Misi Kerasulan Nabi SAW - Utusan Malaysia

Misi Kerasulan Nabi SAW

Hikmah ialah ilmu, ucapan yang benar dan melaksanakan kebenaran dengan kejujuran. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasulullah SAW diutuskan untuk menyampaikan wahyu Allah. Jika diteliti dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang berkaitan tugas Rasulullah dalam menyampaikan amanah ini.

Antaranya firman Allah: Maka sesungguhnya engkau wahai Muhammad hanya bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan cara yang jelas dan nyata. (al-Nahl: 82)
Ayat ini menyatakan tujuan diutus Rasulullah adalah menyampaikan amanah dan kaedah penyampaian itu adalah jelas dan terang. Tanggungjawab ini dilakukan Rasulullah dengan menyampaikan wahyu kepada para sahabat r.a.

Mereka menjadi saksi Baginda SAW menyampaikan wahyu di mana mereka sebenarnya adalah pemelihara wahyu dan penyambung wahyu untuk disampaikan kepada generasi selepasnya. Tidak ada wahyu yang tidak disampaikan atau menyampaikan sebahagian sahaja.

Allah SWT mewajibkan kepada Nabi SAW menyampaikan semua wahyu. Jika tidak melakukan perkara tersebut bermakna tidak melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Firman Allah SWT: Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya dengan menyampaikan semuanya maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya…(al-Maidah: 67)

Imam al-Zuhri menyatakan, kewajipan Rasul ialah menyampaikan amanah dari Allah SWT dan kewajipan kita adalah tunduk patuh menerima amanah tersebut. Rasulullah SAW meminta umatnya menjadi saksi bahawa Baginda menyampaikan tanggungjawabnya.

Dalam khutbah semasa haji perpisahan Baginda bersabda:
Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu akan ditanya tentang diriku, apakah yang akan kamu katakan? Para sahabat menjawab:

Kami akan bersaksi sesungguhnya kamu telah menyampaikan amanahmu, melaksanakannya dan kamu telah menasihati kami.

Mendengar jawapan tersebut, Baginda SAW mengangkat jarinya ke langit dan menunjuk kepada hadirin lalu bersabda:

Ya Allah, saksikanlah.(Riwayat Bukhari).

Maksud ‘jelas’ dalam penyampaian Rasulullah SAW ialah jelas pada lafaz dan jelas pada makna. Jelas pada lafaz sebagaimana Firman Allah SWT:

Dengan Bahasa arab yang jelas. (Syuara: 195) dan jelas pada makna sebagaimana firman Allah SWT:

Dan Kami turunkan kepada kamu al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang diturunkan kepada mereka. (al-Nahl: 44)
Nabi SAW menjelaskan kepada para sahabat makna al-Quran sebagaimana baginda menjelaskan lafaz-lafaznya.

Kalimah ‘balagh’ digunakan dalam al-Quran untuk tugasan Rasulullah menyampaikan mempunyai beberapa petunjuk iaitu:
1. Perkara yang disampaikan itu harus sampai dan tepat sasaran agar sempurna penyampaiannya.
2. Perkara disampaikan ialah al-Quran, firman Allah:
Al-Quran ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia dan supaya mereka diberi peringatan dengannya. (Ibrahim: 52)
3. Al-Quran adalah asas kepada dakwah dan merupakan satu-satunya jalan untuk manusia mencapai kebahagiaan.
4. Berusaha sekuat tenaga dalam menyampaikan amanah kerasulan.
5. Kalimah ‘balagh’ juga menunjukkan kepada peribadi Nabi SAW sebagai rasul utusan yang menyampaikan wahyu.

Misi Kerasulan
Secara khususnya tugas Nabi SAW dinyatakan dalam firman Allah SWT:

Sebagaimana Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu, Kami telah utus kepadamu Rasul dari kalangan kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajar kepadamu al-Kitab dan al-hikmah (Sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu mengetahui. (al-Baqarah: 151)

Ayat di atas menjelaskan misi kerasulan dalam tiga bentuk:

1. Membaca kepada mereka ayat-ayat Allah. Membaca atau tilawah dinyatakan di tempat yang permulaan bahkan ia disebut di beberapa ayat yang lain. Firman Allah SWT: Seorang rasul iaitu Muhammad diutus oleh Allah yang membacakan lembaran-lembaran suci. (al-Bayyinah: 2)

2. Mengajar kepada mereka Kitab dan hikmah. Makna Kitab ialah al-Quran dan makna hikmah adalah sunnah. Ibn Abbas r.a berkata: Kitab adalah menulis dengan pena kerana bangsa arab telah kenal tulisan disamping syariat memerintah mereka untuk menuliskannya dengan pena.

Walaupun begitu, Imam Malik menyatakan bahawa makna hikmah adalah memahami agama. Ringkasan makna hikmah dikumpul oleh ulama dengan berkata: Hikmah itu ialah ilmu, ucapan yang benar dan melaksanakan kebenaran dengan kejujuran.

3. Menyucikan mereka. Kalimah tazkiyah bermakna menyucikan dan membersihkan manakala kalimah zakat bermakna menumbuhkan dan mengembangkan. Dalam konteks ayat di atas, ia membawa maksud menyucikan mereka dari berbuat syirik kepada Allah, menyembah berhala, kotoran dosa dan kufur serta menumbuhkan dan menyuburkan mereka dengan ketaatan kepada Allah SWT.

Ibn Kathir menjelaskan, untuk mencapai kesucian, Rasulullah SAW memerintah mereka untuk melaksanakan perkara makruf dan mencegah melakukan perkara mungkar. Agar jiwa mereka suci dan bersih daripada noda dan dosa yang mereka telah lakukan ketika dalam keadaan musyrik dan jahiliah.

Secara umumnya makna ayat di atas ialah Rasulullah SAW menyampaikan kepada umatnya semua wahyu disampaikan kepadanya dan mengajarkan al-Quran, hikmah dan apa yang membuat jiwa mereka sempurna dengan syariat dan pengetahuan yang benar.

Misi kerasulan Nabi SAW telah mencapai objektifnya. Nabi telah menyempurnakan tugasnya dan para sahabat telah memberi saksi terhadap penyampaian tersebut.

Justeru kita sebagai umat Islam perlu patuh dengan arahan Rasulullah SAW dan meninggalkan segala larangannya untuk kita mencapai bersih diri daripada syirik dan dosa.

Dalam pembacaan al-Quran yang sempurna peganglah pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan cara berinteraksi dengan Quran ialah lidah membaca ayat, akal menafsirkan ayat dan hati bertadabbur dan mengambil pengajaran.

———–
PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN