaitan arak. Semua aspek penglibatan yang mempunyai perkaitan dengan arak tanpa terkecuali turut diharamkan oleh Islam.

Nabi SAW menegaskan dalam hadis yang bermaksud:

Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya. (Riwayat al-Tirmizi: no.1295)

Ketiga, menutup ruang yang boleh membawa kepada kerosakan dan keburukan (Sadd al-Zarai‘) dalam masyarakat.

Seterusnya terdapat kaedah fiqh yang menyatakan: “Kemudaratan itu hendaklah dicegah semampu yang mungkin”.
Kekeliruan pasti timbul sekiranya isu ini diberi ruang dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sekatan dengan gambaran seolah-olah budaya arak merupakan budaya masyarakat Melayu Islam atau budaya yang dekat dan diterima dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.

Demikianlah, Islam mengharamkan arak dan bahan seumpamanya kerana memabukkan, sehingga menghilangkan dan merosakkan akal manusia. Selain itu, ia menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit lain yang membahayakan jasad, meruntuhkan akhlak, sehingga merosakkan keluarga dan masyarakat, serta memesongkan hikmah manusia itu diciptakan.

Keempat, peranan pihak pemerintah dalam memastikan kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat. Kaedah fiqh ada menjelaskan:

“Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat”.
Pengharaman arak dalam kalangan masyarakat Islam adalah adalah satu prinsip jelas dan segala perkara berkaitan dengan arak, wajib dicegah dan dihindari.

Tindakan tegas dan langkah proaktif pihak kerajaan atau pemerintah sangat diperlukan dalam menyelesaikan masalah yang timbul berkaitan arak bagi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin dan kemudaratan ke atas rakyat dihindari.

Adapun dalam masyarakat majmuk yang wujud pelbagai penganut agama, maka pihak berkuasa dalam negara Islam tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam kerana diizin dan dibolehkan oleh agamanya berkonsepkan kebebasan beragama.

Namun pihak syarikat pengeluar perlu menyedari dan cakna penggunaan nama ‘Timah’ sebagai jenama arak, tidak wajar dan boleh mencabar sensitiviti masyarakat Islam kerana boleh menimbulkan pelbagai konotasi yang negatif dan mengelirukan, khususnya dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduk adalah beragama Islam.

Sewajarnya, isu ini diberi perhatian serius dan diselesaikan pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua pihak kerana telah melibatkan sensitiviti masyarakat Islam, keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

——-
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN